Pelihara adat, budaya seperti suku kaum Kensiu

Pelihara adat, budaya seperti suku kaum Kensiu

BIARPUN Orang Asli Kensiu menggunakan teknologi moden, tetapi pengaruh luar belum begitu menular dalam kehidupan masyarakat mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akhir minggu lalu, saya bersama teman-teman berpeluang melawat sebuah perkampungan Orang Asli di Baling, Kedah bagi melaksanakan sebuah lagi program Wikikata yang bertujuan memelihara bahasa Orang Asal di Malaysia. Untuk program kali ini, kami memilih Kampung Lubuk Legong, iaitu satu-satunya perkampungan asal Orang Asli daripada suku kaum Kensiu di Semenanjung Malaysia.

Program ini ialah sebahagian daripada projek kerjasama di antara RCE Greater Gombak (RCEG2) di bawah kelolaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama-sama Wikimedia Malaysia dengan hasrat meluaskan capaian pendidikan percuma kepada semua.

Seramai 27 pelajar UIAM dan enam sukarelawan Wikimedia terlibat bagi menjayakan program yang berlangsung selama dua hari di kampung tersebut.

Perjalanan kami bermula kira-kira pada jam 6.20 petang daripada UIAM Gombak dan setelah menempuh perjalanan hampir 10 jam, kami tiba ke destinasi tujuan selepas jam 4 pagi keesokan harinya. Satu perjalanan yang panjang meredah kegelapan malam, namun amat bermakna kerana berpeluang meluangkan masa bersama teman-teman seperjuangan.

Ketibaan kami disambut oleh Tok Batin Razali Kulim, lantas kami dibawa ke surau yang menjadi tempat kami berteduh selama berada di sana. Sempatlah kami berehat sebentar melepaskan lelah sementara menunggu masuknya waktu Subuh dan seterusnya bergegas membuat pelbagai persiapan sebelum majlis perasmian program pada jam 9 pagi.

Bagi yang lahir dan membesar di kota raya, sesekali menjengah ke kawasan pedalaman sudah tentu akan teruja menikmati pengalaman berbeza yang menyegarkan minda serta melapangkan fikiran. Suasana di sana tenang dan indah dengan pokok-pokok menghijau serta air sungai mengalir jernih. Begitu berbeza berbanding kesibukan dan hiruk-pikuk kota raya yang dipenuhi hutan batu.

Perkampungan Orang Asli Kensiu ini lebih besar berbanding perkampungan Mendriq di Kuala Lah, Gua Musang yang kami lawati pada akhir tahun lalu bagi melaksanakan projek yang sama. Kebanyakan daripada mereka beragama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dengan baik.

Misi utama kami ketika berada di lapangan adalah untuk merakam sebanyak mungkin perkataan dalam bahasa asal serta sebutannya sejitu mungkin agar bahasa-bahasa ini tidak pupus.

Tugas kami di sana menjadi lebih mudah kerana capaian Internet 4G di sana begitu baik sekali meskipun ia terletak jauh di pedalaman Kedah. Para peserta tempatan dilatih cara-cara merekodkan bahasa mereka menggunakan telefon pintar agar usaha ini dapat mereka teruskan dan tidak terhenti setelah kami pulang.

Masing-masing begitu bersemangat dan hasilnya, hampir 400 istilah bahasa Kensiu berjaya direkodkan ketika program berlangsung, dengan lebih 200 istilah dirakam suara sebutan.

Kami bangga dengan komitmen tinggi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara berterusan masih meneruskan usaha memasukkan istilah bahasa mereka ke dalam Wikikamus biarpun setelah kami pulang ke kota.

Penyumbang terbesar ketika program kali ini ialah Puan Kamaliah di mana beliau berjaya merekodkan lebih 150 perkataan bahasa Kensiu beserta terjemahannya.

Saya turut mengagumi kegigihan Mazwan, salah seorang peserta muda berusia 16 tahun yang berjaya menyumbang lebih 150 rakaman sebutan perkataan sambil menyemak ketepatan istilah dan definisinya. Mazwan mampu bekerja dengan tekun, teliti dan penuh dedikasi serta mempunyai tempoh tumpuan yang sihat, sikap murni yang kini semakin hilang dalam kalangan anak muda baik di desa mahupun di kota.

Mempunyai pengetahuan dan minat mendalam tentang bahasa Kensiu, Mazwan ialah anak muda misali yang bangga dengan bahasa asal kaumnya dan pada masa sama menjunjung tinggi bahasa kebangsaan.

Banyak perkara yang dapat kami pelajari daripada masyarakat rumpun Negrito ini, khasnya keteguhan dan kemurnian jati diri mereka. Orang Asli Kensiu teguh mengamalkan budaya mereka, namun mereka tidak terlalu mengasingkan diri daripada masyarakat luar dan cara hidup moden. Malah, teknologi moden dimanfaatkan dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Biarpun mereka fasih berbahasa Melayu loghat Kedah, Orang Kensiu menghargai dan berterusan mengekalkan penggunaan bahasa ibunda. Sebagai contoh, sebelum program bermula, mereka membuat pengumuman melalui pembesar suara surau menggunakan bahasa Kensiu.

Menariknya, bahasa Kensiu tidak statik dan sentiasa berkembang maju. Mereka mempunyai istilah sendiri untuk “solat” iaitu “yamatut” dan untuk “pandu” (kereta) iaitu “yei” yang ditambah sesuai dengan perubahan hidup masyarakatnya.

Cabaran paling besar kami hadapi ketika melaksanakan misi kali ini ialah gangguan bekalan air di kawasan kampung itu. Walaupun keadaan ini telah berlarutan untuk sekian lama, tetapi masyarakat di sana menerima keadaan seadanya dan menggunakan sungai berhampiran sebagai penyelesaian alternatif.

Keadaan cuaca panas di Kedah ketika ini menjadikan keadaan begitu hangat membahang di waktu siang walaupun kami berada dalam perkampungan yang dikelilingi hutan rimba. Sebaliknya, pada malam hari keadaan di sana berubah menjadi sangat sejuk sekali.

Kecekalan mereka dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup sehari-hari membakar semangat kami untuk terus berusaha menjadi lebih kuat dan bersemangat dalam melaksanakan apa sahaja amanah yang kami pikul. Begitu juga dengan keteguhan jati diri mereka dalam memelihara budaya warisan dan bahasa mereka daripada pupus ditelan zaman.

Biarpun Orang Asli Kensiu menggunakan teknologi moden, tetapi pengaruh luar belum begitu menular dalam kehidupan masyarakat mereka. Mereka belum lagi dilanda taufan kegilaan terhadap K-Pop dan K-Drama seperti mana yang melanda masyarakat bandar.

Maka, ada baiknya kita belajar daripada mereka bagaimana caranya memartabatkan budaya sendiri sehingga tidak terlalu senang menggantikan budaya kita dengan apa yang datang daripada luar. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×