Cegah ekstremisme sukan dengan komunikasi matang

Cegah ekstremisme sukan dengan komunikasi matang

PENYOKONG yang matang perlu mampu mengawal reaksi impulsif dan tidak mengikut perasaan marah atau kekecewaan dalam menzahirkan tindakan dan menyuarakan pendapat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES serangan asid terhadap pemain Harimau Malaya Faisal Halim serta vandalisme terhadap Akhyar Rashid dan Safiq Rahim baru-baru ini bukan sahaja merupakan tragedi peribadi bagi pemain-pemain tersebut tetapi juga menimbulkan kebimbangan terkini mengenai kelestarian industri bola sepak Malaysia.

Insiden-insiden ini memberi gambaran risiko yang dihadapi oleh atlet dan bagaimana tindakan ekstrim oleh segelintir individu boleh mengancam integriti sukan bola sepak negara.

Dari segi warna-warni kerenah penyokong industri bola sepak, kes ini menyorot fakta bahawa walaupun bola sepak ialah sukan yang sangat disayangi di Malaysia, ia masih rentan terhadap tindakan fanatik yang boleh merosakkan reputasi dan keselamatan pemain.

Sebelum ini, insiden hanya melibatkan pergeseran antara penyokong yang tidak berpuas hati terhadap keputusan perlawanan, namun terkini ia sudah membabitkan pencerobohan keselamatan pemain itu sendiri.

Industri bola sepak bergantung kepada persepsi umum tentang keselamatan dan keadilan dalam sukan. Apabila insiden seperti serangan terhadap atlet berlaku, ia boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan pemain, penyokong dan pelabur tentang sama ada persekitaran bola sepak Malaysia adalah selamat dan kondusif untuk pertumbuhan dan pembangunan sukan secara mampan.

Ekstrimisme dalam sukan boleh mengambil banyak bentuk, dari ucapan kebencian dalam talian hingga tindakan keganasan fizikal. Budaya hasut maya atau troll melampau melibatkan tingkah laku yang menghina, memperlekeh atau menyindir dalam kalangan penyokong bola sepak di media sosial berpotensi menjadi penyumbang kepada ekstrimisme sukan.

Kematangan penyokong dalam komunikasi media sosial mahupun bersemuka menjadi perisai ampuh dalam hal ini. Komunikasi yang matang bermaksud berinteraksi dengan bijak, menghormati pendapat orang lain dan tidak terlibat dalam tindakan hasutan atau provokasi yang boleh menimbulkan konflik.

Komunikasi yang matang bermula dengan kesedaran akan impak kata-kata dan tindakan terhadap persekitaran sukan. Ketika berinteraksi di media sosial atau dalam acara langsung, penyokong perlu ingat bahawa setiap kata-kata dan tindakan mempunyai kekuatan untuk memupuk semangat positif atau sebaliknya menggalakkan ekstrimisme sukan. Oleh itu, penting untuk berpegang pada prinsip hormat dan empati ketika berkomunikasi.

Sebarang tindakan menyalahi peraturan selepas sesuatu perlawanan tidak akan mengubah keputusan mahupun memberi sebarang faedah kepada pasukan yang disokong.

TANGGUNGJAWAB
Dalam konteks ini, pentadbir laman web atau media sosial sukan perlu mengambil tanggungjawab untuk tidak melaga-lagakan penyokong demi kemasyhuran atau perhatian umum semata-mata.

Natijah buruk impak emosi negatif daripada budaya hasut maya juga boleh diminimumkan dengan bersederhana dalam menyuarakan pendapat tanpa penggunaan perkataan buruk yang melampau.

Budaya penyokong yang matang dan bertanggungjawab menitikberatkan semangat persaingan yang sihat dan menghormati kebolehan setiap pasukan sekali gus membawa kepada suasana yang lebih harmoni dalam dan luar stadium serta mampu mengurangkan konflik antara penyokong.

Selain itu, penting juga untuk memahami batasan antara bersenda gurau dan hasutan yang tidak sesuai serta berusaha untuk mengekalkan dialog yang konstruktif dan hormat antara penyokong yang berbeza pandangan.

Penyokong yang matang perlu mampu mengawal reaksi impulsif dan tidak mengikut perasaan marah atau kekecewaan dalam menzahirkan tindakan dan menyuarakan pendapat.

Sebaliknya, berikan ruang untuk refleksi dan pemikiran sebelum memberi respons. Mungkin respons penyokong pasukan Jepun yang mengutip sampah dan membersihkan stadium pasca kekalahan kepada pasukan Belgium dalam Piala Dunia 2018 di Rusia boleh menjadi contoh terbaik dalam hal ini.

Sukan di Malaysia khususnya bola sepak sudah menjadi wadah perpaduan rakyat yang berkesan sejak turun-temurun. Malah, sukan juga merupakan alat penting untuk mewujudkan identiti kebangsaan dan kebanggaan negara. Justeru, jangan kita biarkan ekstremisme sukan menjadi ancaman kepada citra keindahan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Apabila ekstremisme sudah diterjemah dalam bentuk tindakan-tindakan yang melanggar batas keamanan dan mengancam nyawa atlet, ia menuntut usaha yang mempunyai kos yang lebih besar terhadap masa dan usaha pihak berkuasa, di samping perbelanjaan wang awam yang meningkat untuk usaha-usaha kempen, pemantauan, pencegahan dan pembaikan kemudahan-kemudahan dalam kes vandalisme.

Justeru, simptom ektremisme ini boleh dicegah awal melalui komunikasi matang dan toleransi antara penyokong.

Insiden mutakhir ini harus dijadikan titik tolak untuk refleksi dan tindakan, bukan sahaja dalam konteks bola sepak tetapi juga dalam konteks sosial yang lebih luas di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa ekstremisme dalam apa jua bentuknya adalah ancaman kepada nilai-nilai masyarakat yang harmoni dan perlu ditangani dengan serius dan segera.-UTUSAN

PENULIS ialah Perunding Latihan Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN