Jemaah haji berhati-hati strok haba

Jemaah haji berhati-hati strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU diikutkan pada ramalan, suhu di Tanah Suci Mekah antara 39 sehingga 42 darjah Celcius. Maka beberapa persediaan perlu dibuat

Ini kerana ancaman terbesar ketika mengerjakan haji adalah strok haba yang boleh membawa maut sekiranya cuaca panas melampau berlaku di sana.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Dr. Mohd. Khalis Abdul Rahim, strok haba disebabkan beberapa faktor antaranya cuaca panas melampau,latihan fizikal yang berat; dehidrasi; kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta atau mereka yang bekerja dalam tekanan haba tinggi.

“Ia berisiko tinggi kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan golongan yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, penyakit pernafasan, penyakit berkaitan jantung dan buah pinggang,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, ramai tidak menyedari mereka terkesan dengan teruk akibat panas melampau kerana merasakan ia simptom biasa dan kononnya cuaca panas adalah biasa dan sama seperti di Malaysia.

Kata Dr. Mohd. Khalis, haba tidak terjadi mendadak dan biasanya ia berlaku secara berperingkat dan setiap perubahan perlu diambil berat sebelum ke peringkat tidak sedarkan diri malah ia boleh membawa maut.

“Kajian perubatan menunjukkan kadar kematian meningkat kepada melebihi 50 peratus apabila berlaku strok haba, namun apabila rawatan awal diterima dengan cepat dan baik, kadar penyembuhan juga hampir 100 peratus.

Sekiranya rawatan makin ditangguh maka tahap penyembuhan menjadi semakin sukar.

“Strok haba yang tidak dirawat segera boleh menyebabkan tahap dehidrasi yang teruk pada seseorang dan boleh mengakibatkan kerosakan pada organ-organ penting badan seperti otak, buah pinggang, jantung dan hati.

Kerosakan otak boleh menganggu perkem­bangan otak (ter­utama­nya pada kanak-kanak), kognitif, ingatan atau lebih teruk kecacatan kekal,” jelasnya.

Katanya, beberapa langkah pencegahan boleh diambil antaranya minum air yang banyak (tiga ke empat liter sehari air kosong) untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi.

Dalam pada itu, salah seorang bakal jemaah Nurmadiah Mat Saidi,66 berkata, beberapa persediaan telah dibuat sejak beberapa bulan lalu terutama dalam aspek kewangan dan kesihatan.

Menurutnya, sebagai bekas pesakit strok, dia mahu kekal sihat ketika menunaikan ibadah haji nanti lebih-lebih lagi sekiranya perlu berdepan dengan cuaca panas

“Alhamdulilah saya kekal tenang dan berfikiran positif, makan ubat, amalkan makanan sunnah selain melakukan senaman. Apa yang saya harapkan agar kesihatan kekal baik,” katanya.

Bagi Ahmad Hazril Abd Halim, 37, walaupun berasa gementar, penjagaan kesihatan sentiasa dititik beratkan terutama untuk mengelakkan diri daripada berlakunya strok haba.

“Saya ada baca beberapa tips dan hal berkaitan persediaan ke Tanah Suci Mekah. Insya-Allah diharapkan segalanya semuanya berjalan lancar nanti,” jelasnya.

Bantuan kewangan bantu ringankan jemaah haji

Bantuan kewangan daripada kerajaan untuk jemaah haji disifatkan penting bagi membantu individu menunaikan ibadah rukun Islam ke lima itu.
Malah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak kerajaan boleh memberi bantuan kepada rakyat untuk menunaikan fardhu haji sekiranya perbendaharaan negara melebihi untuk keperluan asas bagi kehidupan rakyat jelata.

“Perkara pertama, kerajaan wajib memberi keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan rakyat dan memastikan mereka mampu meneruskan kehidupan yang mencukupi dalam sudut makan minum, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.
“Jika ada simpanan negara yang melebihi keperluan-keperluan asas ini maka bolehlah dibelanjakan untuk membantu rakyat menunaikan fardhu haji dan perkara-perkara lain,” katanya Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan hutang yang dibuat oleh jemaah haji, Wan Salim berkata, tiada halangan jika seseorang itu meminjam wang untuk menunaikan fardhu haji sekiranya dia mampu membayar balik hutangnya setelah pulang nanti.
“Tetapi jika dia tidak memiliki duit atau harta maka dia tidak wajar berhutang untuk pergi haji kerana kewajipan haji adalah gugur daripada seseorang yang tiada kemampuan atau istitha’ah.
“Bagaimanapun menunaikan haji dengan berhutang adalah sah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN