BUKAN mudah menjadi pelopor kepada penubuhan unit khas berkaitan dengan tugas-tugas pencegahan jenayah seperti unit Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) yang terkait dengan masyarakat sosial.
Tanggungjawab berat sudah semestinya perlu dipikul selain berdepan dengan pelbagai ancaman.
Bagi Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri, ia merupakan penghargaan dan pengalaman berharga apabila diberi tanggungjawab menjadi salah seorang pelopor unit Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Malah, beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menyifatkan tugasan tersebut antara pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan sepanjang berada dalam perkhidmatan.
Menurut anak jati Taiping Perak ini, beliau masih mengingati dengan jelas setiap operasi yang dilaksanakan STAGG selain proses pengambilan anggota serta pelbagai kemahiran dipelajari unit berkenaan ketika awal penubuhannya.
“Pada masa itu anggota STAGG diambil daripada mereka mempunyai fizikal terbaik dan berkepakaran dalam pelbagai operasi. Selepas itu, kita latih dengan kemahiran tertentu termasuk tempur jarak dekat (CQB).
“Perjawatan untuk penubuhan STAGG pula lebih kurang 200 orang yang terbaik dari unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seluruh Malaysia. Sebagai pasukan taktikal khas, memang ia menjadi keperluan untuk sentiasa bersiap siaga kerana kerja dalam keadaan yang tidak menentu serta berada dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Azman memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada tahun 1986 sebagai inspektor percubaan dan pernah berkhidmat di beberapa jabatan antaranya Cawangan Khas; Siasatan/Perundangan dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selain beberapa negeri termasuk Sarawak serta Selangor.
Beliau berlatar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang pernah ditempatkan dalam bahagian Penggubahan Wang Haram JSJK dan turut terlibat dalam penyediaan laporan Rang Undang-Undang (RUU)
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Dalam pada itu, Mohd. Azman berkata, antara operasi yang pernah terlibat ketika mengetuai STAGG termasuk Ops Cantas Khas dan Ops Kabali.
“Ops Cantas Khas pada masa itu turut melibatkan unit-unit lain bertujuan mencari anggota kongsi gelap yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah.
“Malah, ada satu ketika kami perlu mencari mana-mana individu yang mempunyai tatu yang telah digazetkan milik kumpulan kongsi gelap. Kita boleh kenal mana satu tatu yang merupakan milik kumpulan tertentu dan tatu yang digunakan untuk sembahyang,” jelasnya.
Jelas Mohd. Azman lagi, kejayaan demi kejayaan tercatat sepanjang penubuhan STAGG antaranya penangkapan 50 anggota kongsi gelap dalam satu-satu operasi.
“Sebanyak 50 ahli kongsi gelap sebuah pertubuhan berjaya ditangkap dengan diketuai Datuk Muhammed Hasbullah Ali.
“Memang ramai dan semua daripada mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.
Tambah Mohd. Azman yang bersara baru-baru ini, terlalu banyak kenangan sepanjang berkhidmat lebih 30 tahun dalam PDRM yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Antaranya mengetuai Suruhanjaya Diraja berkenaan isu pendatang asing di Sabah pada 2012 hingga 2014 selain mengemudi Kontinjen Sarawak pada 2022 sehinggalah jawatan terakhir beliau sebagai Pengarah JSPT sebelum bersara wajib pada 9 April lalu.
Beliau kini mahu berehat seketika dan meluangkan masa bersama keluarga yang selama ini banyak berkorban demi tugas beliau sebagai pegawai polis.
“Banyak benda yang saya ingin lakukan antaranya berbasikal dan bersukan selain menghadiri kenduri-kendara ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya. –UTUSAN










