Mmegey poso tradisi unik rakyat Kelantan

Mmegey poso tradisi unik rakyat Kelantan

TIDAK seperti hari-hari biasa, daging lembu menjadi pilihan warga Islam di Kelantan sempena Mmegey poso.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MMEGEY poso atau sehari sebelum kedatangan Ramadan merupakan amalan tradisi unik sebelum umat Islam berpuasa selama sebulan masih menjadi amalan rakyat Kelantan sehingga hari ini.

Walaupun zaman sudah berubah, namun tradisi itu kukuh terpatri malah dilihat semakin subur dalam kalangan generasi muda pada hari ini sekali gus menyambung legasi yang ditinggalkan oleh orang tua-tua dahulu.

Kemeriahan itu dapat dilihat apabila ada dalam kalangan rakyat sanggup mengambil cuti semata-mata mahu membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan penuh berkat.

Bermula seawal 7 pagi, penduduk di negeri ini akan berpusu-pusu membanjiri pasar termasuk gerai tepi jalan bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan sama ada basah atau kering. Ayam dan daging lembu segar tempatan menjadi pilihan.

Jika hari-hari biasanya kebanyakan penduduk negeri ini menjadikan ikan sebagai lauk utama untuk dimakan bersama keluarga tetapi situasi itu berbeza setiap kali mmegey poso apabila ayam dan daging lembu segar tempatan menjadi pilihan untuk di jamah semasa bersahur pada hari pertama puasa.

Permintaan tinggi terhadap bahan mentah itu membuatkan peniaganya tersenyum lebar apabila barangan tersebut licin sekelip mata, berbeza pada hari-hari biasa.

Bayangkan 200 kilogram daging lembu segar tempatan ‘licin’ dalam tempoh tiga jam pada hari mmegey poso.

Kebiasaan, daging goreng kunyit menjadi hidangan wajib untuk dinikmati pada hari pertama bersahur.

Sempena mmegey poso, anak-anak Kelantan yang berada di perantauan akan berduyun-duyun pulang ke negeri ini untuk bersahur bersama ibu dan ayah di kampung masing-masing.

Situasi itu dapat dilihat apabila ribuan kenderaan memasuki negeri ini melalui Gua Musang sehingga berlakunya kesesakan lalu lintas.

Selain bersahur, tradisi ini diteruskan dengan menunaikan solat terawih pada malam pertama Ramadan bersama keluarga serta sahabat-handai di kampung.

PERTAHANKAN TRADISI
Inilah tradisi unik yang perlu dipertahankan generasi muda pada masa akan datang supaya tidak luput ditelan zaman.

Walaupun tidak mempunyai kaitan dengan ajaran Islam, namun amalan yang baik itu perlu dikekalkan dalam mengukuhkan penyatuan semasa ahli keluarga. Inilah uniknya Kelate.

Kor guano?

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×