Tidak selesa dengan ‘kebenaran yang tidak selesa’

Tidak selesa dengan ‘kebenaran yang tidak selesa’

budaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita terbaca komentar terkini dalam bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai ‘kebenaran yang tidak selesa’ (uncomfortable truth). Yang tidak selesa kononnya kaum bukan Melayu, khasnya Cina, dianaktirikan oleh ‘ibunda’ sejak awal lagi.

Dan ini membuat kaum tersebut sukar untuk menyesuaikan diri seperti anak kandung. Ini yang dianggap sebagai ‘kebenaran’ mengikut pandangan seorang bekas ahli politik dan menteri. Daripada itu, mengikutnya, menyusur beberapa lagi ‘kebenaran’ yang juga ‘tidak selesa.’

Mungkin ada betulnya, tetapi tidak kepada mereka khasnya yang benar-benar faham jati diri Melayu tulen.

Pertamanya, persona ibu dalam budaya Melayu membayang punca kasih sayang yang luhur dan tidak tolok bandingannya. Tidak berbelah bagi sebagai pengasuh utama keluarga, belaian kasih sayangnya yang sama-rata merupakan kunci kedamaian keluarga sehingga ke akhir hayat.

Itu pengorbanan jati ibu yang syurga terletak dibawah telapak kakinya. Sungguh hebat sekali. Bukan sembarangan. Ia termasuk anak-anak angkat atau anak tiri. Pendek kata, keluhuran budi ibu menjadi penyuluh utama dalam menguruskan kebahagian seisi rumah tangga sehingga ke cucu-cicit.

Semua berpaksikan budi dan adab Melayu jati yang beramanah tinggi bentuknya. Yakni mempunyai nilai kesejagatan dan kemanusiaan rahmatan lil alamin. Bukan seperti ‘ibu’ orang politik, lebih kepada ibu (dan bapa) ayam yang menjaga puak masing-masing sahaja.

Maka apabila kefahaman mendalam ini dipindahkan kepada kerangka negara, ibu menjadi ibunda, keluarga menjadi masyarakat dan khalayak, anak-beranak menjadi rakyat jelata, baik yang kandung mahupun yang tidak.

Tergolong kaum yang dibawa masuk penjajah untuk kepentingan songsang. Terangkum juga dalam istilah yang sama. Yakni tidak dibezakan secara hakikat, bukan sepertimana yang didakwa sesetengah pihak mengikut sedap didengar sahaja. Sungguhpun tidak selesa tatkala kepalsuannya begitu terserlah.

Sekali gus melanggar batasan budi dan adab tempatan yang jati sehingga menjadikan keadaan tidak selesa. Hanya kali ini tidak bersangkut dengan ibunda (bagaimana yang difitnahkan), tetapi lebih kerana anak-anak yang kurang asuhan, khasnya anak angkat pilihan penjajah untuk tujuan pecah dan perintah.

Dalam hal seumpama ini, pengaruh ibu mahupun ibunda tidak lagi berkesan, malah acuh tidak acuh dan tidak diambil peduli sama sekali sehinggalah dini hari. Tidak merentasi pendidikan pelbagai kaum, hatta budaya serta nilai.

Terpencil. Yang amat nyata adalah kegagalan membentuk sebuah negara bangsa sebagai satu kelompok rakyat setia tidak berbelah apa lagi cenderung mengikut keturunan berbanding kebangsaan yang merdeka seperti dipersetujui semua.

Maka, ibu mana yang tidak kecewa, ibunda mana pula yang tidak merintih akibat kegagalan perpaduan setelah berdekad-dekad lamanya. Bukan salah ibu mengandung sekiranya anak tidak sudi membalas budi akibat desakan tamakan dan penindasan.

Misal, masih belum mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan fasih dan lancar. Sebaliknya dipolemikkan sebegitu rupa seolah-olah ia isu perkauman, bukan kenegaraan. Walaupun sudah mengecapi kewarganegaraan serta mengakui taat setia, apalah maknanya jika bahasa tidak menjadi cerminan dalam merapatkan perpaduan antara sesama rakyat.

Cukup amat berbeza dengan rakyat negara merdeka yang lain tatkala bahasa kebangsaan menjadi pertuturan umum dan kepunyaan semua yang bersumpah taat setia, sehidup semati untuk pertiwi.

Malang, cakap tidak serupa bikin dari dahulu hingga sekarang. Bertambah pula putar belit hari demi hari, segera menyerap kemunafikan dengan cukup jelas tanpa segan silu lagi. Bahkan lebih lantang dan dangkal kerana tidak siapa berani menegur atau menghulurkan keberlainan pendapat. Takut hilang kuasa dan pupus populariti merebut undi bersalut kemunafikan.

KAGUM
Disinilah kita kagum dengan pegangan Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong yang tidak jemu-jemu menanam hakikat jati akan punca permasalahan yang masih berlarutan.

Sebagai seorang rakyat Malaysia mendahului keturunan kaumnya (bukan seperti yang dibawa oleh kelompok politik identiti sempit), hujah-hujahnya begitu sukar hendak dipatahkan pihak lawan yang sama keturunan sebagai dakyah perkauman.

Contoh terkini adalah isu Kampung Baru Cina serta bak kut teh yang lama terpendam, tiba-tiba ditimbulkan tanpa budi bicara bijaksana. Melumpuhkan lagi menggagalkan amalan bersatu padu sejak dari bangku sekolah lagi. Sekali lagi Kok Seong tegas menyatakan pengalaman serta pendapat ilmiahnya berdasarkan bukti luahan media baru-baru ini.

Sungguhpun pihak lawan ingin menafikannya, tetapi lebih menyerang aspek keperibadian beliau tanpa menyentuh hujah bernasnya. Apatah lagi ramai sedia maklum akan kenyataan sebenarnya umpama Kok Seong penjelaskan secara kukuh. Sepatutnya apa yang beliau katakan patut diperhalusi secara ilmiah, bukan beliau pula disiasat sepertimana seorang kemaruk publisiti murahan!

Saya sendiri tahu akan kes sekolah yang tidak menghiraukan penggunaan bahasa kebangsaan, sehingga mereka yang tidak fasih berbahasa Cina tidak dibawa terlibat semasa mesyuarat sekolah.

Kehadiran mereka ini tidak diendahkan. Begitu sekali kebiadaban yang perlu dihadapi dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat. Bukan sebuah negara sepadu, tetapi umpama banyak dalam satu bersandarkan selera masing-masing.

Ada juga berpandangan kementerian dalam kementerian yang agak terbabas dari anak kandung sendiri. Hal ini bukan lagi rahsia tetapi menular dalam budaya takut menegur sebagai satu hak untuk memanusiawikan pendidikan ala Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) diakari serta dibumikan.

Ekoran ini terdapat pula komentar yang meminta sel otak digunakan dengan lebih baik. Ia tidak mencukupi sekiranya tujuan songsang. Ternyata sel otak penting, namun tidak mampu membenihkan manusiawi menyeluruh atau sejahtera selaras FPK.

Yakni kearah negara-bangsa lebih kental dan silang budaya berasaskan nilai tempatan yang berwarisan jati. Ini memerlukan juga sel-sel kalbu atau hati nurani untuk melaksanakan keimbangan menyeluruh untuk menyelesaikan ‘kebenaran’ dalam mencari jawapan yang adil, luhur dan saksama. Seadanya tidak ‘kebenaran tidak selesa’ kerana ia palsu kalau tidak munafik!-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN