Peranan, cabaran besar pak menteri, akhbar, media

Peranan, cabaran besar pak menteri, akhbar, media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada tahun-tahun 1980an dan 1990an, di peringkat timbalan menteri pun penyandangnya sudah tunjukkan potensi terbaik. Ada beberapa timbalan menteri sampai berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri.

Suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh. Jadi, bersyukur jika ada sesiapa yang merentasi ke perjawatan tertinggi tanpa banyak sangat cabaran atau halangannya.

Soal melalui `tingkap, bukan pintu’ jika itu sudah ketentuan-Nya, rezeki tidak ke mana.

Harapan seorang Perdana Menteri mana-mana negara pun kepada barisan Kabinetnya cukup tinggi.

Pemimpin nombor satu ini banyak bergantung kepada keupayaan Kabinetnya – yang sewajarnya dianggotai menteri-menteri yang berkaliber serta memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan. Sewajarnya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) para menteri akan memandu arah Malaysia yang betul.

Suatu ketika kerajaan sebelum 2018, yang tepatnya bermula tahun 2009 turut membelanjakan wang negara untuk membuat penilaian objektif para menteri. Tetapi dikatakan ia dibuat keterlaluan sehingga ada `guru besar’ yang juga menteri pula menjadi pengawas pihak kerajaan untuk rakan-rakan semua menteri.

Maka wajarlah Perdana Menteri sendiri sahaja hari ini membuat penentuan markah para menterinya. Ia bukan sahaja soal menyalurkan duit yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian tetapi berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak deliver perlu tahu cara memperbaiki diri. Kalau merasakan diri tidak mampu, maklum kepada Perdana Menteri untuk ke pintu keluar.

WASPADA

Waima apa pun, hari ini semua kementerian perlu senantiasa berwaspada. Dengan TikTok sahaja menerusi mesej disampaikan bersahaja, `menangkap’, melekat di mata dan jiwa, bisa boleh merubah pendirian seseorang – cepat atau lambat sahaja. Apa lagi jika satu berita atau maklumat itu sensasi, masuk TikTok, ditularkan (viral). Dalam seminit dua dapat beribu-ribu like.

Kerajaan mana-mana pun di dunia ini untuk terus sukses, perlu buat post mortem. Paling mustajab enam bulan sekali untuk menilai keupayaan para menteri dan dasar-dasar yang dibawa. Lihat siapa yang memiliki naluri tajam mencernakan idea-idea bukan retorik dalam bercakap dan melaksanakan sesuatu isu, dasar dan khidmatnya.

Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing cukup tinggi.

Antaranya dalam meningkatkan pelaburan infrastruktur, seperti pengangkutan awam, internet pantas dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan. Itu belum lagi berkisar kenaikan harga barang dan melayani tindak tanduk kartel-kartel pertanian dan perusahaan.

Cabaran kehidupan seharian menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat sebahagian besar rakyat. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa. Runsing jikalau ‘hujan di tengah hari’. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.

PUJI-PUJIAN

Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif jika tidak dirangka secara serius dan teliti, hanya akan mengulangi kesilapan lalu. Kita tidak mahu kerajaan yang terlalu beria-ia mengejar gah semasa sehingga kabur pandangannya untuk masa depan.

Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar-bandar besar – yang dikejar hanya outputnya sahaja, struktur cantik dan megah. Dan tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran, pendidikan dan macam-macam lagi untuk hidup selesa di hari mendatang.

Walaupun Malaysia gah ketika itu, kesannya begitu dirasai sekarang. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan ini yang sedang diperbetulkan agar anak cucu kita tidak serupa nasibnya.

Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tidak usah takut dengan kritikan laporan akhbar.

Hormati suara kebebasan akhbar dan media. Akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia institusi berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan luahan hati dan aspirasinya melalui isu-isu disiarkan akhbar.

Jika akhbar mahu siarkan keluh-kesah rakyat atau kisah keperitan ditanggung sekumpulan orang profesional, bukankah ia input yang berguna untuk kementerian atau agensi berkenaan?

Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, Insya-Allah akan bagus seterusnyalah ia.

Hindarikan laporan berupa puji-pujian. Mana yang harus diberi teguran kepada kerajaan, anggaplah ia semata-mata untuk segera memperbaiki keadaan.

Ini demi kebaikan rakyat-kerajaan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN