Peguam Negara sebagai penjaga kepentingan awam

Peguam Negara sebagai penjaga kepentingan awam

RAKYAT mengharapkan Ahmad Terrirudin berjaya mendukung aspirasi reformis Kerajaan Perpaduan selaras dengan peranannya sebagai penjaga kepentingan awam. – FB JABATAN PEGUAM NEGARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH lebih enam bulan memegang jawatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh buat pertama kalinya dan dengan tanpa sebarang publisiti menjejakkan kaki ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memberikan syarahan peringatan Profesor Emeritus Ahmad Ibrahim ke-20 kepada pelajar dan pensyarah undang-undang pada 7 Mac lalu.

Syarahan Ahmad Terrirudin amat mengujakan sekali bagi pelajar mahupun lulusan undang-undang seperti saya. Buat pertama kalinya juga hadirin berkesempatan menghayati Perkembangan Pejabat Peguam Negara (AGC) termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi oleh AGC dalam melaksanakan tugasan utamanya sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan.

Beliau menyatakan beberapa nasihat mengenai undang-undang Perlembagaan yang merupakan salah satu aspek perundangan paling mencabar yang mana Peguam Negara harus memastikan setiap nasihat yang diberikan konsisten dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan prinsip undang-undang.

Antara yang dijadikan sebagai contoh ialah proses pembentukan kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum yang mana Peguam Negara bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pembentukan kerajaan berlaku mengikut aturan undang-undang. Selain itu ialah pelaksanaan kuasa perundangan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri yang rumit dan tidak mudah.

Sungguh mengujakan bila mendengar komitmen Peguam Negara untuk menyediakan perkhidmatan nasihat undang-undang yang berkualiti dan profesional selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia bagi memastikan bahawa tindakan dan keputusan kerajaan dalam pentadbiran harian tidak melanggar batas undang-undang.

Selain itu, nasihat undang-undang dan ulasan Peguam Negara mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan, penguatkuasaan dan penggubalan undang-undang syariah, termasuk dalam usaha mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah dalam mengatasi konflik bidang kuasa undang-undang antara kedua-dua mahkamah itu juga amat penting.

Tidak kurang pentingnya ialah tugas-tugas penasihat Peguam Negara dalam Hal Ehwal Undang-Undang Antarabangsa khususnya dalam perundingan antarabangsa, berurusan dengan pertubuhan antarabangsa, menangani kes antarabangsa dan dengan memimpin pasukan undang-undang yang mewakili kerajaan Malaysia dalam apa-apa kes antarabangsa.

Bagaimanapun, saya paling tertarik dengan huraian Ahmad Terrirudin mengenai tanggungjawab utama lain bagi Peguam Negara yang diperuntukkan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘melaksanakan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan undang-undang’, khususnya untuk menggubal serta melaksanakan semakan dan reformasi undang-undang.

Dalam hal ini, peranan Peguam Negara amat penting kerana ia memberikan suara kepada dasar-dasar kerajaan dengan menterjemahkannya menjadi undang-undang. Pada 2023 sahaja, sebanyak 42 rang undang-undang digubal dan dibentangkan melalui rangka kerja undang-undang yang mempromosikan keadilan dan kesaksamaan sebagai asas pentadbiran Malaysia.

Satu lagi tugas penting Peguam Negara yang dijelaskan oleh Ahmad Terrirudin ialah ‘menjaga’ undang-undang melalui pelaksanaan fungsi semakan undang-undang dan pembaharuan undang-undang dengan tumpuan kepada:
– Semakan undang-undang sebelum 1969.
– Cetakan semula undang-undang.
– Perluasan undang-undang Persekutuan ke Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan.
– Terjemahan undang-undang (teks Inggeris undang-undang sebelum 1967 ke bahasa kebangsaan).
– Semakan semula undang-undang yang kuno dan usang.
– Pemodenan undang-undang agar sejajar dengan keperluan masyarakat yang berubah.

Ikhtiar semakan undang-undang yang dijalankan di bawah pimpinan Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-Undang dengan panduan Jawatankuasa Penyemakan Undang-Undang yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara juga menonjol sehingga sebanyak 292 undang-undang Persekutuan sebelum 1969 dan 30 perundangan subsidiari berjaya disemak semula dan diwartakan.

Tugas penggubalan undang-undang dinyatakan sebagai bersilang dengan pembaharuan undang-undang. Sementara proses reformasi menjalankan tugas penting menyemak undang-undang untuk tujuan reformasi sistematik, melakukan penyelidikan menyeluruh, konsultasi dan menulis cadangan, proses penggubalan menterjemahkan cadangan tersebut menjadi undang-undang.

Dengan tagline Kerajaan Perpaduan sekarang yang menekankan kepada aspek reformasi maka menjadi tugas besar Peguam Negara bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk melaksanakan segala visi dan misi Kabinet reformis yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BERUNTUNG
Malaysia beruntung kerana mempunyai Peguam Negara yang bertekad untuk memegang kata-kata Lord Denning M.R. dalam kes Attorney-General ex rel. McWhirter vs. Independent Broadcasting Authority (1973) 1 Q.B. 629 seperti berikut:
“Adalah terpateri dalam undang-undang Perlembagaan kita bahawa dalam perkara yang melibatkan orang ramai Peguam Negara adalah penjaga kepentingan awam.

“Walaupun beliau adalah ahli kerajaan semasa, adalah menjadi kewajipannya untuk mewakili kepentingan awam dengan objektiviti dan ketidakterikatan yang penuh. Beliau mesti bertindak secara bebas dari sebarang tekanan luar yang datang dari mana-mana pihak sekalipun.

“Sebagai penjaga kepentingan awam, Peguam Negara mempunyai tanggungjawab khas dalam hal penguatkuasaan undang-undang.”

Ahmad Terrirudin juga tidak kontroversi, tidak suka kepada publisiti dan tidak gemar mengejar sensasi. Sebaliknya, dalam melaksanakan tanggungjawabnya, beliau sentiasa beringat untuk berhati-hati dalam melaksanakan semua fungsi di bawah undang-undang bertulis.

Komitmen beliau, di dalam kata-kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, ialah “untuk bertindak dalam kapasiti profesional melalui pengikutan dan pematuhan ketat ke atas keperluan undang-undang yang menganugerahkan fungsi ini”.

Pelaksanaan reformasi bukan senang kerana, seperti kata-kata seorang penulis Inggeris, Arnold Bennett, any change, even a change for the better, is always accompanied by drawbacks and discomforts. Bagaimanapun, sebuah kerajaan reformis yang didukung oleh penasihat undang-undang reformis, serta penjawat awam berdedikasi, pasti lebih berpeluang untuk berjaya.

Semoga AGC di bawah pimpinan Ahmad Terrirudin akan berjaya mendukung aspirasi reformis Kerajaan Perpaduan selaras dengan peranannya sebagai penjaga kepentingan awam.-UTUSAN

 

PENULIS ialah graduan ijazah undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN