DALAM landskap ketidaktentuan global seperti ketegangan geopolitik yang berlanjutan, pengetatan dasar monetari serta peningkatan risiko kelembapan ekonomi di seluruh dunia, syarikat tempatan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan ketangkasan, adaptasi, dan pengurusan yang dinamik untuk memastikan mereka berdaya saing dalam pasaran domestik dan global.
Tinjauan CEO Global Tahunan (Malaysia) ke-27 PwC menunjukkan bahawa hampir separuh atau 43 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di negara ini menyatakan tidak percaya terhadap kemampuan syarikat mereka untuk berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh satu dekad akan datang.
Cabaran ini mencakupi perubahan teknologi dan isu peralihan iklim, yang memerlukan tindakan segera dan strategi adaptasi yang berfokus pada pengurusan yang dinamik.
Oleh itu, syarikat tempatan perlu berubah dengan memberikan respons yang cepat terhadap perubahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Ini termasuklah kemampuan untuk merombak model perniagaan, produk, atau perkhidmatan dengan segera berdasarkan kepada maklum balas dan trend pasaran.
Kerajaan telah melancarkan Ekonomi Madani sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk merangsang ekonomi negara dalam jangka panjang.
Walaubagaimanapun, syarikat perlu merebut segala peluang yang ada dengan tangkas berasaskan keperluan keperluan pasaran semasa untuk memperkasakan daya saing mereka.
45 peratus CEO di rantau Asia Pasifik menjangkakan penurunan ekonomi global manakala 40 peratus menjangkakan peningkatan pada tahun 2024.
Keputusan tinjauan PwC juga menunjukkan isu kekurangan kemahiran, di mana 70 peratus CEO mengakui kekurangan kemahiran tenaga kerja dan 64 peratus melaporkan kekurangan keupayaan teknologi.
Ini menunjukkan bahawa tenaga kerja adalah aset utama yang perlu diperkasakan untuk menangani cabaran ini.
Strategi perniagaan haruslah bersifat adaptif dan dinamik. Syarikat perlu menyesuaikan model perniagaan mereka secara strategik mengikut kehendak pasaran.
Ini melibatkan kajian semula strategi, pelan tindakan yang berorientasikan kepada hasil dan penyesuaian terhadap struktur organisasi untuk memastikan kesesuaian terhadap perubahan pasaran.
Kedua, pentingnya pendidikan dan latihan yang berterusan dalam meningkatkan kemahiran pekerja menjadi teras utama dalam pengurusan sumber manusia yang lebih dinamik.
Peningkatan kemahiran melalui program latihan dalam organisasi membuka peluang kepada pekerja untuk memperoleh pengetahuan terkini, meningkatkan produktiviti, dan menyumbang kepada keberkesanan tenaga kerja secara keseluruhan.
Dalam menghadapi cabaran teknologi, syarikat perlu lebih dinamik dalam mengintegrasikan teknologi terkini dan pelaksanaan strategi transformasi digital.
Pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), analitik data dan automasi adalah langkah penting untuk meningkatkan efisien operasi dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan.
Dengan ini, syarikat mampu meningkatkan daya saing dalam era perniagaan digital yang berkembang dengan pantas.
Inovasi dalam produk dan perkhidmatan juga menjadi kunci kepada dinamika untuk memenangi pasaran.
Syarikat perlu berada di hadapan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan citarasa pelanggan. Kajian pasaran yang teliti dan pemantauan pesaing adalah kunci kepada pembangunan produk yang relevan.
Syarikat perlu membentuk persekitaran yang kreatif, menyokong projek inovatif, dan bersedia mengambil risiko untuk mencipta produk yang relevan kepada pasaran.
Inisiatif-inisiatif inovasi bukan sahaja merangsang pertumbuhan syarikat tetapi juga membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah.
Syarikat juga perlu dinamik dalam mencari keseimbangan dan kestabilan dalam pengurusan syarikat.
Langkah-langkah seperti perancangan kewangan yang bijak, pematuhan standard dan strategi pengurusan risiko yang berkesan memberikan asas yang kukuh kepada pengurusan yang berkesan.
Keseimbangan ini membantu syarikat mencapai pengurusan yang dinamik dan kestabilan operasi dalam berhadapan cabaran semasa.
Syarikat juga perlu dinamik dalam menyumbang kepada impak sosial dan alam sekitar, membangunkan amalan yang lestari dan menyumbang kepada komuniti setempat.
Tanggungjawab sosial korporat tidak hanya meningkatkan imej syarikat tetapi juga merangkumi tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Dalam mencapai organisasi yang dinamik, kepemimpinan memainkan peranan penting. CEO dan pengurusan kanan perlu memberi contoh kepimpinan yang baik, memotivasi pekerja untuk berinovasi dan memastikan kesinambungan dalam perubahan strategi yang tuntas.
Kepemimpinan dinamik memberikan arah yang jelas dalam mencapai transformasi syarikat dengan merapatkan jurang antara matlamat organisasi dan pencapaian syarikat.
Selain itu, pengurusan risiko adalah penting dalam pengurusan yang dinamik. Syarikat perlu menilai dan mengurus risiko dalam perniagaan sejajar dengan perubahan pasaran.
Dengan merancang strategi risiko yang berkesan, syarikat dapat mengambil tindakan yang diperlukan untuk menghadapi risiko yang boleh memberi impak negatif kepada syarikat.
Kerjasama industri
Kerjasama dalam rantai bekalan dan industri adalah penting untuk memperkasakan syarikat tempatan.
Melalui kerjasama ini, syarikat dapat berkongsi maklumat, sumber daya dan teknologi untuk mencipta nilai tambah. Kerjasama industri juga membolehkan syarikat mendapatkan akses kepada inovasi dan perubahan dalam keperluan pasaran dengan lebih cepat.
Perubahan perlu dilihat sebagai peluang untuk membantu syarikat lebih berdaya saing.
Kesanggupan untuk beradaptasi dengan perubahan membantu syarikat untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Dengan mengaplikasikan pendekatan dinamik dalam pengurusan sumber manusia, teknologi dan inovasi, syarikat tempatan mampu meningkatkan daya saing dalam era industri 4.0.
Pengurusan yang dinamik adalah kunci kepada perubahan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan memenangi pasaran global yang berubah dengan pantas. – UTUSAN
PROF. MADYA Ts. Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










