KANAK-KANAK perlu didedahkan dengan budaya membaca, terutamanya buku yang memaparkan kepelbagaian kaum, budaya dan agama di negara ini.
Usaha proaktif ini penting demi melahirkan generasi muda yang mampu meraikan perbezaan serta memupuk perpaduan.
Perkara ini turut ditegaskan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April lalu. Semasa program Temasya Bahasa dan Budaya di Kuil Sri Maha Mariamman, Bukit Rotan, Kuala Selangor pada 28 April lalu, beberapa ibu bapa turut berkongsi pandangan betapa penting generasi muda membaca pelbagai bahan bermutu dalam pelbagai bahasa.
Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan bengkel penulisan dan kempen galakan membaca di seluruh negara sejak 1994, rata-rata peserta mengaku tidak ada masalah mencari karya sastera Melayu yang mengetengahkan aspek budaya, adat, pemikiran dan agama masyarakat Melayu.
Karya sastera kebangsaan yang memaparkan aspek budaya dan pemikiran golongan bukan Melayu dan bukan Islam pula amat terhad. Hakikat ini turut saya perhatikan semasa membuat kajian tentang sastera kebangsaan bagi tesis sarjana yang kemudian terbit dengan judul Kavya Sastra (2021).
Sesungguhnya kita masih ketandusan karya bahasa kebangsaan yang boleh membantu masyarakat pelbagai kaum mengenali, menghayati serta memahami aspek budaya, adat, amalan dan pemikiran kaum bukan Melayu dan bukan Islam.
Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa kenalan tentang apakah aspek budaya India-Hindu yang wajar dan sesuai disajikan dalam karya sastera kebangsaan untuk bacaan kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Bagi penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang, selain daripada kisah berkaitan Deepavali, ponggal (pesta menuai) dan Thaipusam, ada banyak lagi perayaan yang wajar diangkat untuk makluman pembaca Malaysia.
“Hampir setiap minggu ada sahaja perayaan kaum India dan agama Hindu yang mungkin tidak diketahui umum. Perayaan Aadipuram, Chitrapournami, Shivaratri dan Navaratri wajar dihurai dalam karya bahasa kebangsaan supaya tidak timbul prasangka atau salah faham dalam masyarakat majmuk,” katanya yang aktif menghasilkan karya bahasa kebangsaan dan Tamil sejak 1987.
Rizol Md. Ariff dari Balik Pulau, Pulau Pinang bersetuju kerana beliau melihat sendiri pelbagai amalan dan budaya kaum India dalam hidup sehari-hari.
Beliau yakin setiap amalan itu ada makna, sejarah dan falsafah tersendiri yang pasti menarik jika disajikan dalam buku bahasa kebangsaan.
“Saya juga sering tertanya-tanya, mengapa dalam perkahwinan Hindu, pihak pengantin wanita yang memberi pelbagai barangan atau dowri sebagai hantaran kepada pihak pengantin lelaki.
Amalan ini berbeza dengan budaya Melayu. Maka, tentu menarik jika ada orang menulis mengenainya,” kata pesara ini yang amat gemar membaca bagi menimba ilmu.
Bagi Rushida Abdul Wahid dari Klang, Selangor, semua perkara berkaitan budaya kaum India di Malaysia wajar diketengahkan untuk diketahui umum, sekali gus membantu mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum.
“Pada saya, ritual berkaitan agama Hindu juga boleh dan perlu dikongsi kepada masyarakat pelbagai kaum menerusi penulisan bahasa kebangsaan. Barulah dapat menangkis prasangka dan mewujudkan sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian,” tegas suri rumah ini yang tetap berpegang teguh pada budaya Melayu dan agama Islam.
Dalam pada itu, Rizol dan Rushida meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana bahan berkaitan budaya kaum India dan amalan agama Hindu memang sangat sukar dicari dalam bahasa kebangsaan.
“Memang saya ada membaca karya penulis kaum India tetapi isu atau topik yang diangkat gagal memikat hati. Mujurlah ada ruangan Bicara Budaya di akhbar Utusan Malaysia yang menyajikan pelbagai topik menarik dengan bahasa yang mudah dihadam pembaca pelbagai latar belakang,” kata Rizol.
Selepas seketika, Rushida juga hanya mampu menyenaraikan beberapa buku saya apabila membicarakan soal penampilan budaya kaum India dalam karya.
Mahendran bersetuju memang masih terlalu sedikit penulis kaum India menulis karya bahasa kebangsaan berkaitan budaya kaum India. Antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020) dan Lakaran Diri (2022) memenuhi kelompangan ini.
BELUM DIHAYATI
Buat masa ini, saya sedang menyelenggara sebuah antologi cerpen penulis kaum India dan Cina. Apabila terbit, buku ini pasti membantu pembaca mengetahui pelbagai sisi hidup kaum Cina dan India.
Dalam perbincangan kami, Mahendran mengingatkan bahawa banyak kisah budaya, agama dan sejarah kaum India (khasnya orang Tamil) mudah didapati dalam bahasa Tamil dan Inggeris.
“Perlu diakui buku-buku itu hanya dibaca golongan yang menguasai bahasa berkenaan. Maknanya, belum mampu dinikmati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia. Betapa bagus jika pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menunjukkan sedikit minat dan tanggungjawab dalam kerja terjemahan,” kata Mahendran.
Peruntukan khas bagi kerja-kerja terjemahan yang diumum dalam Belanjawan 2023 terbukti tidak menyaksikan karya Tamil tempatan diberi perhatian.
Bercakap tentang DBP, lebih daripada sepuluh majalah diterbitkan setiap bulan oleh badan bahasa dan sastera itu. Malangnya, tidak berminat menyiarkan karya kreatif penulis kaum India.
Misalnya, dalam tempoh 40 bulan sejak Januari 2021, kesemua 10 majalah DBP hanya menyiarkan lapan puisi dan empat cerpen penulis kaum India.
Sekali gus, pembaca majalah-majalah itu tidak berpeluang didedahkan dengan budaya India-Hindu seperti disarankan Fahmi.
Mujurlah kelompangan itu sudah diisi portal seperti Eksentrika dan Sastera Kavyan. Orang ramai yang berminat membaca tentang budaya kaum India dalam karya bahasa kebangsaan boleh melayari portal berkenaan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










