Sekolah Melayuera penjajah British

Sekolah Melayu era penjajah British

SEKOLAH Melayu era penjajah British bertujuan semata-mata untuk mengajar anak-anak Melayu membaca, menulis dan mengira pada tahap minimum. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN agak sukar difahami dan diterima generasi sekarang bahawa pada masa dahulu, sekolah Melayu juga dikategori sebagai sekolah vernakular bersama-sama sekolah Cina, Tamil, Telugu, Malayalam dan Punjabi.

Situasi ini benar-benar berlaku semasa Malaya dijajah British dan sekolah Inggeris dianggap serta diiktiraf sebagai sekolah aliran perdana. Penang Free School (1816) ialah sekolah Inggeris pertama, diikuti Malacca High School (1826).

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, sistem pendidikan formal dan sekular di Malaya bermula dengan kedatangan penjajah. Sebelum itu, pendidikan bagi orang Melayu di sini hanya tertumpu kepada pengajian Islam iaitu mengaji al-Quran.
Sedikit demi sedikit, sekolah Melayu mula diinstitusikan dan dikendalikan secara lebih formal.

Pada 1856, ada dua sekolah Melayu di Singapura manakala di Melaka, antara 1858 dan 1863, sembilan sekolah Melayu dibuka.

Situasi pendidikan formal menerusi sekolah Melayu menjadi lebih rancak apabila beberapa sekolah dibuka di Province Wellesly (Seberang Perai) bermula 1871. Sebelum itu, pada 1821, Penang Free School memulakan kelas bahasa Melayu untuk memenuhi permintaan.

Pada peringkat awal, hanya kanak-kanak lelaki pergi ke sekolah. Sekolah Melayu di bawah pentadbiran British memperkenalkan penggunaan tulisan Arab (Jawi) dan Rumi bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Pelbagai data dan maklumat terkumpul dalam tesis sarjana muda pendidikan di Universiti Malaya bertajuk Malay Teacher Training in British Malaya (1878-1941): A General Survey (1967) oleh Awang Had Salleh.

Tujuan British memperkenalkan sekolah vernakular Melayu, Cina, Tamil dan sebagainya bukan untuk melahirkan generasi muda berpelajaran. Sebaliknya, hanya mahu mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan penduduk dan migran.
Catatan dalam Laporan Tahunan Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Selat (1903) menyebut: “Memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan mudah dan dengan itu melindungi diri daripada para penipu tidak bertimbang rasa dalam kalangan penduduk majmuk. Penipu sentiasa cuba mengambil kesempatan atas kejahilan orang Melayu.”

Sekiranya diperhatikan, jumlah sekolah Melayu terus meningkat di bawah pentadbiran British.

Pada 1872, ada 16 buah sekolah Melayu di negeri-negeri Selat. Jumlah itu meningkat kepada 85 buah (1882) dan 189 buah (1892). Bagaimanapun, sekolah Melayu pada peringkat awal hanya bagi budak lelaki.

Sekolah untuk budak perempuan dibuka pada 1885 dan menjelang 1892, ada 16 buah sekolah Melayu khas untuk mereka. Tentu sahaja ini suatu permulaan baik ke arah menjamin masa depan golongan wanita.

Tesis kedoktoran di Universiti London bertajuk A Short History of the Educational Policy of the Straits Settlements (1940) oleh Devasahayam David Chelliah turut mengupas topik ini.

Selain Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura), sekolah Melayu turut dibuka oleh British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak,Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan).

Mengikut perangkaan, terdapat 157 buah sekolah untuk budak lelaki di negeri-negeri itu pada 1898 dan 11 buah untuk budak perempuan. Pada 1907 pula, jumlah itu meningkat kepada 232 buah (sekolah lelaki) dan 34 buah (sekolah perempuan).

SEKOLAH MELAYU
Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu pula, sekolah Melayu pertama direkodkan di Kelantan pada 1903, diikuti lima buah sekolah di Perlis pada 1913 dan dua buah di Terengganu pada 1916.

Tahun 1916 menandakan satu titik penting dalam perkembangan sekolah Melayu di Malaya.

Pada waktu itu terdapat 191 buah sekolah Melayu di negeri-negeri Selat, 365 buah di negeri-negeri Melayu bersekutu dan 137 buah di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu.

Pada tahun itulah jawatan Penolong Pengarah Pelajaran diperkenalkan khusus untuk menjaga hal ehwal pelajaran Melayu. Orang pertama dilantik ke jawatan itu ialah Richard Olaf Winstedt yang memang menguasai dan mencintai bahasa serta budaya Melayu.

Winstedt ada pengalaman luas berkhidmat di Malaya sejak 1902 iaitu ketika umurnya 24 tahun. Pengalamannya boleh dibaca dalam buku Education in Malaya (1923). Malah, dia diakui sebagai tokoh penting dalam memelihara dan mendokumentasi sejarah, bahasa dan budaya orang Melayu.

Tentulah harapan tinggi diletakkan pada Winstedt. Tambahan pula, pada 1915, seorang pegawai tinggi British, Arthur Noel Kenion pada Sidang Majlis Persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dilaporkan berkata:
“Kita boleh mengajar orang Melayu supaya mereka terus menjadi pesawah, nelayan dan membuat kerja-kerja hutan. Ajarlah mereka supaya memuliakan kerja buruh dan tidak semua mahu menjadi kerani. Maka, kita tidak akan menghadapi masalah seperti berlaku di India kerana orang mendapat pendidikan.”

Dalam pada itu, Laporan Tahunan Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Selat (1930) mengakui jawatan Penolong Pengarah Pelajaran diwujudkan kerana raja-rajan Melayu telah berpaling (beralih) kepada pendidikan untuk melengkapkan rakyat (orang Melayu) bagi menjaga kepentingan diri mereka daripada menjadi mangsa orang India yang terpelajar dan orang India yang cerdik serta orang Cina yang bekerja keras.

Pada peringkat awal, pelajaran di sekolah Melayu selama enam tahun tetapi dikurangkan kepada empat tahun sahaja mulai 1885. Winstedt meneruskan polisi itu apabila memegang jawatan pada 1916.

Tentulah hal ini mengecewakan golongan Melayu terpelajar yang menyedari betapa penting pendidikan formal bagi mengubah dan membuka minda serta membawa mobiliti sosial dalam kalangan orang Melayu.

Malangnya, tujuan sekolah Melayu diuruskan penjajah British semata-mata mahu mengajar anak-anak Melayu mampu membaca, menulis dan mengira pada tahap minimum. Sekolah menengah pula bertujuan melatih dan membekalkan guru untuk mengajar perkara asas di sekolah rendah.

Retrospektif ini diharap membantu kita menyedari dan menghargai pentingnya pelajaran bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang berilmu dan berwawasan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN