Arkib senjata pertahan hak dan kedaulatan negara

Arkib senjata pertahan hak dan kedaulatan negara

MALAYSIA juga perlu melindungi aset nasional iaitu arkib yang akan digunakan sebagai ‘senjata’ bagi mempertahankan hak dan kedaulatan wilayah negara ini. – ARKIB NEGARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKOD dan dokumen negara adalah ‘senjata’ penting menghadapi tekanan globalisasi, kerencaman perundangan, teknologi digital dan manipulasi kecerdasan buatan (AI). Semuanya boleh mengancam kedaulatan, hak kedaulatan serta kepentingan wilayah negara. Sebagai aset nasional, semua bahan arkib negara masih di tahap selamat sementara waktu ini tetapi bakal berdepan ancaman serius termasuk apabila teknologi digital dan AI semakin maju.

Bagaimana Arkib Negara Malaysia (ANM) akan mempertahankan kedaulatan maritim khususnya zon ekonomi eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan? Apakah Malaysia mampu lolos dalam persaingan geopolitik dan survival ekonomi yang kian sengit di perairan ini selain manipulasi predator teknologi digital dan AI?

Percayalah bakal muncul antaranya, penjenayah atau scammer yang akan memplagiat atau mengubah suai ‘rekod atau dokumen tertentu’ mengikut kehendak atau keperluan pihak tertentu. Di pihak penjenayah, matlamat mereka adalah meraih keuntungan komersial. Namun, matlamat pihak pelanggan adalah mencetuskan pertikaian seterusnya membuat tuntutan terhadap hak dan kedaulatan wilayah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata: “…Di Laut China Selatan, kita melihat unsur-unsur persaingan kuasa besar meresap ke dalam pertikaian wilayah, secara sengaja atau sebaliknya…”

Sejajar pendirian Malaysia yang mendokong prinsip ASEAN yang berkecuali dan menyokong penyelesaian konflik secara aman menerusi rundingan mengikut undang-undang antarabangsa namun kesiapsiagaan rekod dan dokumen negara adalah amat penting untuk digembleng bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Justeru, Malaysia sepatutnya sudah mengorak langkah membina pasukan pakar bagi menyelamatkan semua bahan arkib sebelum ada pihak yang ‘maju selangkah di hadapan’ mengemukakan ‘rekod atau dokumen baharu lebih asli’ bagi menuntut hak serta kedaulatan wilayah negara.

Negara juga perlu mempunyai pasukan pakar mengeksplorasi rekod dan dokumen negara di seberang laut. Kemudian membuat salinan dan membawanya pulang bagi melengkapkan bahan dan memperkukuhkan hujah dalam mahkamah andai berlaku sesuatu tuntutan pihak kelak.

Banyak negara telah meminda akta atau ordinan berkaitan arkib masing-masing. Selain mewujudkan beberapa lapisan tadbir urus termasuk panel suruhanjaya, ada negara melantik pakar bagi memperkukuhkan arkibnya. Pihak berkuasa saintifik dan teknikal turut diwujudkan bagi menangani jenayah arkib yang menggunakan teknologi tinggi selain merangka peraturan dan perundangan serta menasihati kerajaan berkaitan arkib.

Inilah antara inisiatif dalam membangunkan arkib digital, seterusnya membina arkib negara yang kalis masa hadapan. Malaysia juga perlu melakukan perkara sama untuk melindungi aset nasional itu yang akan digunakan sebagai ‘senjata’ mempertahankan hak dan kedaulatan wilayah negara ini.

Ada juga negara membuat ketetapan bahawa sistem perlindungan keselamatan maritim bukan sahaja ditakrifkan oleh kuasa militer bahkan melalui arkib rekod dan dokumentasi yang sah. Oleh itu, Malaysia perlu mengambil ketetapan serupa kerana rata-rata pertikaian dan tuntutan hak sempadan berlaku membabitkan wilayah maritim negara. Hanya arkib negara yang komprehensif, berteknologi tinggi dan cekap sahaja dapat menjamin kesahihan serta keselamatan sempadan maritim sekali gus hak kedaulatan negara.

Merujuk kepada rencana bertajuk Andai Arkib Negara dianugerah ‘Diraja’ (Utusan Malaysia, 1 Mac 2024 maka penubuhan Arkib Diraja Malaysia (ADM) mungkin intipati dan jawapan kepada keperluan membina pertahanan melindungi kedaulatan maritim dan wilayahnya selain memperkasakan armada tentera laut. Penubuhan ADM bukan mereformasi sistem arkib negara semata-mata tetapi mentransformasi keseluruhan institusi menjadi benteng negara yang kukuh dan kebal dalam mempertahankan hak serta kedaulatan seluruh wilayahnya.

Turut perlu diberi perhatian ANM pada era teknologi digital adalah berkaitan isu kedaulatan data milik rakyat, firma mahupun kerajaan yang berada dalam sistem perkomputeran global. Mengikut Akta 629, sebahagian rekod dan dokumen itu mungkin perlu diserah kepada Arkib Negara Malaysia (ANM) apabila cukup tempoh lima tahun kerana mempunyai nilai kepentingan nasional termasuk kedaulatan.

Justeru, proses mentransformasi ANM turut wajar memberi perhatian kepada isu perundangan berkait kedaulatan data Malaysia yang mungkin tertakluk kepada undang-undang di negara mana data itu berada dan mesti kekal dalam sempadan negara itu. Jadi, memiliki pasukan pakar perundangan arkib perlu menjadi keutamaan ketika hendak membina arkib negara masa depan selain menghadapi isu kedaulatan data serta tuntutan wilayah pada masa depan.

Malaysia perlu sensitif dan bersikap proaktif berkaitan isu data negara di luar sempadan. Ia wajar diselesaikan secara global kerana kerajaan serta rakyat masing-masing mesti diberi hak untuk melindungi maklumat rekod dan dokumennya daripada sebarang penyalahgunaan, manipulasi, jenayah atau komersial pihak ketiga.

Dalam Sesi Kamar Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pulau Batu Puteh pada 26 Februari 2024 lalu, antara rumusan pembentangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said adalah pentingnya pihak terlibat mematuhi prosedur dan proses perundangan bagi setiap kes tuntutan yang dihadapi.

Antaranya, proses aliran pemakluman, pemberitahuan dan nasihat yang disalurkan termasuk kepada jemaah menteri serta keputusan proses perundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta Majlis Raja-Raja Melayu berkait perkara tersebut seperti ketetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ternyata amat penting pengendalian semua perkara berkaitan kes Pulau Batu Puteh termasuk pelaksanaan prosedur dan secara khusus daripada aspek perundangan. Jadi, boleh dirumuskan bahawa menguasai perundangan, memahami tata kelola serta pelaksanaan prosedur berkaitan arkib yang betul adalah antara elemen amat perlu dan penting dalam pengendalian semua perkara berkaitan kes serupa termasuk pada masa akan datang.

Ini boleh dicapai antaranya menerusi inisiatif permodenan sistem dan mentransformasi institusi arkib negara untuk menjadi benteng pertahanan kedua yang mampu menghalang tragedi hitam yang meragut kedaulatan negara, daripada berulang. Lagipun, jika diterjemahkan secara langsung apa yang tentera lakukan bagi pertahanan adalah sama konsepnya dengan peranan arkib iaitu ‘berlatih dan bersedia menghadapi konflik’. – UTUSAN

PENULIS adalah pengamal dan perunding media, komunikasi, penulisan serta penerbitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN