Kepartian politik bak tong sampah?

Kepartian politik bak tong sampah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAITAN tong sampah dengan parti politik, hatta ekosistemnya, akhirnya muncul secara terbuka ekoran kekhuatiran seorang ahli politik yang dianggap serius dan matang berbanding ramai yang lain.

Disegani kerana berani menegur, membantah mahupun mengambil sikap yang berlainan sama kali, tatkala ramai yang hanya mengangguk-angguk balam sahaja. Malah pernah dikenakan ‘teguran keras’ rakan setahun jagung kerana kecekalan bersuara lantang terhadap langkah yang tidak dipersetujuinya. Namun masih berlapang dada kerana pegangan amanahnya jelas lagi luhur. Tidak munafik. Bak kata pepatah, berani kerana benar, walaupun ada pihak tidak selesa.

Apapun kali ini pandangan yang menafikan partinya bukan tong sampah, disanggah. Alahai, ada pihak sesama dalam kerajaan segera mengingatkan bahawa parti politiknya tidak sesuci yang dibayangkan. Pelbagai bukti serta gelagat boleh dikaitkan untuk menggambarkan sebaliknya.

Kenyataan ini terpakai pada mana-mana parti politik, seantero sekalipun. Apatah lagi tempatan sekali gus menyorot kepada ekosistem seadanya tidak ubah tong sampah. Betapa tidak!

Tong sampah merupakan tempat buangan benda yang tidak lagi berguna dan sesuai dengan keadaan semasa, maka begitu jugalah kepartian politik semasa. Ramai orang buangan dari satu parti pasrah masuk parti lain. Bertambah kencang!

Apatah lagi dari sudut peranan masa hadapan yang pesat memacu isu-isu serta cabaran gergasi yang mendatang. Ramai ahli politik masih di takuk lama, bakal bahan buangan tong sampah. Umpama longgokan bahan-bahan yang tidak diperlukan lagi – usang serta berisiko tinggi. Penuh retorik kosong diulang-ulang. Dikitar semula walaupun sudah lama melampui tarikh guna yang diperuntukkan.

Cerminan kemuflisan ilmu kehadapan, tidak terhad kepada ukuran luaran sahaja. Penting juga yang tidak ketara khususnya idea baharu, konsep serta hikmah nilai budaya yang murni berpaksi amanah tanpa kompromi. Rasuah masih terkait dalam percaturan menentukan hak berkuasa, bukannya kesejahteraan rakyat jelata.

Lantas janji-janji manis politik tersadai dalam tong sampah bagaikan sampah sarap menanti dihumban ke tempat ‘buangan’ terakhir.

Tidak terkecuali langkah sumbang berbagai muslihat, khasnya yang tidak selaras dengan peruntukan undang-undang. Tambahan, tiada siapa yang pedulikan, bagaimana tong sampah busuk terbiar dikerumuni lalat, mencemar udara nyaman ke seluruh negara. Yang berani berbeza pendapat akan disiasat agar ekosistem tong sampah terus pertahankan dengan rapi.

Pun begitu laporan terkini memberitakan Majlis Peguam akan memfailkan semakan kehakiman terhadap suatu kes pengampunan mengikut presidennya. Majoriti ahli Majlis Peguam menyokong usul yang disarankan kata beliau. Ramai teruja.

 

TIADA lagi cara selain menyahkan budaya dan amalan ‘tong sampah’ dalam kalangan parti politik secepat mungkin agar dapat mengasah warisan dan budaya jati diri yang hakiki, tanpa berbelah bagi lagi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

 

PERMATA BUDI
Dengan kata lain, parti politik sibuk berpura-pura membuat itu dan ini, sedangkan hakikatnya terbalik. Umpama tikus membaiki labu. Menambah kusut masai sesuai dengan sebuah tong sampah tidak terurus. Terperangkap di jalan buntu atas desakan kefahaman sempit untuk meraih kuasa dengan apa cara sekali mengikut nafsu masing-masing.

Lebih menakutkan apabila bingkas pertembungan tong-tong sampah mengatasi satu lain mengguna kata sindiran, kebencian dan ejekan nama keji sesama sendiri. Sungguh tidak berakhlak dikhalayak. Kebudak-budakan.

Menaruh kepercayaan yang rakyat akan terpengaruh atas dasar emosi membenci bukan bersifat hakiki. Mujurlah pandangan kuno seumpama semakin terhakis kerana lebih ramai yang berwaspada omong kosong politik berdolak-dalik ketinggalan zaman.

Natijahnya sekarang bukan lagi soal kepartian semata-mata, tetapi permata budi berada di dalamnya.

Anak-anak muda kini tidak taasub kepada kerangka lama, rela mengambil risiko untuk membawa perubahan terbaik. Mereka lebih cenderung kepada nilai budaya yang digenggam budiman, bukan kongkongan dangkal, menabur berkepentingan sendiri. Pada mereka teguran wajar di perhebat, agar usaha melompat parti melalui pintu belakang ke dalam tong sampah terhenti.

Lebih-lebih lagi sudah ada pun dakwaan beserta bukti terarah kepada pihak yang turut tempias akibat berbagai latah parti politik. Baik terang-terangan terpalit ataupun tersipu-sipu secara tidak langsung.

Aneh, umum tidak mempersoalkan, termasuk anggota parti dan sekutunya yang mesra ekosistem tong sampah kegemaran mereka. Menampakkan aura jelas menjijikkan sudah mangli, sungguhpun cukup memualkan. Tetapi dikulum jua tanda kelaziman budaya ala tong sampah.
Isu pokok yang timbul oleh itu, bagaimana imej tong sampah ini dapat dikikis sebersih mungkin mengikut nilai budaya dan warisan setempat umpama memperjuangkan kemerdekaan baharu.

Bergolok gadai. Mengikat perut demi maruah pertiwi. Suatu pengorbanan berani lagi suci.

Malang sekali, kini sudah tunggang terbalik. Sehingga gerakan nasional, Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak kesunyian membentangkan rasa tidak puas hati rakyat bagai telah di ‘tong sampah’kan. Terpaksa berarak ke Parlimen menghantar peringatan dan bantahan. Apa perlunya ini jika ia dianggap suatu amanah dan kewajiban bagi setiap ahli Parlimen. Entahlah!

Harap institusi demokrasi itu tidak bak tong sampah juga, apabila nilai mutu hujahan yang dihamburkan dan bahasa digunakan nampak ketandusan budaya serta permata budi. Seperti termutakhir, membuka ruang budaya ‘tong bising’ untuk mencelah dengan dakyah tong sampahnya tersendiri.

Seperti yang diperincikan dalam ruang ini – membicara warisan budaya yang perlu disekolahkan. Ia mengambil kira aspek warisan budaya setempat sebagai asas mutlak penyatuan ekosistem politik tanah air agar tidak lagi memuatkan sampah sarap yang tidak membawa manfaat kepada negara-bangsa yang kental jalinannya, apa lagi disinari permata budi para budiman yang keras menangkis politik tong sampah kepartian sempit.

Tiada lagi caranya selain menyahkan budaya dan amalan tong sampah secepat mungkin. Mengasuh dan mengasah warisan dan budaya jati diri yang hakiki, tanpa berbelah bagi lagi.-UTUSAN
Cukup-cukuplah kemunafikan!

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN