KERAJAAN Madani pada ketika ini perlu menilai semula dasar mengenai pendirian Malaysia terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan pelarian termasuk Rohingya yang menjadikan Malaysia sebagai ‘destinasi pelarian antarabangsa’.
Sehingga 2023 terdapat 2.6 juta warga asing berdaftar selain kewujudan sekurang-kurangnya 400,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di Malaysia dan jumlah ini lebih besar daripada realiti sebenar. Manakala pelarian Rohingya yang direkodkan berjumlah 200,000 orang dan dikhuatiri melebihi daripada angka ini.
Dalam kes pelarian Rohingya yang berasal daripada wilayah Bangladesh tetapi tinggal di Myanmar memerlukan kerajaan untuk melihat secara mendalam kelebihan kepada Malaysia apabila menerima masuk pelarian sama ada secara sah atau haram?
Juga lihat adakah Malaysia terkesan dengan aktiviti keganasan apabila terdapat sebilangan pelarian Rohingya terlibat secara langsung dengan kumpulan pengganas Arakan Salvation Army (ARSA) yang beroperasi Myanmar.
Dalam membincangkan permasalahan ini, sekiranya Malaysia mengambil keputusan untuk menolak kemasukan dan melakukan kempen memerangi pelarian haram, pastinya dianggap tidak berperikemanusiaan. Tetapi mereka perlu bahawa kadar jenayah yang dilakukan warga asing melebihi rakyat sendiri.
Umumnya terdapat 70,000 tahanan di penjara dengan sebilangan besarnya terdiri daripada warganegara asing. Selain itu, kerajaan terpaksa menanggung beban yang besar seperti makan, minum, dobi, tempat tinggal, kesihatan, kemudahan dan sebagainya kepada pelarian dalam tahanan Imigresen.
Sekiranya kos tanggungan kerajaan sebanyak RM 10 satu kepala untuk sehari dengan jumlah 10,000 orang tahanan, maka kerajaan perlu menanggung RM 3,000,000 sebulan atau RM36,000,000 setahun.
Ini belum mengambil kira masalah yang dicipta oleh golongan ini seperti jenayah, menceroboh tanah, melanggar undang-undang, masalah sosial, penyakit, penipuan, persaingan, mewujudkan komuniti, mendesak kemudahan dari kerajaan dan sebagainya sehinggakan rakyat sendiri merasakan tidak selamat atau memiliki kebimbangan keselamatan dalam kehidupan seharian.
Pelbagai jenis penyakit seperti tibi yang dahulunya berjaya dikawal, namun kini tidak lagi dengan kebanjiran pendatang asing secara haram.
Tidak boleh dinafikan kebaikan kerajaan terhadap nasib rakyat negara luar amat terbaik layanannya. Malah Malaysia pernah menjadi negara pengerusi bagi Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Pelbagai kebaikan, bantuan, pengorbanan dilaksanakan Malaysia semenjak 1957 sehingga hari ini.
Malah turut aktif membela nasib rakyat di seluruh dunia yang akhirnya menjadi ‘faktor pemberat’ apabila Malaysia telah diundi oleh pelbagai negara dan dilantik sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak empat kali (1965, 1989-1990, 1999-2000 dan 2015-2016).
Selain itu, alasan yang sering diberikan agar kerajaan memejam mata dalam isu ini adalah kerana proses pembangunan negara akan terjejas apabila rakyat sendiri enggan bekerja di sektor kritikal.
Sebenarnya ia tidak akan berlaku sedemikian kerana kerajaan telah mengambil keputusan untuk membawa masuk pekerja asing mengikut sektor yang diutamakan dan perkara ini diputuskan pada Januari lalu. Ini bermaksud Malaysia akan memiliki tenaga kerja asing secara terkawal bagi memastikan sektor pembangunan negara dapat bergerak dan kaedah ini lebih baik kerana ia melalui proses saringan penyakit, jenayah dan keganasan.
Justeru, dalam menangani permasalahan ini, aspek utama yang dilaksanakan kerajaan adalah membersihkan kelemahan yang ada dalam negara terlebih dahulu. Cadangan ini selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan raja-raja Melayu pada 1 Februari lalu yang menyokong cadangan Perdana Menteri dan kerajaan untuk mempertingkatkan tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.
KERTAS PUTIH
Dari senario ini pihak kerajaan perlu segera mengambil kata putus dan ketegasan terhadap isu pelarian Rohingya dengan menghasilkan Kertas Putih Pelarian Rohingya atau menghasilkan Kertas Putih Pelarian Ke Malaysia yang lebih luas.
Ia penting kerana Kertas Putih ini akan menjadi kata putus yang jelas dan sebagai rujukan serta garis panduan kepada semua negara serta badan antarabangsa mengenai pendirian Malaysia terhadap masalah pelarian Rohingya atau pelarian secara umum.
Selain itu, ia juga dapat menjadi ketetapan jelas yang akan menjadi rujukan pihak berkuasa menjalankan tugas yang selama ini ‘kabur’ dengan status Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) serta keliru dengan pendirian semasa kerajaan.
Dengan Kertas Putih Pelarian ia dapat membersihkan imej negara yang terjejas sebagai destinasi pelarian dan diibaratkan bagai melepaskan anjing tersepit dan mendukung biawak hidup yang akhirnya menjadi beban dan masalah kepada kerajaan, rakyat dan negara sendiri.
Aspek kedua yang perlu diberi perhatian adalah keterlibatan elemen ‘petualang’ yang mengkhianati negara demi kepentingan peribadi dengan membuka jalan serta menawarkan jalan masuk kepada pelarian.
Lebih malang apabila terdapat anggota pihak berkuasa turut terlibat membawa masuk pelarian dengan mendapat habuan serta kemewahan hasil daripada mengkhianati negara sendiri.
Pihak Suruhanjaya Tinggi UNHCR dan kerajaan perlu menyedari bahawa pelarian Rohingya menggunakan kad UNHCR sebagai ‘lesen’ untuk menghalalkan pelarian mereka ke Malaysia.
Kad UNHCR ini turut menimbulkan kekeliruan kepada anggota keselamatan yang tidak mengambil tindakan apabila ditunjukan kad tersebut. Lebih malang sekiranya pihak berkuasa tidak mengetahui mengenai status UNHCR serta ia bukanlah lesen kepada pelarian untuk melarikan diri daripada undang-undang.
Malah terdapat kes penjualan kad UNHCR palsu, sijil perkahwinan Rohingya dengan warga tempatan palsu, passport palsu yang dilakukan oleh Rohingya dengan bantuan warga tempatan.
Masalah ini bukan lagi masalah kecil atau remeh temeh, sebaliknya ia telah lama disedari oleh Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya.
Aspek seterusnya adalah kerajaan perlu memandang isu pelarian haram sebagai satu bentuk jenayah berat seperti mana dadah, pembunuhan dan sebagainya kerana ia dianggap sebagai mengkhianati negara.
Jadi, mengapa tidak kerajaan jadikan slogan Pelarian Haram Musuh Negara sebagai kempen dalam usaha menyedarkan masyarakat di Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar PhD Pengajian Strategik Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










