UMAT Islam kembali memasuki ‘madrasah Ramadan’ yang mempunyai kurikulum dan kokurikulumnya sendiri. Kurikulum ‘madrasah Ramadan’ ialah ibadah puasa, manakala kokurikulumnya pula pelbagi ibadah sunat seperti solat tarawih, solat witir, baca quran, iktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadan, sedekah dan pelbagai amalan sunat yang lain.
Ibadah puasa adalah perintah Allah yang wajib dilakukan kecuali golongan tertentu yang diharuskan tidak berpuasa. Perintah berpuasa terkandung dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
Ibadah puasa ini menjadi salah satu daripada lima binaan Islam berdasarkan hadis nabi yang bermaksud: “Dibina Islam atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa pada bulan Ramadan” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Madrasah Ramadan mesti diikuti dengan penuh disiplin dan mematuhi peraturan-peraturan yang telah digariskan supaya kita menjadi insan yang baik dengan memiliki sifat-sifat mahmudah. Ia mendidik umat Islam sama ada dari sudut jasmani, rohani, emosi dan intelek melalui kurikulum dan kokurikulum yang diitetapkan itu.
Benarlah apa yang disebut ulama tersohor Nusantara, Profesor Dr. Hamka bahawa ibadah puasa dapat menyatukan akal, perasaan, jiwa dan sanubari. Menurutnya, ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Ketika berpuasa kita sebenarnya sedang melalui al-mujahadah atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.
Al-mujahadah dapat membantu kita membentuk jiwa yang bertakwa dan sentiasa takut (khauf) akan ‘balasan akhirat’ dan ‘pengadilan Ilahi’ di Padang Mahsyar nanti. Ketika melalui proses mujahadah inilah berlakunya proses pembersihan diri (takhali) di mana sifat-sifat keji yang ada dalam hati dibuang dan diisikan pula dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat mulia).
Untuk mencapainya maka ibadah puasa itu mestilah dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan supaya objektif puasa untuk menjadi orang yang bertakwa dapat dicapai dengan cemerlang. Untuk mencapainya maka perlulah kita laksanakan ibadah puasa dengan sempurna mengikut lunas-lunas al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah.
Memperteguh budi insan
Kehidupan kita di lingkungan pelbagai persaingan hidup sehingga ramai manusia yang sanggup menggadai iman dan mengetepikan nilai akhlak semata-mata mahu berbangga-bangga dengan kehidupan dunia. Sifat keduniaan ini mendorong ramai umat Islam sendiri menjadi individu yang egoistik dan individualistik sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad, dendam, suka memfitnah, mengadu domba, menyebar berita palsu dan permusuhan semakin berleluasa dalam kalangan umat Islam.
Justeru, ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan mampu meluruskan kembali tujuan hidup kita di dunia ini. Ia dapat membina dan menyuburkan kembali nilai ketakwaan, perangai dan akhlak kita serta membangun nilai-nilai kemanusiaan yang amat diperlukan dalam kehidupan yang bertamadun.
Akal budi insan akan menjadi jernih dan murni dengan ibadah puasa yang sempurna. Budi merujuk kepada perlakuan tata hidup, kesopanan dan kesusilaan, tatatertib, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang menggambarkan kualiti pemikiran dan tingkah laku seseorang.
Justeru, madrasah Ramadan akan membawa kita kembali hidup bermasyarakat secara harmoni, tenang dan tenteram. Hakikatnya, ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri.
Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapus ‘rasa keakuan’ dan keangkuhan diri. Jiwa dan akal budi akan kembali jernih hingga menumbuhkan rasa kasih sayang dan belas ihsan terhadap orang yang kurang bernasib baik.
Orang yang berada (kaya) akan membantu orang yang miskin dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Kesannya akan wujudlah hubungan harmoni antara golongan kaya dan golongan miskin. Ia sekali gus menolak fahaman Marxisme yang mengatakan golongan kaya dan miskin akan selalu bertentangan (bermusuhan) antara satu sama lain kerana yang kaya selalunya menindas si miskin.
Islam mendidik melalui ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan ketakwaan akan menimbulkan sifat kemurahan dan kedermawan orang yang kaya terhadap orang miskin.
Pada bulan inilah amalan sedekah, infak dan zakat fitrah diamalkan oleh masyarakat Islam, terutamanya dalam kalangan mereka yang berada. Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan puncak kedermawanan baginda adalah di bulan Ramadan.
Sifat kedermawan itu pula dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali melalui amalan mulia ini.
Inilah kesan berantai dari amalan-amalan mulia ketika kita berada dalam madrasah Ramadan dan masanya untuk mencapai hakikat persaudaraan Islam maka hendaklah kita jauhi buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad, iri hati, mencaci dan mengata nista.
Rasulullah pernah ditanya, “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu baginda menjawab, “bercakap dusta dan mengumpat”. Maknanya, bukan zahir puasa itu sahaja yang perlu dijaga tetapi ‘batin’ puasa juga mesti dijaga dengan baik supaya ibadah puasa kita tidak sia-sia.
Ramadan adalah ‘madrasah rohaniah’ yang mampu membawa manusia mencapai ‘islah al-basyar’ atau transformasi kemanusiaan zahir dan batin, seterusnya membawa hati orang beriman itu kepada muraqabah atau mendekatkan diri kepada Allah.
Jangan kita letakkan diri kita dalam kerugian di bulan ini seperti mana maksud hadis nabi: “Celakalah orang yang masuk ke dalam bulan Ramadan membawa dosa, dan selepas Ramadan keluar bersama dosa itu juga”. Rebutlah keistimewaan dan kebaikan Ramadan dengan melakukan pelbagai amalan soleh yang dianjurkan kita memperbanyakannya di bulan yang penuh keberkatan ini. – UTUSAN
MOHD. Ayop Abd Razid ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










