Kehilangan Raja Teromba tiada ganti?

Kehilangan Raja Teromba tiada ganti?

NOOR Hidayyah Murni Mohd. Rosli (kiri) dan adiknya, Muhammad Hafiz Fardillah di Galeri Raja Teromba, Perkampungan Raja Teromba, Kampung Terusan Seberang, Kuala Pilah. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya secara peribadi mula mengenali Allahyarham Datuk Paduka Mohd. Rosli Saludin kira-kira 15 tahun lalu, sewaktu itu beliau mempersembahkan bacaan teromba dalam satu istiadat di Kuala Pilah. Ini antara rangkap bacaan teromba yang disampaikan oleh Allahyarham ketika itu yang masih diingati saya.

“Kalau nak tahu tingginya gunung tanya pada enggang, kalau nak tahu dalamnya lubuk tanya pada memerang, kalau nak tahu lebarnya pantai tanya pada seluang, kalau nak tahu tebalnya hutan tanya pada Pak Belang, kalau nak tahu lebarnya padang tanya pada belalang”.

Rangkap teromba penuh makna dengan alunan yang disampaikan oleh Mohd. Rosli pada waktu itu enak didengar ditambah dengan penggunaan dialek Negeri Sembilan menarik perhatian hadirin, tidak terkecuali juga saya. Ketika itu juga barulah saya mengetahui mengenai apa itu teromba, sejak itu saya beberapa kali bertemu dengan Allahyarham dalam pelbagai majlis lain.

Beberapa tahun kemudian, saya bertugas di ibu negara dan kembali semula di Negeri Sembilan pada tahun 2020. Bertugas di negeri yang mengamalkan Adat Perpatih memerlukan saya untuk memahami dengan lebih baik mengenai adat berkenaan terutama bagi membantu penulisan berita.

Tiadalah orang lain yang berada dalam fikiran saya untuk dijadikan rujukan melainkan Allahyarham. Banyak kali saya hubungi beliau di telefon bagi mendapatkan pandangan malah pernah ke rumahnya di Kampung Ulu Gachong, Kuala Pilah.

Pertemuan kami ketika itu adalah berkaitan penulisan artikel mengenai salah tanggapan ‘orang luar’ untuk mengahwini gadis dari Negeri Sembilan.

Pada petang 4 April lalu, saya menerima khabar Allahyarham meninggal dunia selepas diberikan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) akibat jangkitan kuman.

Pemergian Allahyarham itu agak mengejutkan buat saya, banyak perkara lagi yang ingin ditanyakan saya kepadanya. Bagi banyak pihak lain, pemergian Mohd. Rosli disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Negeri Sembilan terutama beliau merupakan seorang tokoh adat dan menjadi rujukan utama mengenai Adat Perpatih.

Menurut penyelidik bebas dan budaya Negeri Sembilan, Mohd. Khairil Hisham Mohd. Ashaari, kehilangan Mohd. Rosli yang merupakan Tokoh Warisan Kebangsaan Bagi Kategori Orang Hidup (Teromba) itu tiada penggantinya buat setakat ini.

“Bagi saya kita tiada lagi, dulu kita ada Datuk Seri Abd. Khalid Bonget, selepas beliau meninggal dunia, kita ada pula Datuk Mohd. Rosli namun selepas Mohd. Rosli meninggal dunia, siapa lagi akan jadi rujukan untuk Adat Perpatih? Negeri Sembilan tidak lahirkan pelapis, ini memang satu kerugian.

“Sekarang ini habis, tiada lagi orang yang tepat untuk faham daripada segi teromba, adat Melayu khususnya Adat Perpatih, Negeri Sembilan memang kehilangan. Tidak mengapalah, Negeri Sembilan mesti bermula daripada awal kembali untuk mencari pelapis ini, belajar mengenai teromba, belajar mengenai adat budaya, agensi-agensi terlibat perlu mainkan peranan, buat pelbagai program jika 100 orang yang hadir takkan lah tiada seorang yang ‘lekat’ untuk dijadikan pelapis,” katanya.

Baru-baru ini, saya ke Galeri Raja Teromba, Perkampungan Raja Teromba, Kampung Terusan Seberang, Kuala Pilah untuk bertemu dengan dua orang anak Allahyarham iaitu Noor Hidayyah Murni, 37, dan adiknya, Muhammad Hafiz Fardillah, 25.

Menurut Noor Hidayyah Murni, galeri itu diwujudkan oleh Allahyarham bapanya itu supaya ia dapat dijadikan rujukan dan kajian orang lain terutama berkaitan Adat Perpatih dan teromba.

Daripada panjang perbualan kami, saya dapat rasakan kedua-duanya bersedia untuk meneruskan perjuangan arwah bapa mereka itu.

“Arwah banyak kali meminta saya untuk duduk di sini dan jaga galeri ini, dia minta saya membaca bahan-bahan yang ada dalam galeri ini, di situ kami faham yang dia minta untuk kami teruskan dan sampaikan kepada yang lain. Kami adik beradik menerima ilmu diperjuangkan oleh ayah ini tidak secara berhadapan dengannya namun hasil program dan acara yang kami turut serta.

“Sejak dibangku sekolah, jika ada program, ayah turut akan bawa kami bersama, kami dengar semua menerusi ceramah dan ucapannya yang disampaikannya itu, di situlah kami belajar dan kadang kala ilmu yang diberikannya adalah secara spontan sahaja,” katanya.

Anak sulung Allahyarham itu turut menambah, pemergiaan bapanya itu memang satu kehilangan terutama dalam dunia kesenian, kebudayaan dan adat Melayu.

“Seperti teromba itu, memang dia yang mempopularkannya, dia ambil kata-kata dan ungkapan daripada pelbagai orang yang kemudiannya disusun dan dijadikan puisi yang cantik seterusnya dijadikan teromba,” katanya.

Bak kata, tokoh politik dan budayawan negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, “Kehilanganmu Tok Teromba menghampakan jiwa juang budaya.

“Rakyat Negeri Sembilan akan sentiasa mengingati Allahyarham Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin, pejuang Adat Perpatih dan pakar teromba. Kita kehilangan kawan berunding, teman bersapa tentang adat dan budaya tanah air.

“Sifat diri ‘Nismilan’nya begitu tersohor daripada segi komunikasi lisan, cintanya terhadap budaya lisan bangsanya membawanya ke merata toboh dan pelusuk Negeri Sembilan, sentiasa mencari ‘nan tersirat’ melalui lenggok bahasa dan pertuturan,” menurut Rais. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN