KEMASUKAN pelajar-pelajar baharu bagi sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) didapati semakin tahun semakin berkurangan.
Fenomena kekurangan kemasukan pelajar ke sekolah Tamil sejak 2011 telah menarik perhatian masyarakat India, terutamanya kepimpinan MIC. Malah, penyokong tegar pendidikan Tamil dalam negara menzahirkan perasaan kebimbangan terhadap masa depan sekolah Tamil di Malaysia.
Dalam konteks demografi sekolah Tamil, pada 1957 atau ketika negara mencapai kemerdekaan, terdapat 888 buah sekolah Tamil berfungsi dalam negara, melibatkan 50,000 pelajar dengan hampir 2,000 guru di seluruh negara dengan warga guru yang serba kekurangan kelulusan.
Namun pada masa sekarang, jumlah sekolah Tamil yang berfungsi adalah sebanyak 528 SRJKT, melibatkan lebih kurang 81,000 pelajar dan hampir 8,400 guru di seluruh negara. Hampir 70 peratus sekolah Tamil masih terletak di kawasan estet.
Sebahagian besar pelajar (62 peratus) di sekolah Tamil datangnya daripada kumpulan B40. Kemerosotan bilangan sekolah adalah disebabkan oleh faktor migrasi orang India dari ladang-ladang getah ke bandar sejak 1970 kesan pembangunan dan perindustrian pesat yang berlaku dalam negara.
Memandangkan kebanyakan sekolah Tamil terletak di ladang-ladang getah, maka migrasi orang India dari ladang-ladang getah ke bandar telah menyebabkan kekurangan pelajar bagi sekolah Tamil yang masih terletak di ladang-ladang getah.
Dewasa ini, hampir 89 peratus orang India tinggal di bandar berbanding dengan hanya 35 peratus pada 1970. Kemasukan pelajar-pelajar baharu bagi sekolah Tamil juga didapati merosot. Daripada jumlah 520 buah SRJKT, 59 buah mempunyai 101 hingga 150 pelajar, 105 buah sekolah mempunyai antara 51 hingga 100 pelajar, 84 buah sekolah mempunyai 20 hingga 50 pelajar, 58 buah sekolah mempunyai 11 hingga 25 pelajar dan hampir 21 sekolah hanya mempunyai lima hingga 10 pelajar.
Namun, setiap sekolah mempunyai guru yang mencukupi iaitu tidak kurang daripada tujuh orang guru bagi setiap sekolah dengan taraf kelulusan ijazah sarjana muda, sarjana serta PhD. Memandangkan masalah kekurangan murid di sekolah Tamil menjadi lebih ketara, pihak MIC di bawah kepimpinan Tan Sri SA.Vigneswaran tidak duduk diam tetapi bergerak pantas mengambil langkah intervensi meliputi tindakan meneliti, mengkaji dan mencadang program untuk mengatasi masalah kekurangan pelajar di sekolah Tamil.
Sehubungan ini, kepimpinan MIC mengumumkan akan menubuhkan satu pelan tindakan bersama Universiti AIMST untuk mengkaji semula kedudukan pendidikan dan perkembangan Tamil di Malaysia. Pelan tindakan ini dijangka akan membantu mengatasi masalah sekolah Tamil yang menghadapi risiko penutupan. Tindakan kepimpinan MIC yang cepat dan pantas malah strategik ini mengingatkan kita untuk mengimbas kembali tindakan kepimpinan MIC pada tahun 50an apabila sekolah Tamil menghadapi risiko penutupan secara beransur-ansur pada tahun-tahun 50an, era penjajahan
British.
K.Ramanathan, Presiden MIC ketiga, didapati seorang yang tegas, bijaksana, malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau dasar yang menggugat kedudukan dan kepentingan bahasa Tamil. Sikap tegas beliau tersebut dapat dilihat ketika rombakan sistem pendidikan dilakukan oleh kerajaan British pada 1951.
Pada 1951, pihak pentadbiran penjajah British telah meminta L.J.Barnes untuk mengkaji tahap pendidikan di British Malaya dalam usaha merangka dan mencadangkan satu dasar pendidikan nasional. Antara cadangan laporan Barnes tersebut ialah penubuhan sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Dalam masa yang sama, cadangan Barnes adalah memberhentikan bantuan kewangan untuk sekolah Cina dan Tamil. Kaum Cina dan India menentang hebat laporan tersebut kerana bimbang sekolah Cina dan Tamil akan lenyap beransur-ansur dalam negara ini.
Memahami sentimen dan protes orang Cina terhadap Laporan Barnes, kerajaan British bersetuju untuk mencari jalan baharu. Pihak kerajaan British menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Prof. Dr. W.P. Fenn dan Dr. Y. T. Wu untuk mencadangkan dasar alternatif berkaitan dengan sekolah Cina bagi memuaskan hati orang Cina.
Malangnya, tiada usaha dibuat oleh penjajah British untuk menubuhkan jawatankuasa yang sama seperti Fenn dan Wu bagi mengkaji pendidikan Tamil. Dalam keadaan ini, K. Ramanathan mengambil usaha menubuhkan sebuah jawatankuasa khas MIC untuk mengkaji dan mencadang pelan untuk menjamin kelangsungan sekolah Tamil dan pendidikan bahasa Tamil. Dipengerusikan oleh beliau sendiri, jawatankuasa tersebut turut disertai oleh Athi Nahappan, Swami Satyananda, K.L. Devasar, G.Leo dan Pasamanikam.
Laporan jawatankuasa tersebut telah disampaikan kepada kerajaan kolonial dalam bentuk memorandum mewakili kaum India. Antara syor utama jawatankuasa MIC tersebut ialah penubuhan sekolah Tamil dengan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar diajar di sekolah rendah dari darjah satu hingga enam, pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dilaksanakan dari tahun ketiga dan ke atas serta bantuan kewangan daripada kerajaan terus disalurkan kepada sekolah Tamil.
Laporan jawatankuasa ini didapati digunapakai malah menjadi asas dalam kerajaan British menggubal Education Ordinance 1952 dan kemudiannya Penyata Razak pada 1956. Malah laporan MIC dikesan menjadi asas kepada pendidikan sekolah Tamil sehingga dimasukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Jadi tidaklah keterlaluan sekiranya menyimpulkan bahawa MIC merupakan parti politik yang berjuang untuk meletakkan sekolahsekolah Tamil dalam institusi pendidikan negara ini. Pemikiran dan tindakan kepimpinan MIC semasa juga didapati lebih mencerminkan kebijaksanaan pemimpin MIC terdahulu.
Apakah masyarakat India terutamanya ahliahli MIC pada dewasa ini sedar terhadap sejarah dan sumbangan kepimpinan MIC terdahulu kepada komuniti India? – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










