Institusi Raja benteng, kuasa pengimbang - Utusan Malaysia

Institusi Raja benteng, kuasa pengimbang

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA peruntukan menarik dalam Artikel 153 tetapi kurang mendapat pendedahan bagi kefahaman orang ramai berbunyi berikut:

“Ia, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan pribumi…di negeri Sabah dan Sarawak…dan memelihara hak asasi komuniti bukan bumiputera…”

Kandungan penting ini dipetik kerana ia jaminan jelas bahawa masyarakat bukan bumiputera sedia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan Raja yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara. Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja.
Sebuah pepatah berbunyi:
Raja adil, Raja disembah
Raja zalim, Raja disanggah.

Institusi Majlis Raja-Raja itu sebenarnya adalah institusi pengimbang kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. Misalnya, jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada perkara-perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Per. 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan keMelayuan), Majlis Raja-Raja berhak dan hendaklah terlebih dahulu dirundingi.
Dari susunan bahasa Artikel 43, Kabinet dilantik dengan tujuan menasihati Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugasnya mentadbir negara ini selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum.

Bagi apa jua maksud dan tujuan, perkataan “untuk menasihati beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya” dalam erti kata sebenarnya bahawa Kabinet mestilah mentadbir negara di atas nama Yang di-Pertuan Agong dengan sewajarnya.

Bahkan sebelum ini Yang di-Pertuan Agong ke-16 sanggup mencemar duli memanggil semua presiden parti-parti politik utama menghadap baginda untuk mendengar isu-isu semasa yang dibangkitkan.

TEGURAN
Pada masa lalu juga Yang di-Pertuan Agong bebas untuk menyuarakan pendapat dalam pelbagai perkara. Baginda boleh mencadangkan sesuatu kepada Perdana Menteri atau memberi teguran mengenai tandas kotor atau jamuan negara yang menjemukan pada malam sebelumnya. Dari isu keselamatan ke pembinaan istana, dari permasalahan Islam berbilang mazhab kepada pembinaan hotel – semua ini pernah dibangkitkan oleh Agong-Agong sebelum ini.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitah mana-mana menteri untuk memberi taklimat kepadanya. Realitinya, Yang di-Pertuan Agong menikmati fungsi eksekutif jika tidak kuasa de facto eksekutif.
Hakikatnya, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Perkara 43(2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Seri Paduka juga mempunyai budi bicara mutlak untuk sama ada perkenankan permintaan bubar Parlimen oleh Perdana Menteri.

Malaysia, suatu himpunan sembilan orang Sultan serta dua negeri Borneo – suatu cantuman karya entiti berbeza. Meskipun zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris disusuli pasca penjajahan menguasai seluruh Tanah Melayu, dalam pembentukan awal Malaysia, Kesultanan seperti Pahang, Kelantan, Kedah, Perak, Johor serta Negeri Sembilan tetap wujud – lengkap dengan tradisi berabad lamanya. Kesultanan antara 1511 hingga 1957 menikmati pelbagai bentuk hubungan dengan tetuan penjajah.

Bila British merancang pembentukan sebuah negara menerusi Malayan Union pada 1946, tanpa rasa hormat kepada institusi diraja, orang Melayu bangkit melalui gabungan pertubuhan membantah dikenali sebagai “hartal”. Mereka menghantar mesej ke London bahawa pembentukan Persekutuan mesti terlebih dahulu melindungi hak-hak orang Melayu dan pemerintah yang mereka hormati.

MONARKI
Hakikatnya, peranan dimainkan oleh monarki dalam membantu pentadbiran negara tidak boleh diperkecil atau diremehkan kerana telah terbukti keberkesanannya. Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, realitinya kewujudan monarki dalam ruang lingkup sistem Raja Berperlembagaan membuatkan cabang Eksekutif (pentadbiran) kerajaan lazimnya akan seiring dalam mengurus pentadbiran negara.

Biarpun Malaysia bukan seperti Brunei atau Monaco dengan sistem pemerintahan monarki mutlak, peranan disalurkan melalui Yang di-Pertuan Agong begitu bermakna sekali. Keprihatinan rakyat terhadap institusi Agong adalah manifestasi kepentingan peranan monarki Malaysia.

Kewujudan monarki di Thailand dan Jepun turut membantu proses demokrasi yang dianggap salah satu proses semak dan imbang. Ia terutama jika diambil kira peranan monarki di Thailand dalam mengimbangkan pemerintahan konflik antara Perdana Menterinya dengan junta tentera.

Norway, Sweden dan Denmark – kelompok Negara Scandinavia – pula memiliki sistem monarki berperlembagaan yang selari dengan Malaysia. Monarki di tiga negara itu tidak mengekang proses demokrasi hidup subur.

Institusi diraja juga berperanan sebagai mengekang benteng perpecahan negara. Bila Catalonia, salah satu wilayah di Sepanyol menuntut kemerdekaan dari Madrid pada 2017, Raja Sepanyol Felipe VI lantas menyuarakan rasa tidak puas hati baginda terhadap permintaan tersebut yang bertentangan dengan perlembagaan Sepanyol.

Di Britain, tatacara Ratu Elizabeth pula berbeza. Baginda tidak campur tangan dalam isu tuntutan kemerdekaan Scotland dan isu Brexit tetapi tentunya kemelut melanda isu Brexit menempuh jalan berbeza jika baginda campur tangan.

Sistem demokrasi berparlimen Raja Berperlembagaan kita kunci kemakmuran yang dikecapi Malaysia selama ini.

Duli Yang Maha Mulia Raja-raja tidak mampu untuk berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam soal melibatkan kepentingan rakyat jelata. Ini termasuk isu jualan stoking tertera kalimah Allah dan keributan di Dewan Rakyat.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada Institusi Raja di negara. Kedudukan dan peranan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara juga sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dijadikan sandaran rakyat untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Dalam era demokrasi dan penyertaan politik rakyat yang semakin terbuka, citra institusi raja bukan sekadar simbol semata-mata. Hal ini kerana institusi tersebut sebenarnya boleh memainkan peranan kritikal dalam pembangunan dan peradaban bangsa.

Pada masa sama, Institusi Raja juga perlu menyantuni perubahan semasa agar terus relevan dan dihormati rakyat jelata.

Sesungguhnya, Institusi Raja adalah harapan terbaik dan benteng terakhir orang Melayu, umpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.

Dirgahayu Tuanku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN