Kenapa masih pinggirkan OKU dalam sektor awam?

Kenapa masih pinggirkan OKU dalam sektor awam?

PENGAMBILAN Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada inisiatif kerajaan serta mendorong kemandirian mereka untuk jangka masa panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENEMPATAN satu peratus Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor awam sudah diperkenalkan melalui Pekeliling Perkhidmatan 10/1988 dan Akta OKU 2008 (Akta 685). Pun begitu setelah hampir 36 tahun sektor awam masih gagal mencapai sasaran tersebut.

Sesuatu yang menyedihkan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam melaporkan pada 2022 kesemua kementerian kecuali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, gagal mematuhi dasar penempatan satu peratus OKU di dalam sektor awam.

Paling menyedihkan apabila pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai walau seorang penjawat awam OKU.

Laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan pada 2022 seramai 1.2 juta orang memohon sebagai penjawat awam, namun hanya 763 OKU yang dipanggil untuk temuduga.

Lebih menyedihkan lagi pada tahun itu juga hanya 71 OKU diterima sebagai bekerja berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 20 762 (0.3 peratus OKU mendapat perlantikan).

Data-data tersebut jelas menunjukkan bahawa tiada kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk menghormati dan melaksanakan dasar penempatan OKU dalam sektor awam.

Perkara ini dibangkitkan Majlis Belia Orang Kurang Upaya (MBOKU) dalam sesi Dialogika Daerah (Konvensyen Belia Nasional) yang melibatkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim.

MBOKU secara tegas menyatakan KBS gagal untuk menghormati dasar kerajaan dalam isu tersebut.

MBOKU bukan sahaja menuntut kerajaan melaksanakan dasar tersebut secepat mungkin malah dasar itu sepatutnya digubal untuk meningkatkan jumlah golongan OKU dalam penjawatan awam sebanyak tiga peratus, ia selari dengan standard yang dilaksanakan oleh negara-negara maju di seluruh dunia.

Perkara ini bukan sesuatu yang asing kerana Itali menetapkan 7 peratus kuota untuk golongan OKU dalam penjawatan awamnya, Perancis (6 peratus ) dan Sepanyol (5 peratus).

Lebih memalukan bagi negara membangun seperti Malaysia apabila negara seperti Tanzania mampu menetapkan kuota 5 peratus untuk penjawat awam OKU.

LAKSANA CADANGAN
MBOKU sebelum ini membangunkan sebuah Kertas Makluman bagi menggesa kerajaan meningkatkan kuota penjawat awam OKU dari satu peratus kepada tiga peratus, perkara ini disarankan dengan rasional bahawa dasar tersebut dapat mengurangkan kebergantungan golongan OKU kepada inisiatif kerajaan serta mendorong kemandirian golongan ini untuk jangka masa panjang. Perkara ini dapat dicapai bukan sahaja dalam sektor awam malah swasta melalui potongan cukai berganda bagi majikan yang menggaji golongan OKU.

Cadangan ini mempunyai asasnya kerana pekeliling kerajaan menyentuh berkenaan Potongan Berganda P.U.(A) 61/1992 Cukai Pendapatan (Potongan bagi Latihan Yang Diluluskan) dan P.U.(A) 111 Cukai Pendapatan (Potongan bagi Latihan yang Diluluskan) (Perubahan) Undang-Undang 1995.

Justeru pihak kerajaan perlu mula menunjukkan kesungguhan dan iltizam bagi melaksanakan dasar tersebut. Negara madani yang didambakan tidak akan dicapai tanpa melibatkan seluruh segmen masyarakat.-UTUSAN

DR. Mohd. Fauzi Fadzil ialah Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×