TIDAK sangka dalam tempoh 25 tahun ini sebanyak RM1.7 trilion nilai projek atau kontrak telah dianugerahkan kepada usahawan atau ahli perniagaan bumiputera. Cuma kita tidak tahu daripada jumlah itu berapa banyak yang betul-betul dinikmati oleh mereka, dan berapa banyak pula yang tiris keluar kepada pihak lain.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pihak yang mendapat manfaat daripada ketirisan akibat budaya ali baba ini adalah ejen kepada entiti bumiputera.
Ali baba ini adalah barah dalam ekonomi bumiputera. Selagi budaya ini tidak dihapuskan selagi itulah usaha memperkasakan ekonomi mereka tidak akan berjaya kerana segala dana yang disalurkan dan diperuntukan mengalir ke poket orang lain atau hanya masuk ke saku orang sama.
Ironinya, dalam setiap perhimpunan atau perkumpulan yang membabitkan golongan bumiputera mereka tidak habis-habis dengan desakan dan rungutan kononnya nasib mereka tidak dibela, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak membantu, polisi kerajaan yang tidak elok dan sebagainya.
Daripada ahli di peringkat bawah hingga kepada pemimpin di atas pentas berteriak kononnya kaum bumiputera dilayan secara tidak adil dalam ekonomi. Anehnya pada masa sama mereka
kelihatan menyokong budaya ali bapa yang merosakkan ini dengan memberi dan menganugerahkan kontrak dan projek kepada golongan yang tidak layak. Atau istilahnya kontrak diberikan kepada syarikat RM2 yang tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran. Hanya harapkan untung atas angin sahaja. Dapat 10 atau 20 peratus daripada nilai projek sudah memadai.
Akibatnya kos melaksanakan satu-satu projek menjadi mahal. Ada projek gagal disiapkan sedangkan dana sudah pun disalurkan. Akhirnya syarikat bumiputera dilihat sebagai tidak kompeten, tidak ada kredibiliti, tiada keupayaan dan hanya menjadi bahan jenaka.
Pada hal terdapat banyak lagi usahawan bumiputera yang layak, mahir, berkaliber dan berdaya maju yang sepatutnya diberikan kontrak tersebut.
Itu ali bapa ini boleh dikatakan berlaku dalam semua sektor ekonomi yang membabitkan bumiputera. Sudah tahu projek dialibabakan, namun orang yang sama tetap diberikan projek dan kontrak.
Contohnya, projek-projek yang gagal ini sudah banyak kita lihat. Daripada projek bernilai jutaan kepada yang berbilion ringgit. Daripada projek yang membabitkan haiwan ternakan kepada projek membina kapal untuk menjaga keselamatan negara. Banyak yang terbengkalai kerana ia tidak diberikan kepada usahawan tulen.
Walaupun diberikan lanjutan tempoh diberikan suntikan dana tambahan namun ia tetap gagal disiapkan kerana mereka memang tidak mempunyai keupayaan melaksanakannya.
Yang menjadi persoalannya, mereka yang terlibat dalam proses membuat keputusan untuk menganugerahkan projek-projek ini (sebahagiannya adalah pemimpin politik) seolah-oleh tidak sedar atau tidak memperdulikan perkara ini. Mereka ini seolah-olah tidak kisah imej usahawan bumiputera dipersendakan. Mereka tidak kisah dengan kegagalan yang berulang-ulang. Sebab itu, usahawan bumiputera yang tulen terus dipinggirkan.
Perkara ini turut dibangkitkan oleh Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng dalam sesi Diskusi Madani: Mencipta Peluang Bumiputera Dalam Peralihan Tenaga sempena Kongres Ekonomi Bumiputera.
Beliau berkongsi pengalaman bagaimana bersaing secara terbuka dengan syarikat bukan bumiputera dalam industri tenaga boleh baharu kerana kontrak-kontrak kerajaan lebih diutamakan kepada syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman.
Katanya, dasar dan polisi kerajaan dalam memajukan industri termasuk memastikan pembabitan bumiputera cukup jelas. Cuma pelaksanaannya yang kadang-kadang ada sedikit kepincangan hingga menyebabkan usahawan tulen terpinggir.
Cuma apa yang dikesalkan, apabila syarikat-syarikat yang tidak kompeten ini diberikan projek lalu dialibabakan hingga gagal, tempiasnya turut terkena kepada mereka yang bekerja keras. Ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit.
Dalam projek solar berskala besar misalnya, tidakkah agensi-agensi terbabit atau pemimpin yang terlibat melihat akan kegagalan beberapa syarikat yang diberikan mandat untuk melaksanakan?
Ada yang sudah diberikan lanjutan tarikh akhir sebanyak empat kali, dikecualikan daripada denda kelewatan dan sebagainya, tetapi masih juga gagal disiapkan. Tidakkah ini cukup untuk membuka mata bahawa memberikan kontrak dan projek kepada usahawan tulen itu adalah kriteria utama?
Sikap juak-juak politik yang menggunakan peruntukan atau kuota bumiputera untuk kekal berkuasa juga menyumbangkan kepada berleluasanya kes-kes ali baba.
Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar mengakui perkara ini berlaku iaitu menjadi amalan para pemimpin menggunakan kuota dan peruntukan bumiputera sebagai anugerah politik demi mengekalkan kuasa mereka.
Hasilnya, kontrak dan projek terlepas ke tangan mereka yang tidak ada keupayaan dan kepakaran, lalu diberikan kepada pihak ketiga yang menjadi ejen pelaksana dengan mereka hanya hidup dengan memakan komisen.
Ini budaya yang perlu dihapus dan dilenyapkan. Ia bukan sahaja memberikan imej dan persepsi buruk kepada usahawan bumiputera, tetapi menafikan hak mereka yang layak dan bekerja keras untuk berjaya.
Para pemimpin yang terlibat dan bertanggungjawab dalam melaksana dan mengagihkan kuota bumiputera ini perlu berubah. Mereka perlu menjadi lebih bertanggungjawab supaya usahawan bumiputera tulen diiktiraf dan budaya ali baba dilenyapkan.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










