BEKAS pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Hisham Badrul Hashim pernah berkongsikan sebuah gambar yang memaparkan barisan pengawas sekolah itu pada 1955.
Mereka dipimpin oleh Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar selaku ketua pengawas sejak 1954 iaitu ketika beliau masih berusia 15 tahun. Jawatan itu dipegangnya sehingga 1956.
Ia menunjukkan bagaimana di peringkat sekolah lagi anak kelahiran Teluk Anson, Perak itu sudah diberikan tugas dan tanggungjawab besar kerana mempunyai sifat dan naluri kepimpinan yang tinggi dan menjadi contoh kepada pelajar lain.
Beliau juga seolah-olah ditakdirkan untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk negara apabila dewasa kelak.
Perkara ini terbukti apabila beliau memulakan kerjayanya sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis mulai 8 Jun 1959 pada usia 20 tahun, dua tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.
Dalam tempoh setahun sahaja, beliau memegang pelbagai jawatan bermula dengan Pegawai Penyiasat di Melaka Tengah pada April 1960 dan Penolong Ketua Polis Daerah Jasin pada 30 November 1960.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Penjaga Siasatan Jenayah (Selatan), Pahang pada 2 Disember 1960.
Pada tahun itu juga, kerajaan menamatkan tempoh darurat pada 31 Julai 1960, manakala ketua pengganas komunis, Chin Peng melarikan diri ke luar negara.
Dua tahun selepas itu, Hanif sudah mula berkhidmat sebagai Pegawai Turus Cawangan Khas di Bukit Aman pada 16 Januari 1962.
Ini diikuti dengan jawatan Pegawai Turus Cawangan Khas Selangor pada 8 Ogos 1966 dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak pada 20 Julai 1967.
Bagaimanapun, gerakan komunis kembali aktif di negara ini apabila Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang pasukan keselamatan negara di sempadan Thailand-Malaysia di Pengkalan Hulu, Perak pada 17 Jun 1968.
Namun, insiden 13 Mei menjadi detik penting buat Hanif ke arah kedudukan lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lima hari selepas insiden 13 Mei, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) bagi Majlis Gerakan Negara pada 18 Mei 1969 yang baru dibentuk tiga hari sebelum itu, diketuai Tun Abdul Razak sejurus selepas pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Lapan bulan selepas negara berada dalam keadaan lebih terkawal, beliau dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Selangor iaitu pada 20 Disember 1969.
Dalam tempoh hanya tiga tahun, beliau memegang jawatan tertinggi bermula dengan Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970 sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.
Dua tahun kemudian, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 31 Januari 1973.
Namun, ketika pelantikannya berusia sehari, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973.
Beliau dilantik bersama-sama dengan Tan Sri Abdul Rahman Hashim selaku Ketua Polis Negara (KPN) baharu bagi menggantikan Tun Mohamed Salleh Ismael yang meninggal dunia pada 31 Januari 1973 pada usia 55 tahun.
Bagaimanapun, kira-kira setahun lima bulan selepas itu, Abdul Rahman yang baru berusia 50 tahun ketika itu terbunuh akibat serangan komunis pada 7 Jun 1974.
Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Malaysia menjalinkan hubungan rasmi dengan China pada 31 Mei 1974, sekali gus menamatkan sokongan negara itu pada PKM.
Pemergian Abdul Rahman ketika itu meninggalkan kesan besar kepada negara kerana ia melibatkan serangan komunis.
CABARAN BERAT
Disebabkan peristiwa tersebut, Hanif dilantik sebagai KPN pada 8 Jun 1974 dengan tugas berat untuk menangani dan menghapuskan pengaruh komunis sepenuhnya di negara ini.
PKM cuba meningkatkan operasinya secara lebih besar-besaran pada awal 1975 namun gagal selepas kerajaan mendapati hanya kira-kira 2,400 komunis masih aktif pada April 1976.
Respon Hanif ketika itu ialah menambah bilangan anggota polis di seluruh negara, menubuhkan unit tindak khas (UTK) dan mengarahkan semua anggota polis wajib berkhidmat dalam pasukan medan polis yang sebelum ini dikenali sebagai pasukan polis hutan.
PKM cuba meraih sokongan dari Orang Asli, namun Rejimen Senoi Praaq dibentuk pada September 1974 bagi membanteras komunis dan rejimen itu akhirnya diserap masuk sebagai sebahagian daripada polis di Pengkalan Hulu dan satu lagi batalion Senoi Praaq dibentuk di Bidor, Perak.
Hanif yang sudah memerangi komunis sejak di bawah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn sekali lagi menjadi watak penting di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mahathir ketika itu menggesa China bagi meyakinkan PKM supaya menamatkan serangan dan menyerah kalah, sebaliknya turut serta dalam membina negara.
Perkara itu dipersetujui oleh pemimpin tertinggi China, Deng Xiaoping yang menggalakkan PKM supaya berunding mengenai perjanjian damai dengan Malaysia.
Akhirnya, selepas 20 tahun komunis aktif semula di negara ini sejak 1968, pimpinan PKM akhirnya bersetuju untuk berunding mengenai perjanjian damai.
Sebulan selepas kejatuhan Tembok Berlin pada 9 November 1989 yang menyatukan kembali Jerman, perjanjian damai berjaya dicapai antara kerajaan Malaysia dan PKM.
Hanif merupakan antara wakil kerajaan dalam perjanjian damai tersebut pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.
Perjanjian damai tersebut merupakan kemuncak pencapaian Hanif selaku KPN sebelum bersara pada 15 Januari 1994.
Dalam tempoh 20 tahun sebagai KPN dan 35 tahun sebagai anggota polis, ia memerlukan komitmen, dedikasi, pengorbanan dan semangat juang yang tinggi untuk membantu mencapai keamanan negara.
Tidak ada orang lain seperti Tun Hanif Omar. Al-Fatihah.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










