Transformasi ekonomi bumiputera sederap selangkah dengan IPT

Transformasi ekonomi bumiputera sederap selangkah dengan IPT

PENGANJURAN Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) pada 29 Februari hingga 2 Mac lalu turut memberi limpahan nikmat kepada bukan bumiputera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENEPATI masa dan tuntutan. Itu yang disifatkan terhadap penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) beberapa hari lalu. Tidak ada istilah terlewat dalam mencari langkah pemula menggerak sesuatu yang perlu. Dan, KEB2024 adalah suatu keperluan dalam mengangkat dan memartabatkan kedudukan masyarakat bumiputera, khususnya dalam sektor ekonomi.

KEB2024 bukan semudah untuk ditafsirkan sebagai agenda politik, tetapi lebih kepada mencari formula ‘menyegarkan’ kedudukan ekonomi bumiputera.

Jelas, penjurusannya adalah soal survival bangsa, tanpa bermaksud untuk menyaingi sesiapa atau mana-mana pihak. Justeru, tidak perlu ada yang bersuara berbaur negatif mengingatkan masyarakat seolah-olah KEB2024 bermirip ‘persaingan antara kaum’ dalam bidang ekonomi.

Apa yang lebih penting, KEB2024 yang melahirkan konteks mentransformasikan ekonomi bumiputera perlu diterjemahkan pada tindakan yang berstruktur dan rapi, agar segala input dan cetusan idea bernas dapat direalisasikan.

Sikap proaktif dalam menyusuli segala yang dirumuskan amat diperlukan. Apapun, ramai yang optimis, 10 resolusi atau kluster hasil dari perbincangan dapat dijayakan bercagarkan pendekatan positif, progresif dan inovatif.

Kekuatan sesebuah bangsa tidak dapat dipisahkan dari aspek penguasaan ilmu dan ekonomi. Mentransformasikan ekonomi bumiputera boleh turut dimainkan peranan utama oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Adunan ilmu yang merangkumi kajian akademik, mencari penemuan kaedah baharu, bercorak praktikal dan terbaik dapat membantu para usahawan bumiputera terutama dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) melonjakkan penghasilan produk yang bermutu dan berdaya saing serta mampu meraih pendapatan lumayan.

Ditambah pula, pihak IPT boleh membantu membimbing para usahawan bumiputera secara ‘dampingan’. Langkah ini memudahkan lagi proses pengembelingan usaha ke arah pencapaian kejayaan ke tahap optima. Ini sekali gus dapat menerapkan aspek ekonomi pengetahuan (K-Ekonomi), bersesuaian dengan persekitaran dan tahap atau skala penglibatan usahawan itu sendiri.

Matlamat utamanya untuk menggalak dan mencipta pelbagai peluang yang mampu menjana pendapatan dan menjamin kebolehupayaan menyara diri.

USAHA UNIVERSITI
Sebagai sebuah universiti yang disinonimkan dengan Universiti Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia meningkatkan pendekatan membantu dan membimbing khususnya para usahawan bumiputera tempatan agar dapat menjayakan sebarang bidang keusahawanan yang diceburi.

Kompenan tindakan yang boleh diselarikan ialah menimba ilmu secara formal bersama aktiviti pengajian sebagaimana lazimnya menyediakan diri untuk bakal menjadi usahawan profesional dan berjaya serta mendapat pendedahan di lapangan, selain membantu meningkatkan kejayaan para usahawan tempatan.

Hasil percambahan fikiran dan idea pada KEB2024 seakan menambah inspirasi baharu bagi UMK untuk terus berperanan membantu menyediakan landasan lebih tepat dan kukuh bagi mengupayakan ekonomi bumiputera khususnya melalui pemerkasaan sektor pendidikan.

UMK bersedia menyahut seruan dan cabaran menelusuri aspirasi KEB2024 untuk membantu negara di dalam memulihkan ekonomi melalui peningkatan ilmu dan produktiviti khususnya kepada kaum bumiputera.

Ada petunjuk-petunjuk jelas keberhasilan UMK dalam memperkasakan bidang keusahawanan bumiputera. Jumlah pelajar UMK yang terlibat dengan keusahawanan setakat ini seramai 3,069 orang. Sementara, antara yang terserlah kejayaan dalam Program Usahawan Sosial Bimbingan UMK ialah Perusahaan Ikan Bekok di Tumpat.

Ikan bekok diproses dengan rendaman garam dan pengeringan. Pengusahanya hanya bermula dengan berupaya memungut keuntungan sekitar RM900, kini melonjak pendapatannya sehingga mencecah RM11,000 sebulan.

UMK juga membantu memindahkan ilmu Modul Keusahawanan melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek). Seramai 14 orang golongan usahawanan kurang upaya (OKU) berjaya dibantu dan dibimbing untuk mempertingkatkan penghasilan dan penjualan produk-produk yang diceburi.

Cabaran yang ditangani termasuk meningkatkan mutu pembungkusan dan pemasaran. Selain bergerak secara ‘solo’, UMK juga turut menjalin rangkaian kerjasama dengan pihak institusi-institusi kewangan dan badan-badan kebajikan tertentu bagi membantu memajukan para usahawan bumiputera.

Pendekatan inovasi akar umbi digunakan, menekankan penyelesaian komuniti untuk meningkatkan pendapatan B40. Integrasi kearifan tempatan dan pendidikan memperkukuhkan kebolehlaksanaan projek. Pendekatan yang diberi perhatian termasuk mendorong kesedaran terhadap aspek penjenamaan, pengendalian pembungkusan dan akses kepada pasaran yang lebih luas.

UMK berpegang kepada keyakinan, melalui pengeluaran tempatan dan penjenamaan yang sesuai, sesuatu produk dapat dihasilkan dengan tahap berkualiti dan berkuantiti tinggi, sekali gus turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi masyarakat bumiputera tempatan.

Turut diambilkira ialah mengekalkan warisan budaya tempatan. Masih jauh perjalanan menemui destinasi kejayaan sebenar. Namun usaha berterusan bersama panduan ilmu dan pengkajian, rangka dan dasar kerajaan atau program baharu berkaitan memperkasakan ekonomi bumiputera diyakini dapat dibantu dengan efektif. Setidak-tidaknya dapat disesuaikan dengan kehendak semasa di samping menentukan masa depan yang terus terjamin dan gemilang.

Berapa jauh pun jarak perjalanan, setiap derap langkah perlu disusun diatur agar destinasi tetap ditemui. Tiada yang mudah menggapai kejayaan tanpa usaha, ikhtiar berterusan. Semoga ayam di kepuk tidak kelaparan, itik di air tidak kehausan.-UTUSAN

 

PROFESOR DATUK DR. RAZLI CHE RAZAK ialah Naib Cancelor Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN