PANDEMIK Covid-19 telah memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap aspek sosial, kesihatan dan ekonomi rakyat Malaysia yang menyebabkan semua aktiviti harian manusia berubah seterusnya membawa kepada keadaan ekonomi tenat terutamanya dalam kalangan isi rumah bagi golongan B40 dan ke bawah.
Malah ada syarikat-syarikat yang terpaksa bermula dari bawah semula akibat pandemik Covid-19. Suka ataupun tidak, semua pihak bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing selepas pandemik Covid-19 sehinggalah ke hari ini.
Sudah pasti pihak kerajaan perlu memikirkan apa strategi atau kaedah yang perlu diambil seterusnya dilaksanakan bagi membantu semua pihak agar kehidupan semua orang kembali normal. Timbul persoalan, adakah peranan membantu rakyat di Malaysia terletak di bahu kerajaan semata-mata atau adakah semua pihak termasuklah universiti perlu berganding bahu bersama-sama pihak kerajaan membantu rakyat Malaysia untuk keluar dari dilema pandemik Covid-19.
Melihat kepada keadaan ini, di mana kita, melihat atau membantu? Adakah kita sebagai universiti hanya melihat sahaja apa yang sedang berlaku ataupun kita perlu bertindak sebagai penyelesai masalah bagi memacu kesejahteraan komuniti.
Universiti harus memainkan peranan penting dalam menyokong proses pemulihan negara pasca Covid-19 kerana universiti bukan sekadar tempat pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga berperanan penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah dalam komuniti. Hal ini kerana universiti mempunyai sumber daya intelektual, kepakaran dan infrastruktur yang dapat digunakan untuk menyokong pemulihan dan pembangunan komuniti.
Tidak dapat dinafikan, universiti mempunyai sumber kepakaran dan penyelidikan yang diperlukan kerana universiti merupakan pusat penyelidikan multidisiplin yang mencakupi pelbagai bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, sains sosial, kesenian dan lain-lain lagi.
Kepelbagaian bidang membawa kepada kepelbagaian kepakaran bagi mengkaji pelbagai isu atau masalah yang timbul kesan daripada pandemik Covid-19. Kumpulan penyelidik yang berpengalaman dalam bidang masing-masing bergabung dan bergerak dalam satu pasukan yang menggunakan pendekatan integrasi ilmu untuk memberikan idea dan solusi berdasarkan pengetahuan saintifik bagi memahami impak pandemik dan seterusnya mencadangkan strategi pemulihan yang berkesan melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu kepada komuniti yang disasarkan.
Inovasi dan kreativiti tidak boleh dipisahkan dengan universiti. Universiti merupakan tempat di mana inovasi dan kreativiti dipupuk. Universiti menjadi tapak penting untuk pembangunan dan pengujian inovasi baru yang boleh memberi impak positif kepada komuniti. Penyelidik termasuklah pelajar universiti dapat mencipta penyelesaian baharu sebagai solusi kepada isu yang timbul dalam komuniti bagi memperbaiki kualiti hidup komuniti setempat.
Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, universiti mempunyai tanggungjawab sosial (USR) kepada komuniti. Universiti seharusnya menyokong pemulihan komuniti melalui aktiviti-aktiviti yang membawa kesan positif kepada komuniti yang meliputi pelbagai aspek, termasuk pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat yang dapat meningkatkan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.
Universiti mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara keseluruhan selain menunjukkan komitmen universiti untuk menjadi warga yang bertanggungjawab kepada komuniti.
Pelaksanaan projek komuniti berimpak tinggi dapat membantu dalam mengurangkan kadar kemiskinan dengan meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan sampingan kepada komuniti setempat seterusnya memberi kesan positif kepada kesejahteraan ekonomi komuniti setempat. Projek-projek komuniti juga boleh memberi dorongan kepada pertumbuhan sektor mikro dan kecil dalam ekonomi setempat.
Malah program berbentuk latihan dan peningkatan kemahiran jangka pendek perlu dilaksanakan bagi mencipta peluang pekerjaan baharu terutamanya golongan B40 ke bawah. Program ini diwujudkan untuk memenuhi keperluan spesifik kumpulan sasar tertentu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Fokus utama pelaksanaan program ini merangkumi latihan kemahiran, pendidikan, pembangunan minda serta keusahawanan seperti kursus penyelenggaraan motorsikal, kursus penyelenggaraan hawa dingin atau kursus kemahiran teknikal yang bersesuaian.
Universiti boleh bertindak sebagai penghubung kepada sumber luar kerana universiti mempunyai hubungan yang luas dengan pihak berkepentingan luar seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan industri. Hubungan ini boleh digunakan untuk menghubungkan komuniti dengan sumber kewangan, perkhidmatan, dan bantuan lain yang diperlukan untuk pemulihan dalam komuniti.
Justeru, tidak mustahil universiti boleh bertindak sebagai penyelesai masalah yang bersama-sama berganding bahu dengan pihak lain membantu memulihkan keadaan komuniti kesan daripada pandemik Covid-19. Kita sewajarnya membantu daripada hanya melihat tanpa berbuat apa-apa kepada komuniti.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Hanum Hassan ialah Pengarah Institut Kajian Strategik & Komuniti Universiti Malaysia Perlis (Unimap).










