Reformasi sentiasa di hati Anwar

Reformasi sentiasa di hati Anwar

ANWAR Ibrahim masih mempunyai kira-kira tiga tahun lagi untuk melakukan islah mahupun reformasi secara total. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTI ramai rakyat Malaysia masih ingat mengenai Deklarasi Permatang Pauh (DPP) yang dikumandangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September 1998 lebih seminggu selepas beliau dipecat dari jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

DPP dimulai dengan ingatan ke atas firman Allah SWT yang bermaksud. “Aku hanyalah bertujuan melakukan islah sedaya upayaku; dan tiadalah aku beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.” (Surah Hud Ayat 88)

Seterusnya, tujuh agenda reformasi digagaskan oleh Anwar, iaitu:

* Bahawa sesungguhnya diri manusia mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses serta undang-undang yang adil.
* Institusi dan proses undang-undang mesti dibersihkan dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
* Kuasa rakyat mesti didaulatkan melalui proses demokrasi.
* Keadilan ekonomi, khasnya pengagihan yang saksama, mesti diperjuangkan.
* Manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan maha kaya mesti dikikis.
* Jati diri budaya yang dinamik mesti diperkukuhkan.
* Persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan mesti dijalin.

Setelah diangkat sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, Anwar tidak lupa terhadap tekad untuk melakukan islah atau reformasi dan ini terbukti dalam banyak perubahan struktural yang telah dan sedang dibuat dalam urusan pentadbiran, ekonomi, undang-undang dan sebagainya.

Paling mutakhir, tekad untuk melakukan islah atau reformasi sekali lagi dizahirkan oleh Anwar melalui ucapan dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1445H baru-baru ini yang mana beliau sekali lagi memetik firman Allah dalam Surah Hud, ayat 88 mengenai anjuran melakukan islah atau reformasi.

Pada masa sama, Anwar juga menegaskan bahawa perjuangan ini tentunya menuntut kesabaran dan kebijaksanaan kerana kenyataan dalam hidup dengan pelbagai pancaroba menuntut hikmah kebijaksanaan dalam tindakan yang kita lakukan.
Ujar beliau, perjuangan menuntut kesabaran dan perencanaan yang cermat mengimbangi seluruh aspek tata negara dan kenegaraan. Kegopohan menjanjikan kegagalan.

Seterusnya beliau memetik nasihat Saidina Umar Abdul Aziz kepada anakandanya, Abdul Malik yang mahukan hukum dilaksanakan dengan segera melalui kata-kata, “Laa tak jal ya bunayya! Janganlah gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali dan kali ketiga barulah mengharamkannya. Sesungguhnya aku bimbang jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total keseluruhannya, nescaya rakyat akan menolak Islam secara keseluruhannya sehingga tercetusnya fitnah.”

Tepat sekali kata-kata Anwar, iaitu dalam pentadbiran kerajaan hari ini kita mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindar yang mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.
Kisah presiden Mesir kelima yang memerintah antara 30 Jun 2012 hingga 3 Julai 2013 setelah dipilih secara demokratik dalam pilihan raya sebelumnya, Mohamed Morsi, berakhir dengan penggulingan beliau oleh satu kudeta tentera wajar dijadikan iktibar.

Kegopohan Morsi mahu mengubah perlembagaan Mesir untuk menyemarakkan pelaksanaan undang-undang Islam, meminta Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Staf Tentera meletak jawatan serta beberapa tindakan tidak cermat yang lain mencetuskan ketidakstabilan yang berakhir dengan penyingkiran dan kematian beliau dalam penjara.

Jelas dalam kes Morsi ini tindakan gopoh menjadi punca kegagalan islah mahupun reformasi yang mahu dilakukan di Mesir. Harapan terlalu tinggi terhadap pemerintahan Morsi akhirnya berkubur hingga sekarang kerana kesilapan tindakan dan perlakuan yang dibuat secara tergesa-gesa.

Di Malaysia pun ada pihak yang tidak sabar-sabar menuntut semua usaha islah atau reformasi dilakukan serta-merta bila Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri tanpa mengira implikasi negatif yang bakal timbul kepada suasana politik, ekonomi dan sosial negara.

Walaupun begitu, melakukan islah atau reformasi dalam keadaan Kerajaan Pusat dibentuk oleh sebuah Kerajaan Perpaduan yang memerlukan PKR dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi kuasa dengan sebilangan pakatan dan parti-parti politik lain amat mendambakan kebijaksanaan kerana ia bukan mudah.

Dalam masa sama, Anwar juga mencatatkan pelbagai kejayaan besar. Islah atau reformasi memerangi penyalahgunaan kuasa dan rasuah khususnya dilaksanakan dengan mewajibkan projek cakna rakyat dan berimpak tinggi dilaksanakan secara tender.

Selain itu, reformasi institusi dan tata kelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah juga diperkenalkan. Antaranya Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab serta Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang menjamin supaya tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum.

ADIL
Islah atau reformasi memperjuangkan keadilan ekonomi, khasnya pengagihan yang saksama, juga telah dan sedang dilaksanakan. Satu elemen penting di dalamnya ialah penstrukturan subsidi yang dilakukan melalui pengenalan subsidi bersasar ketimbang subsidi menyeluruh yang diamalkan selama ini bagi mengurangkan masalah ketirisan, memberi fokus subsidi kepada penerima yang layak dan meningkatkan jumlah subsidi dalam belanjawan.

Anjakan dasar yang besar berlaku dalam hal ini kini disasarkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, bukan golongan maha kaya atau warga asing untuk mengurangkan beban fiskal negara serta memberi lebih ruang untuk pelaburan pembangunan dan pembiayaan program-program kebajikan sosial yang lebih bersasar.

Anwar mempunyai masa kira-kira tiga tahun lagi untuk melakukan islah mahupun reformasi. Dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sejak mutakhir ini diyakini pelaksanaannya akan lebih besar secara bertahap dan terancang yang akan dapat disaksikan nanti.-UTUSAN

DR. Rosli Allani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN