Harmonikan bulan Syawal

Harmonikan bulan Syawal

HUBUNGAN ikhlas dan mesra tanpa mengira kaum ialah resipi keharmonian negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Raya Aidilfitri sudah lebih seminggu berlalu. Yang mula berpuasa sunat enam Syawal secara berturut-turut bermula hari raya kedua sudah pun beraya sekali lagi. Walaupun kini tiada lagi sambutan besar-besaran pada tarikh 8 Syawal, namun hari kemenangan ini besar ertinya kepada mereka yang istiqamah berpuasa Syawal awal setiap tahun.

Dikenali sebagai Raya Enam di Terengganu, dahulunya hari tersebut disambut lebih meriah berbanding sambutan pada hari raya pertama. Satu cara yang baik bagi membudayakan amalan tidak melengah-lengahkan puasa sunat yang sangat besar pahalanya ini, supaya ia menjadi satu kelaziman dalam kehidupan masyarakatnya.

Namun kini, keadaan sudah jauh berbeza. Amalan berpuasa sunat Syawal berturut-turut bermula 2 Syawal tidak lagi diamalkan secara meluas seperti dahulu. Bagi perantau yang pulang beraya ke kampung halaman, ketika inilah mereka mahu menikmati juadah-juadah istimewa yang dirindui ketika di perantauan.

Bagi sanak-saudara yang teruja menyambut kedatangan kita, kunjungan ke rumah mereka seolah-olah tidak lengkap jika kita tidak menjamah hidangan di meja. Serba salah kita dibuatnya kerana tidak mahu menghampakan mereka, terutamanya bagi yang jarang dapat bersua muka.

Lagipun, semasa di kampung halamanlah kita mahu menikmati sepuas-puasnya masakan hasil air tangan ibu dan nenek yang tidak boleh ditandingi keenakannya. Ketika arwah nenek masih ada, bermacam-macam makanan kegemaran kami akan nenek hidangkan setiap kali kami pulang, apatah lagi ketika pulang beraya.

Kembali dari kampung halaman, kesibukan memenuhi jemputan majlis hari raya serta menghadiri majlis rumah-rumah terbuka yang berlangsung sepanjang Syawal menyebabkan ramai tidak berpuasa Syawal secara berturut-turut atau terpaksa menangguhkan puasa sunat ini hingga ke saat-saat akhir.

Walau bagaimanapun, alangkah ruginya jika kita sampai terlepas peluang berpuasa sunat Syawal selama enam hari setelah kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Di ibu kota, kemeriahan beraya bermula setelah warganya pulang semula ke kota. Lazimnya, sambutan hari raya dan rumah terbuka berlarutan sehingga penghujung Syawal.

Tanpa majlis-majlis seperti ini, adakalanya jarang sekali saudara-mara, sahabat handai serta jiran tetangga dapat berkumpul dan makan semeja. Maka, Syawallah masa untuk berkumpul, bermaaf-maafan, mengimbau kenangan sambil mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita.

Selepas ketiadaan ayah, suasana Syawal kami banyak berubah. Kalau dahulu, setiap hujung minggu kami akan berkejar sehari suntuk menghadiri majlis-majlis rumah terbuka dan kenduri-kendara sepanjang Syawal.

Tahun ini, saya memanfaatkan cuti hari raya untuk berehat dan melakukan aktiviti santai bersama-sama ibu dan kakak-kakak bagi melapangkan fikiran sebelum kembali kepada jadual harian yang padat.

Untung juga beraya di ibu kota bagi kami yang berkuliah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Sedih mendengar cerita perjuangan teman-teman menghadapi kesesakan jalan raya yang sangat teruk untuk kembali ke kampus. Ada yang terpaksa menempuh perjalanan selama lebih 24 jam dari Kelantan ke ibu kota. Bayangkan betapa seksanya terperangkap dalam kesesakan jalan raya sehari semalam dalam cuaca yang panas membara.

Namun, jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu. Semoga setiap kesulitan akan membakar semangat kita agar lebih gigih berusaha serta sentiasa membulatkan niat untuk berjaya. Semoga akan ada penyelesaian bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang semakin parah dari tahun ke tahun setiap kali tiba musim perayaan.

Di sebalik isu masalah kesesakan jalan raya, ramai terharu membaca berita sekumpulan komuniti Cina di sekitar Ladang Bikam, Perak sepakat meratakan jalan ladang di dalam kegelapan malam bagi membolehkan mereka yang melalui jalan pintas itu meneruskan perjalanan ke arah ibu kota setelah pulang beraya di kampung halaman.

Inilah indahnya sikap masyarakat Malaysia yang prihatin dan berbudi bahasa. Hubungan ikhlas dan mesra tanpa mengira kaum ialah resipi keharmonian negara. Tiada masalah untuk kita hidup secara harmoni di bumi bertuah ini jika kita tahu membawa diri, saling bantu-membantu, patuh kepada undang-undang dan menghormati hak orang lain seperti mana kita mahu orang lain menghormati hak kita.

Malangnya, pada masa yang sama kita turut dihidangkan dengan berita tentang kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Masih ada yang sewenang-wenang memainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum). Setelah tujuan tercapai, mereka meminta maaf. Hal ini lebih buruk apabila melibatkan mereka yang berjawatan dalam parti politik. Politik matang? Jauh sekali.

Hargailah keamanan dan jangan cetuskan perbalahan sesama kita. Jika kita berbalah, orang lain yang akan bertepuk tangan. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Hindari sikap radikal yang boleh mencetuskan keganasan kerana itu bukan budaya bangsa kita. Kita tidak akan mampu menolong orang lain jika negara kita sendiri tidak aman.

Meraikan kemenangan melawan hawa nafsu harus dihayati dalam erti kata sebenarnya. Takkanlah sebaik sahaja kita meninggalkan bulan Ramadan, kita turut meninggalkan apa yang telah kita perjuangkan selama sebulan di bulan yang mulia itu.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Apa sahaja tindakan kita, ia harus berlandaskan aturan dan tatacara yang betul dan bukannya mengikut undang-undang rimba.

Menegakkan benang yang basah dan menyalahkan orang lain bukanlah satu keberanian. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta. Jangan sekali-kali mencurah minyak ke dalam api kerana akibatnya boleh menghancurkan negara. Semoga ibadah puasa Ramadan dan Syawal menjadikan kita insan yang lebih baik dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN