USAI lawatan kerja bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Maghribi serta melakukan kunjung hormat ke atas Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Profesor Dr. Ahmad At-Taufiq yang menjurus kepada perkongsian kepakaran, khusus dalam konteks kajian literasi al-Quran dan ilmu Turath Islam.
Lawatan ini juga bertujuan mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kerajaan negeri dengan Maghribi yang bertaut sejak penghujung tahun 80an, khususnya melalui tajaan Yayasan Pahang dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.
Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ini ialah:
i. Jumlah kuota khas untuk pelajar anak Pahang yang akan melanjutkan pengajian ke Maghribi.
ii. Mendapatkan guru pakar dalam bidang ilmu Turath Islam melalui kerjasama perkongsian pintar dengan universiti-universiti di Maghribi yang akan ditempatkan di Maahad Tahfiz milik Yayasan Pahang.
iii. Penubuhan pusat persediaan untuk menyambung pelajaran ke Maghribi di Pahang.
Di samping itu, bersempena dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam pada Mei ini, kerajaan negeri selaku penganjur utama turut mengambil kesempatan daripada lawatan kali ini untuk mendapatkan cadangan dan pengesyoran daripada pihak Kementerian Waqaf Dan Hal Ehwal Islam Maghribi bagi menjemput tokoh-tokoh ilmuwan Islam sebagai tetamu di program multaqa berkenaan.
Sebagai bukti, negeri ini sentiasa memartabatkan pembangunan Islam dalam agenda negeri.
Hakikatnya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai agama negara. Begitu juga, sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang menyebut, menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
Kerajaan Pahang juga sejak dahulu lagi berusaha dengan komited meletakkan perjuangan agama dalam agenda negeri termasuk membasmi kemiskinan. Pelbagai dasar diperkenalkan termasuk inisiatif dan pemberian bantuan serta penglibatan pelbagai agensi lain untuk memperbaiki taraf hidup dan membasmi kemiskinan rakyat.
Terbaru, Laporan Kesejahteraan Rakyat Negeri Pahang merekodkan jumlah miskin tegar pada 3 Januari 2023 ialah seramai 4,968 orang dan menurun kepada 1,946 orang pada 31 Disember tahun sama, iaitu perkurangan sebanyak 60 peratus.
Ini ekoran generasi kita menikmati pendidikan dan kualiti hidup yang lebih baik pada hari ini. Kesemuanya ini menepati kehendak prinsip pemeliharaan harta dan akal yang terkandung dalam Maqasid Syariah, walaupun kita tidak menggunakan label Islam.
Selama ini kita sering terkeliru yang mana perlu diutamakan antara substance atau form, intipati atau rupa luaran, syiar atau syariat. Ramai orang menganggap bahawa apa yang ‘luar’ begitu penting tanpa memikirkan soal intipati, sedangkan sememangnya, Islam mementingkan luaran dan intipati atau syariat dan syiarnya sekali.
Bezakan pula dengan usaha serius yang dijalankan kerajaan negeri dalam membangunkan Pahang tercinta ini, dengan helah serta mainan politik sesetengah pihak. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan sebenarnya menitikberatkan syariat dan syiar . Kedua-duanya mestilah seiring dan sejalan.
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TAHFIZ
Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang sedang giat membangunkan Pendidikan Tahfiz khusus untuk anak-anak Pahang, bermula dari peringkat awal persekolahan sehinggalah ke peringkat diploma.
Bermula dengan mempunyai sebuah Tadika Tahfiz Negeri Pahang pada 2018 di Pekan iaitu di sebuah bangunan yang diwakafkan oleh Sultan Pahang dan kini kita mempunyai 21 buah tadika tahfiz di seluruh negeri ini.
Dan apa yang menariknya mengenai modul pendidikan tadika tahfiz ini digunapakai di 100 buah Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada peringkat permulaan dan difahamkan modul ini mula berkembang dan digunakan di 4,000 prasekolah itu seluruh negara.
Selain tadika tahfiz, kerajaan negeri turut menubuhkan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang di Tanjung Lumpur, Kuantan. Dan sehingga kini kita mempunyai seramai 267 orang murid dari tahun satu hingga tahun tiga yang sedang mengikuti pembelajaran.
Kemudiannya, Pahang juga mempunyai Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang menawarkan pendidikan sekolah menengah dan juga peringkat diploma, yang mengekalkan prestasi sebagai sekolah terbaik di Pahang.
Kita juga menubuhkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang pada 2020, merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menawarkan pendidikan Turath, Tahfiz dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Seterusnya, kita mempunyai Program Diploma Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang yang mana berjaya mengekalkan pencapaian Maahad Tahfiz terbaik di peringkat kebangsaan untuk 15 tahun berturut-turut.
Selain institusi tahfiz yang dibiayai oleh Yayasan Pahang, terdapat 137 institusi tahfiz lain di Pahang yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan hampir 6,000 pelajar yang sedang menuntut.
Malah, di Pahang juga mempunyai sebuah universiti Islam, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) yang dimiliki dan diuruskan oleh kerajaan negeri serta mendapat pengiktirafan sebagai universiti pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Azhar sejak 2015 lagi. Lepasan diploma UnIPSAS diterima terus menyambung pengajian ke tahun dua dan tiga di Universiti Al- Azhar.
‘Dalil-dalil’ yang dinyatakan ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan Islam di Pahang sekali gus menepis dakwaan bahawa negeri ini tidak seislamik jika mahu dibandingkan dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak yang melemparkan tuduhan tersebut.
Terkini, usaha ini diperluaskan lagi dengan menubuhkan sebuah lagi Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang akan dibuka di daerah Lipis. Tentunya komitmen kita untuk meramaikan lagi anak-anak Pahang yang mempunyai pendidikan tahfiz akan terlaksana.
Buktinya, kerajaan negeri turut memartabatkan agenda Islam melalui pembentangan Bajet 2024, dengan memperuntukkan RM162.5 juta bagi meningkatkan syiar Islam. Peruntukan ini bertambah sebanyak RM14.3 juta berbanding peruntukan tahun lalu.
Sesungguhnya, usaha-usaha berterusan ini memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak agar pembangunan dan kemajuan Islam menjadi matlamat dan tujuan bersama di bumi Pahang.
Kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memartabatkan syiar dan syariat Islam, di samping menjaga perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, agar Pahang terus menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur di bawah naungan dan payung Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai pelindung dan penjaga kesucian agama Islam yang mulia ini.-UTUSAN
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ialah Menteri Besar Pahang.










