SEMUA peringkat perjawatan kerajaan dari agensi, jabatan, universiti sehingga ke Jemaah Menteri perlu terus serlahkan keupayaan dan mencabar diri.
Teruskanlah dengan pendekatan baharu dan agresif mempermudah dan menyelesai permasalahan rakyat. Populariti diri tidak penting. Paling utama imej kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat segalanya.
Beringatlah, tanpa memiliki kualiti yang diperlukan untuk menggerakkan organisasi, kementerian dan berkomunikasi dengan baik, kerjaya dalam arena masing-masing tidak akan bertahan lama – walaupun anda disenangi ketua jabatan atau peringkat teratas, Perdana Menteri.
Tidak perlu memprovokatif satu-satu isu bersentimenkan kaum. Walaupun kebelakangan ini ada percubaan `meledakkannya’, mujur ia sekadar sensasi meraih liputan media. Namun tidaklah sampai dibawa masuk untuk perbincangan atau keputusan Kabinet.
Setakat ini dengan kerajaan memasuki tahun kedua pentadbirannya, tidak berlaku kontroversi besar. Belum terdengar lagi seperti pernah dibidalkan di Amerika, “If you want to gain recognition, get involved in a scandal” (Jika anda ingin pengiktirafan, libatkan diri dalam skandal). Perkataan ‘skandal’ itu barangkali di negara ini boleh digantikan dengan sensasi.
‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ – pepatah Melayu lama yang sering terabai. Senantiasa berwaspadalah bahawa gambar, video dan kenyataan sensasi yang dikutip daripada ungkapan pembesar kerajaan boleh dikongsi serata dunia.
Ambil iktibar dan teladan waktu musim wabak Covid-19 melanda negara ini. Ramai hidup tertekan. Rumah didiami berkurung di dalamnya hampir masuk sebulan kian berbahang. Waktu itu penghuninya mudah marah dan tersinggung apabila dihidangkan dengan idea bukan-bukan – yang sepatutnya serius apabila datang daripada pak-pak menteri atau ibu-ibu menteri.
AMARAH, PADAH
Dan kali ini pula, harus terus tumpu menangani situasi nilai ringgit tidak bermaya, mengelak bursa dari melesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Memastikan kita peka dengan denyutan hati rakyat bukan satu ungkapan yang retorik sengaja dialun-alunkan. Bahaya jika amarah berterusan akan membawa padah yang tiba-tiba.
Jauhkan tindak tanduk berupa fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran – yang seakan-akan menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan Melayu dan institusi Raja Melayu.
Elakkan insiden-insiden yang lepas seperti percubaan meratifikasi ICERD, Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan yang kelihatan tidak kompeten dan menghakis keyakinan rakyat.
Harus difahami, generasi baharu yang sejak kecil diajar menyalurkan informasi secara online tidak ingat lagi retorika dan cara berpolitik yang dulu-dulu. Kitalah yang harus bersedia menghadapi perang sensasi dan politik berpentaskan media sosial bersama golongan ini.
Pelan yang sempurna jika tidak dilaksanakan dengan baik, akan gagal. Pelan yang tidak baik, jika dilaksanakan dengan baik, akan pasti berjaya. Bacaan yang terlalu mudah. Tapi yang jelas – tangani kegagalan dengan bekerja keras. Perancangan perlu tampak realistik dan lancar.
Mengamati sekeliling hari ini, selain kos hidup yang mencengkam, kita juga sebenarnya dahagakan bimbingan asuhan sahsiah diri.
Ini soal kehilangan cara hidup atau budaya yang dilarikan zaman. Yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri. Yang masih tiada jawapan jelas baginya.
MAKMAL
Cuba ambil China sebagai bahan makmal. Negara itu terus berjaya kerana mempunyai idealisme nasional yang berpaksikan disiplin sosial yang kuat bagi 1.4 bilion warganya. Rakyat China sentiasa diasuh dengan asakan nilai, fizikal dan asuhan nasionalisme sosialisme yang menampakkan hasil sosiopolitiknya.
Sains, matematik, pengajian nuklear, metafizik dan sebagainya dicetuskan oleh budaya dalaman mereka sendiri, bukan dari cetusan luaran. Politik nasionalisme mereka mampu menidakkan Facebook, X (Twitter) dan WhatsApp. Diganti dengan ciptaan-ciptaan tempatan sendiri.
Hasilnya, China berjaya menghasilkan pesawat komersial buatan sendiri, C91, kapal selam, kapal perang, roket dan stesen angkasa lepas. Dan China mampu hidup sendirian tanpa bantuan kepada dunia luar, kecuali dalam hal berkaitan fuel atau bahan api seperti petroleum.
Kita masih belum terlewat. Di pihak berkuasa hindari tiupan gosip, persepsi dan kontroversi yang berisiko merubah keadaan yang baik, menjadi buruk. Mana-mana pendiri kerajaan pun boleh kaget dan tergugat dek penangan parodi dan drama pendek TikTok.
Mesti serius mengukur dan memperkemas rangka survival dan rangka keutuhan negara. Jangan putus asa, alpa atau kecewa. Ini semua sebenarnya hanya dapat dicapai melalui usaha bina-negara (nation building) yang setakat ini belum tampak diyakini.
Malaysia perlu terus bangkit. Ambil iktibar dari peristiwa yang lepas. – UTUSAN










