DI Australia, terdapat Governance and Integrity Award yang dianjurkan oleh The Institute of Public Administration Australia (IPAA). Di Amerika Syarikat (AS) terdapat Integrity Awards yang dianjurkan Coalition for Integrity (C4I), Kanada pula terdapat Canadian Integrity Awards dianjurkan Transparency International Canada dan Nigeria terdapat The Public Service Integrity Awards oleh The Independent Corrupt Practices and Other Related Offences Commission (ICPC) sementara Malaysia juga mempunyai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM).
Anugerah AIGA merupakan mengiktiraf dan menghargai organisasi sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dan usaha dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tatakelola terbaik.
Ia merupakan penanda aras yang membolehkan organisasi mengukur keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan integriti dalam organisasi, sistem pengurusan dalaman berfokuskan tadbir urus terbaik serta sistem kawalan dalaman bagi mengekang berlakunya isu-isu integriti dan rasuah dalam organisasi.
Cetusan AIGA untuk diangkat ke peringkat kebangsaan merupakan ilham Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, yang juga merupakan Pengerusi IIM pada 2020.
Susulan kejayaan tersebut, AIGA 2022 dijayakan dengan penyertaan 105 agensi dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dipilih dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum AIGA pada tahun itu.
Kejayaan berterusan ini diteruskan dengan AIGA 2023 yang melibatkan penyertaan sebanyak 154 penyertaan terdiri daripada 95 agensi awam dan 59 swasta.Dari jumlah ini, hanya sebanyak 92 organisasi terpilih untuk menerima anugerah yang merangkumi 46 Anugerah Emas, 33 Anugerah Perak dan 48 Anugerah Gangsa. PKriteria penilaian diperkukuhkan dengan menambah aspek seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sistem pengurusan sekuriti maklumat (ISMS) dan kepuasan pelanggan. IIM juga sentiasa menyambut baik setiap maklum balas dan cadangan yang diterima antaranya dengan pelaksanaan AIGA secara dwitahunan.
Pengiktirafan AIGA 2023 diadakan pada 29 Februari dengan majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
AIGA adalah unik, tidak seperti pertandingan biasa, iaitu terdapat beberapa peringkat penilaian yang membolehkan agensi diiktiraf sebagai penerima Anugerah AIGA (Platinum, Emas, Perak, Gangsa dan Sijil). Semua organisasi yang menyertai AIGA menunjukkan usaha yang terbaik dalam membudayakan integriti, governans dan antirasuah.
Perbezaan penganugerahan adalah berdasarkan pada skala penilaian berdasarkan beberapa kriteria piawaian antarabangsa, termasuk ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), ISO 9001 Sistem Pengurusan Kualiti serta garis panduan dalam negara seperti Garis Panduan Tatacara Mencukupi dan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia. Panel penilai pula terdiri daripada pakar-pakar dari sektor awam, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki kepakaran dalam bidang audit kualiti, integriti, tatakelola dan antirasuah.
Tahniah diucapkan kepada Sime Darby Plantation Berhad kerana dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum AIGA 2023. Antara amalan terbaik Sime Darby Plantation adalah komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap integriti dan governans menerusi inisiatif program Hari Integriti di 27 lokasi merangkumi seluruh cawangan serata dunia. Program ini secara langsung berjaya menyemai dan mendidik warga kerja dalam pembudayaan integriti di syarikat itu.
Antara lain, organisasi ini juga mempunyai saluran maklumat, Suara Kami yang tersedia dalam tujuh bahasa serta mempunyai papan pemuka maklumat dan sistem pelaporan yang komprehensif.
Syarikat itu juga aktif meningkatkan pemahaman warga kerja dengan hebahan video pendek dan pertandingan berkaitan tatakelakuan perniagaan.
Pada AIGA kali ini, IIM dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan memperkenalkan Anugerah Khas, Organisasi Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Berintegriti Terbaik bagi mengiktiraf organisasi yang menzahirkan elemen pembudayaan integriti serta mempraktikan kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam organisasi yang dimenangi oleh Northport (Malaysia) Berhad. IIM turut memberikan Penghargaan Khas Integriti kepada Kerajaan Sarawak sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen membudayakan integriti secara menyeluruh dan berterusan melibatkan sektor awam, kepimpinan masyarakat serta komuniti.
Mohd. Zuki Ali dalam ucapannya menyatakan ekonomi negara pada hari ini berkembang dengan pertumbuhan pada kadar 3.3 peratus pada suku keempat tahun 2023. Kedudukan negara dalam daya saing dunia yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) juga meletakkan negara di kedudukan 27, meningkat dari kedudukan 32 pada 2022. Begitu juga kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang meningkat dari kedudukan ke-61 pada 2022 kepada kedudukan 57 pada tahun lalu.
“Dengan peningkatan yang positif ini, kita melihat integriti sebagai nadi atau asas utama dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara kita lebih hebat di persada dunia. Oleh yang demikian, saya melihat bahawa keterlibatan sektor awam dan swasta dalam membudayakan integriti khususnya adalah melalui AIGA adalah salah satu perjalanan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan” ujar beliau.
IIM amat berbesar hati dengan sokongan padu yang diberikan kerajaan yang sangat komited dalam mempertingkatkan integriti dan tatakelola baik negara dan pada masa sama membanteras jenayah rasuah tanpa mengira status dan kedudukan.
Pelaksanaan AIGA selaras dengan Pelan Strategik IIM 2024-2034 yang mana salah satu fungsi utama untuk menjadi sebuah badan penilaian serta pengiktirafan integriti dan tatakelola.
Selari dengan moto baharu IIM, Komited Membudayakan Integriti, Pelan Strategik IIM dirangka dan dibangunkan bagi menyokong dan mendukung kerajaan dalam mempertingkatkan integriti dan tatakelola negara.
IIM percaya AIGA membuktikan komitmen sektor awam dan swasta khususnya organisasi yang menyertai AIGA 2023 dalam memupuk dan mengamalkan piawaian tertinggi bagi pelaksanaan inisiatif integriti, tadbir urus dan antirasuah.
Anugerah ini juga mempunyai kepentingan yang signifikan dalam perjalanan negara ke arah kecemerlangan dalam integriti dan tadbir urus selari dengan konsep Malaysia Madani.-UTUSAN
Datuk Nor Yahati Awang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).










