TINDAKAN Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen spa, urutan tradisional dan refleksologi menerima reaksi berbeza daripada orang ramai.
Bagi golongan usahawan yang merancang untuk membuka perniagaan berkenaan, nyata keputusan MBJB itu berita buruk.
Maka, melepaslah impian untuk meraih keuntungan besar yang dihajatkan. Apa tidaknya kerana perniagaan tersebut sentiasa mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Namun, sebahagian besar masyarakat mengalu-alukan keputusan MBJB itu, malah keputusan tersebut dianggap keputusan tepat yang sepatutnya sudah lama diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Apa tidaknya, kewujudan banyak pusat spa, urutan tradisional dan refleksologi yang ada di negeri ini, khususnya di bandar raya Johor Bahru ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Pergilah ke mana sahaja di bandar raya ini, ada sahaja premis yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Malah, pengusaha turut menyediakan kemudahan parkir serta sanggup menjaga kenderaan para pelanggan mereka daripada dikenakan saman oleh pihak penguat kuasa.
Walaupun banyak premis yang ada, namun pengusahanya tetap yakin mampu memperoleh pendapatan lumayan, khususnya pada hujung minggu dan cuti am. Malah, pendapatan yang diperoleh pada waktu hujung minggu mampu menampung pada hari biasa.
Apatah lagi, kejatuhan nilai ringgit turut menjadikan jumlah bayaran yang perlu dibayar, terutamanya bagi pelanggan dari negara Seberang Tambak, Singapura ‘amat menarik’.
Misalnya, bayaran RM60 sejam bagi khidmat refleksologi hanya bernilai 18 dolar Singapura.
Nyata bayaran itu amat murah bagi para pelanggan warga Singapura.
Justeru, tidak hairan kebanyakan premis spa, urutan tradisional dan refleksologi ‘ diserbu ‘rakyat negara jiran berkenaan, khususnya pada hujung minggu dan cuti am di negara.
Bagi pengusaha, kehadiran ramai pelanggan dari negara jiran berkenaan ibarat ‘durian runtuh’ kerana mampu memperoleh pendapatan lumayan, namun dari segi sosial, kewujudan banyak premis seumpama itu memberi impak dan imej yang kurang manis terhadap bandar raya ini.
Malah, ada warga tempatan yang menganggap Johor Bahru ‘syurga’ bagi rakyat Singapura yang ingin berhibur dan bercuti di negeri ini.
Di sebalik pulangan ekonomi yang mampu memberi senyuman kepada golongan peniaga, namun kewujudan banyak premis seumpama itu membawa sisi ‘gelap’.
Walaupun bukan semuanya, namun tidak dapat dinafikan perniagaan tersebut sering dikaitkan dengan sisi gelapnya, iaitu aktiviti pelacuran.
Nyata langkah MBJB membekukan semua permohonan lesen berkenaan amat dipuji, sekurang-kurangnya mengekang lebih banyak lagi pusat seumpamanya beroperasi di sini.
Kewujudan banyak premis ‘lip lap lip lap’ seumpama itu bukan sahaja memberi imej yang buruk, malah meningkatkan masalah sosial dan jenayah lain termasuk pelaburan dan pengedaran serta penagihan dadah.
Langkah membekukan lesen berkenaan juga seharusnya diikuti oleh semua PBT di negeri ini. Bukan sahaja oleh MBJB!
BERPUSAT
Cadangan supaya pusat hiburan ditempatkan di kawasan khas juga antara langkah yang harus dilaksanakan segera.
Selain berpusat, usaha itu juga memudahkan pihak berkuasa khususnya PBT dan agensi keselamatan melakukan pemantauan. Andai berlakunya sesuatu jenayah, maka lebih mudah bagi pihak berkuasa menangani dan menyelesaikan.
Malah, usaha memburu pelakunya lebih mudah.
Bukan sahaja spa, urutan tradisional dan refleksologi, malah kelab malam dan pusat hiburan yang seumpamanya juga ‘melambak’ di bandar raya ini.
Bagi premis yang sudah mempunyai lesen, sekiranya terbukti melanggar syarat, batalkan sahaja atau jangan sambung lesen mereka. Tindakan tegas mesti dilakukan supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat.
Tindakan tegas juga harus dikenakan sebelum bandar raya ini dicop sebagai ‘pusat hiburan gelap’.
Jika ini yang dibiarkan, maka usaha kerajaan negeri untuk mencapai negeri maju bukan sahaja sukar dicapai, malah pasti tercalar.
Kemajuan yang diharapkan bukan disusuli dengan kerosakan sosial warganya, tetapi perlu disusuli dengan ketinggian budi bahasa rakyatnya.
Johor tidak harus dicemari dengan sisi gelapnya, tetapi diangkat sebagai bandar raya berbudaya.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.











