Apa status KPI Ramadan kita?

Apa status KPI Ramadan kita?

APAKAH status prestasi kita sepanjang bulan Ramadan ini, adakah ia hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sepanjang hari? – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini kita berada pada hari ke-11 Ramadan. Alhamdulillah atas nikmat iman dan umur yang diberikan oleh Allah SWT yang memperkenankan doa kita sejak Rejab iaitu “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Bagi orang beriman, adalah penting untuk kita bermuhasabah dan menilai sejauh mana prestasi atau petunjuk prestasi utama (KPI) setakat ini. Kita sudah berada dalam 10 hari kedua Ramadan. Adakah kita semakin bersemangat beribadat atau semakin lesu dan lemah sehinggakan sudah kembali semula kepada rutin biasa sebagaimana bulan-bulan lain di luar Ramadan?

Untuk itu mari kita bertanya dan menilai diri masing-masing. Bagaimanakah kualiti dan KPI setakat ini dengan melihat kepada aspek-aspek berikut:

Solat
Umum mengetahui bahawa solat itu adalah kefarduan ke atas setiap Muslim yang mukallaf. Kewajipan ini meliputi orang yang sihat dan orang sakit, orang celik dan orang buta. Jika sakit, ada cara untuk solat iaitu diberi rukhsah (keringanan) untuk solat duduk, berbaring atau hanya dengan isyarat mata.

Persoalannya, adakah dalam Ramadan ini, kita berupaya solat di awal waktu. Bagi yang lelaki pula, adakah kita berjaya solat fardu di awal waktu secara berjemaah waima semasa bekerja di pejabat?

Amat besar kerugian jika dalam Ramadan di saat kita tidak disibukkan dengan keluar makan tengah hari tetapi kita masih tak mampu solat berjemaah di masjid atau surau.

Lebih malang lagi, jika ada yang puasa tetapi meninggalkan ibadat solat. Sedangkan solat itu adalah tiang agama. Siapa yang mendirikannya, ibarat dia mendirikan agama dan siapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama.

Membaca al-Quran
Ramadan adalah bulan al-Quran diturunkan. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bemaksud: Pada bulan Ramadan, bulan yang diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)… (al-Baqarah: 185)

Amat besar ganjaran pahala Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci. Selepas 11 Ramadan, banyak mana kita sudah baca al-Quran atau kita lebih banyak membaca mesej TikTok, Instagram dan media sosial yang lain?

Nabi Muhammad SAW sendiri bertadarus bersama malaikat Jibril pada setiap malam apabila tibanya Ramadan. Ibn ‘Abbas meriwayatkan hadis dengan berkata yang bermaksud: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril a.s menemuinya. Jibril a.s datang kepada Nabi SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih cepat daripada tiupan angin. (Riwayat al-Bukhari)

Sebenarnya, tiada alasan untuk kita mengabaikan hal ini. Nak kata masalah untuk membawa mushaf al-Quran, sepanjang masa kita ada telefon pintar yang ada aplikasi al-Quran di dalamnya. Jika tiada wuduk menjadi alasan, melalui telefon pintar kita tidak perlukan wuduk walaupun lebih besar pahala jika membacanya dengan wuduk.

Sepatutnya, kita ambil kesempatan dan peluang ketika dalam perjalanan ke pejabat sama ada memandu kenderaan, menaiki tren atau pengangkutan awam, buka telefon itu dan baca al-Quran. Jangan hanya melayari media sosial sepanjang 30 minit perjalanan ke tempat kerja. Imam al-Syafie diriwayatkan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan. Jika dalam Ramadan kita tidak baca al-Quran, jangan harap kita membacanya dalam bulan lain.

Zakat
Satu lagi rukun Islam yang terkandung dalam Ramadan adalah zakat fitrah. Nilainya tidaklah besar. Banyak negeri sudah umumkan kadarnya antara RM7 hingga RM21 mengikut beras yang kita makan.

Untuk itu, jangan dilupakan kefarduan ini. Ia boleh ditunaikan mulai hari pertama Ramadan sehinggalah sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Jangan tunggu saat akhir baru nak menunaikannya.

Maka janganlah mengabaikannya kerana perbuatan itu adalah berdosa. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang keluar melaksanakan solat Aidilfitri. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berbuat baik dan tinggalkan mungkar
Antara yang sangat dituntut dalam Ramadan adalah menjaga lisan dan perbuatan. Elak daripada mengeluarkan sebarang perkataan yang mencela, mengumpat dan mencerca orang lain. Pendek kata, kita bukan hanya puasa menahan diri daripada makan, minum dan perbuatan yang membatalkannya, tetapi puasa seluruh pancaindera.

Cabaran utama adalah menahan diri daripada memberi respon dalam media sosial yang saban masa ‘melambai-lambai’ kita untuk melihat dan berinteraksi di dalamnya.

Ingatlah pesan Nabi SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam. (Riwayat Ibnu Majah)
Antara sebab puasa menjadi sia-sia adalah tidak meninggalkan perbuatan yang keji atau dusta dan tidak menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan lucah. Sebelum melayari media sosial yang ada unsur keji atau lucah, sentiasa ingatkan diri bahawa “Aku sedang puasa”.

Sedekah
Bersedekah bukan hanya duit. Bagi yang berkemampuan, teruskan bersedekah wang ringgit. Bukan banyak atau sedikit jadi ukuran, tetapi keikhlasan dalam memberi. Jangan tunggu dah kaya baru nak bersedekah sebaliknya bersedekah sehingga kita jadi kaya.

Janganlah sepanjang 30 hari Ramadan, kita tak sedekah walaupun RM1 baik di masjid atau surau atau di mana-mana lokasi yang kita lihat ada golongan yang memerlukan bantuan. Jika tidak mampu bersedekah wang ringgit, boleh bersedekah dengan tenaga, ilmu dan sebagainya.

Jika di Masjid Nabawi dan Masjidilharam suasana ketika berbuka akan kelihatan golongan kanak-kanak sibuk memberi cawan dan menuang air zamzam untuk jemaah. Ini adalah antara yang boleh kita contohi dalam usaha mencari pahala dalam Ramadan.

Amat banyak kelebihan yang Allah tawarkan kepada umat Islam dalam bulan berkat ini. Antaranya, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. (Riwayat Muslim)-UTUSAN

 

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN