SEMASA penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig. Saiz pasaran ekonomi gig kini adalah signifikan dalam persekitaran ekonomi negara.
Suku ketiga 2023 sahaja merekodkan saiz pasaran ini bernilai RM1.33 bilion. Selain tu, penggiat ekonomi gig ini mencecah seramai 1.12 juta orang pekerja. Daripada angka ini, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merekodkan 80 peratus daripada pekerja gig terdiri daripada orang muda.
Pun begitu, masih tiada apa-apa perincian berkenaan struktur dan peranan suruhanjaya ini. Ini termasuklah bidang kuasa dan matlamat yang ingin dicapai. Suruhanjaya ini dikatakan bertujuan menjaga dan membela nasib pekerja-pekerja gig ekonomi di Malaysia.
Media melaporkan juga bahawa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menerajui sebuah jawatankuasa, pelbagai kementerian dan pemegang taruh yang akan diwujudkan meneliti penubuhan suruhanjaya ini. Jawatankuasa ini juga akan meneliti terma rujukan penubuhan suruhanjaya yang membabitkan aspek fungsi, perundangan, kewangan dan keanggotaan.
Gesaan untuk menubuhkan satu badan bagi menjaga kebajikan pekerja gig bukanlah perkara yang baharu kerana ia pernah disuarakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kebimbangan yang timbul dalam kalangan pekerja gig adalah ketiadaan undang-undang untuk memelihara pekerja atau penggiat ekonomi gig di Malaysia sehingga mengakibatkan diskriminasi dan penindasan.
Cabaran mendesak yang dialami oleh pekerja gig adalah perlindungan dan pengiktirafan hak mereka dalam kerangka undang-undang pekerja di Malaysia tambahan pula ekonomi gig adalah suatu yang baharu dalam industri.
Isu berkenaan dengan hak pekerja gig dalam undang-undang bukan sahaja dialami oleh mereka yang ada di Malaysia. Ia sebenarnya satu isu baharu yang didepani di seluruh negara.
Penulis pernah mengulas isu pekerja gig pada tahun 2022 dengan merujuk kepada kes Uber BV dan lain-lain lwn Aslam dan lain-lain. Dalam kes ini Mahkamah Agung di United Kingdom (UK) telah mengesahkan dapatan di peringkat tribunal dan mahkamah rayuan yang menyatakan bahawa pemandu-pemandu adalah pekerja walaupun tidak digajikan oleh pihak Uber London. Mahkamah juga bersetuju dengan keputusan di peringkat tribunal bahawa masa bekerja pemandu bukan hanya terhad apabila mengambil penumpang tetapi meliputi tempoh masa apabila mereka mengaktifkan aplikasi Uber dalam kawasan yang dibenarkan bertugas dan boleh menerima arahan.
Selain itu, Mahkamah Agung di Belanda pada 24 Mac 2023 telah mengesahkan bahawa pemandu Delivaroo merupakan seorang ‘pekerja’ walaupun tiada perjanjian untuk perkhidmatan antara Delivaroo dengan pemandu-pemandunya.
Keadaan berbeza di UK apabila Mahkamah Agung memutuskan pada 21 November 2023 bahawa pemandu-pemandu yang terlibat dengan dalam aplikasi Delivaroo bukanlah pekerja yang melayakkan mereka untuk membuat perundingan kolektif.
Dalam kes Delivaroo ini, Kesatuan Pekerja Bebas Great Britain mewakili pekerja untuk berunding bagi pihak pekerja di kawasan Camden dan Kentish di Utara London dengan pihak Delivaroo. Walau bagaimanapun, pihak Delivaroo enggan untuk memasuki sebarang perundingan dengan pihak kesatuan. Keengganan untuk berunding telah membawa kepada pihak kesatuan mengguna pakai peruntukan di Jadual A1, Akta Kesatuan Sekerja dan Hubungan Buruh 1992 (TULRCA).
Perkara ini dirujuk oleh pihak kesatuan ke Jawatankuasa Pusat Arbitrasi (CAC) yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan pekerja bagi mengiktiraf kesatuan dan memasuki perundingan bersama dengan kesatuan. Delivaroo menghujahkan bahawa pemandu Delivaroo bukan pekerja menurut seksyen 296 TULRCA.
Mahkamah Agung kemudiannya memutuskan bahawa pemandu bagi aplikasi Delivaroo bukanlah pekerja sebagaimana takrifan seksyen 296 TULRCA. Kesannya adalah Delivaroo berhak untuk menolak perundingan dengan pihak kesatuan.
Kes ini merupakan satu kes yang panjang yang bermula sejak tahun 2017 sebelum diputuskan di Mahkamah Agung pada tahun 2023.
Dalam mana-mana perundangan berkenaan pekerja, definisi pekerja dalam perundangan adalah yang paling utama. Realitinya, pekerja gig dilihat sebagai kontraktor bebas dan bukan pekerja dalam perundangan semasa. Ini menyebabkan hak mereka sebagai pekerja dalam konteks undang-undang kerja tidak dapat dilindungi.
Misalnya terdapat aduan daripada pekerja gig ini yang ditamatkan oleh syarikat pengendali hanya kerana aduan pelanggan semata-mata tanpa melalui prosedur yang seadilnya. Begitu juga dengan isu kekurangan perlindungan sosial dan gaji yang adil sentiasa menjadi isu utama yang membelenggu golongan ini.
INISIATIF TEPAT
Justeru, penting kepada suruhanjaya yang bakal ditubuhkan kelak untuk betul-betul mencapai matlamat bagi mewujudkan keadaan yang harmoni dalam industri. Dalam setiap isu dan pertikaian antara syarikat pengendali dan pekerja gig keadaan menang-menang hendaklah menjadi keutamaan dan tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja kerana akhirnya keuntungan kedua-dua pihak akan mencambahkan kekuatan ekonomi negara.
Tuntasnya, inisiatif kerajaan mewujudkan suruhanjaya pekerja gig ini adalah tepat pada masa ekonomi gig ini sedang pesat berkembang.
Kita boleh meraikan ekonomi gig dan peluang yang diberikan kepada masyarakat tetapi sama sekali tidak boleh menjadikan pekerja-pekerja gig ini sebagai hamba seolah-olah tidak punya hak dan masa depan.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










