Kesatuan umat Islam semakin pudar

Kesatuan umat Islam semakin pudar

ZIONIS Yahudi berjaya menakluk Palestin dan menjarah bumi milik umat Islam kerana berlakunya perpecahan dan sikap mementingkan diri dalam kalangan umat itu sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam perlu melihat kesatuan ummah sebagai agenda besar yang harus diberi keutamaan, malah meletakkan isu Palestin sebagai kayu pengukur perpaduan ummah.

Malangnya, masih ada dalam kalangan negara dan umat Islam hari ini yang tidak mampu untuk menunjukkan kebersamaan sesama umat Islam ketika berhadapan dengan kejahatan Zionis Yahudi.

Ini berpunca daripada longgarnya kesatuan sesama umat Islam. Umat Islam berada dalam keadaan lemah dan tidak berupaya membina kekuatan mahupun dapat membantu saudara seagamanya sekalipun mereka diikat dengan akidah keagamaan yang sama sebagai pengikut ajaran Islam.

Dalam aspek penentangan terhadap Zionis Yahudi, umat Islam perlu bersatu padu dan tidak boleh berputus asa ataupun tidak membiarkan mereka terus sombong serta merendahkan maruah dan martabat umat Islam.

Jika umat Islam terus tidak sekata, berpecah-belah dan berputus asa menentang musuh, bermakna kaum ini sudah hilang kemuliaan dan jati diri sedangkan Allah dalam surah al-Munafiqun menegaskan bahawa: “Bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.”

Dalam hal ini, panduan al-Quran secara jelas menegaskan penyelesaian terbaik iaitu bernaung dan bersatu di bawah satu wadah dan ikatan perhubungan yang bertunjangkan keimanan kepada Allah. Berdasarkan firman Allah dalam ayat 103 surah Ali Imran bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan agama Islam dan janganlah kamu berpecah-belah.”

Allah mendahulukan perintah-Nya supaya berpegang dengan tali Allah iaitu al-Quran, kemudian diikuti dengan ayat larangan jangan berpecah belah bagi menunjukkan betapa berpegang teguh dengan tali (agama) Allah adalah yang terpenting, kerana tanpanya umat Islam tidak dapat disatukan. Malah al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah memerintahkan perpaduan dan kesatuan dan melarang perpecahan kerana perpecahan merupakan sebuah kebinasaan sebaliknya hidup berjemaah dan bersatu merupakan keselamatan.

Begitu juga dalam beberapa ayat al-Quran lain yang memperlihatkan kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam. Para Nabi juga diperintahkan Allah agar memberi perhatian terhadap persoalan kesatuan ummah, seperti dalam ayat 92 surah al-Anbiya’: “Sesungguhnya ini umat kamu, umat yang satu dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.”

Bagi membina kesatuan ummah yang kukuh, seorang pejuang wanita Palestin, Na’ilah Hashim Sabri melihat sebarang unsur yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam perlu dibenteras dan dihapuskan. Kewajaran sedemikian ada asasnya, kerana kesatuan ummah adalah benteng yang tetap utuh dan tidak akan runtuh selagi mana adanya ikatan tali persaudaraan Islam sesama umat Islam.

Malangnya, melihat senario hari ini menunjukkan sebaliknya. Keadaan umat Islam hari ini terutamanya di kebanyakan negara-negara Arab masih menebal sikap ananiah, mementingkan diri sendiri, kelompok dan kabilah masing-masing.

Amat menyedihkan apabila negara-negara Islam khususnya negara Arab berpecah dan dicaturkan oleh pihak musuh, manakala pemimpinnya pula saling tidak bersatu. Keadaan ini pasti tidak menguntungkan Islam dan umatnya.

Sebagai langkah pengukuhan persaudaraan dan kesatuan ummah, sebarang perbuatan yang dianggap terkeluar dari batas ketaatan dan akhlak yang membawa kepada permusuhan perlu dihindari.
Mengambil contoh dalam perhubungan antara pemimpin dengan rakyat, jika jalinan hubungan ini tidak dijaga dengan baik maka akan timbul ketidaktentraman dan suasana buruk dalam masyarakat Islam. Akibatnya, terungkailah satu persatu ikatan persaudaraan dalam kalangan muslimin dan robohlah ikatan perpaduan yang menjadi benteng kekuatan ummah.

Sementara golongan Zionis Yahudi berjaya menakluk Palestin dan menjarah bumi milik umat Islam kerana berlakunya perpecahan dan sikap mementingkan diri dalam kalangan umat Islam sendiri. Perpecahan yang berlaku menyebabkan umat Islam lemah. Akibat perbalahan dan perpecahan tersebut, ia menjadi peluang besar bagi mereka untuk merampas dan menjajah bumi Palestin.

Realiti ini menyedarkan kita untuk mengingatkan umat Islam tentang pentingnya keimanan dan kekuatan rohani yang menjadi tunjang keutuhan jati diri umat Islam. Pembinaan syakhsiyah mulia dan jiwa yang dipenuhi dengan sifat mahmudah sahaja yang mampu membentuk ikatan persaudaraan yang menjadi tonggak kepada kesatuan ummah. Namun, apabila hilangnya jati diri yang beristiqamah dan beriltizam dengan ajaran Islam, maka umat Islam dipandang rendah dan hina malah senang ditindas dan dipijak oleh musuh Islam.

KRISIS KEYAKINAN
Dunia hari ini memperlihatkan krisis keyakinan dan jati diri yang melanda sebahagian generasi umat Islam. Bagaimana sikap dan jati diri pemuda Islam yang masih leka dan lalai dengan hiburan, sedangkan maruah Islam diinjak-injak di tanah air mereka sendiri. Semoga identiti umat Islam tidak hanya wujud pada nama-nama Islam mereka sahaja seperti mana yang tercatat pada sijil kelahiran.

Asas kebimbangan dengan realiti kehidupan yang sedemikian rupa pada hari ini, bersandarkan kepada kebenaran sabda baginda Rasulullah daripada hadis yang yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Khudri yang menjelaskan bahawa baginda Rasulullah bersabda: “Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian pasti kalian akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Justeru umat Islam perlu lebih optimis dengan janji-janji Allah. Penghayatan terhadap intipati ayat al-Quran tersebut adalah pemangkin semangat kepada kaum Muslimin untuk meyakini kemenangan yang berpihak kepada Islam. Penyelesaian terbaik yang ditunjukkan al-Quran, menyuluh kehidupan manusia sehingga wujudnya tautan hati sesama umat Islam.

Umat Islam perlu menumpukan perkara yang lebih penting, membuang sikap ananiah yang merugikan umat Islam sendiri, mengambil semangat juang Sultan Muhammad al-Fatih dan mengambil ibrah dari peristiwa pembukaan Kota Konstantinopel sebagai suatu sejarah yang sentiasa hidup dan akan berulang kemenangan sedemikian di bumi Palestin. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mustaffa Abdullah ialah Profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Setiausaha Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×