Pertimbang keseluruhan, jangan sampai gadai undang-undang syariah

Pertimbang keseluruhan, jangan sampai gadai undang-undang syariah

HUKUMAN sebat memang ada dalam perundangan Islam tetapi pelaksanaannya bukan untuk menyakiti pesalah tetapi untuk menyedarkan mereka dan masyarakat, bahkan cara sebatan juga tidak sama dengan hukuman sebat sivil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESI Semakan Berkala Sejagat (UPR) baru-baru ini di Geneva dijalankan ketika mana genosid dan jenayah perang oleh Israel sedang berlaku. Ketika mana semua wakil negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia hadir, Israel tidak hadir ke proses semakan rekod hak asasi manusia negaranya.

Bukan setakat tidak memberikan kerjasama, malah menolak segala kritikan antarabangsa terhadap rekod hak asasinya yang buruk terhadap Palestin. Malangnya, ketidakhadiran Israel tidak dikenakan sebarang tindakan.

Kehadiran saya bersama anggota Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) ke sesi UPR adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab kami yang menghantar laporan pemegang taruh mengenai isu-isu hak asasi manusia dalam negara. MACSA menunjukkan komitmen yang tinggi untuk melihat pemerkasaan hak asasi manusia acuan tempatan ditegakkan. Jauh di sudut hati, terkilan kerana kepatuhan majoriti disemak dan dibidas, kebejatan Israel dan ketidakpatuhannya kepada undang-undang antarabangsa pula dipandang sebelah mata.

Malaysia mengulangi komitmen untuk menyertai enam lagi triti hak asasi manusia sebagaimana yang ditegaskan di dalam Laporan Kebangsaan. Perkara ini selari dengan Teras 5: Kewajipan Antarabangsa di bawah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dilancarkan pada 2018.

UNCAT
Ketika sesi UPR 2024, 10 negara menyarankan agar Malaysia meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).

Sebelum ini, lawatan ke Malaysia dilakukan pada 2017 dan 2018 oleh seorang ahli jawatankuasa UNCAT ketika itu, Abdel Wahab Hani. Menurut beliau, negara-negara seperti Tunisia, Maghribi dan Mesir telah menghapuskan hukuman sebat ekoran keputusan meratifikasi UNCAT. Maldives yang menghapuskan hukuman mati, telah melakukan pusingan U dan kini berusaha untuk mengembalikan hukuman mati.

Banyak negara Islam lain tidak meratifikasi UNCAT secara total, sebaliknya membuat bantahan dan reservasi kepada peruntukan yang menidakkan kuasa dan kedaulatan negara mereka.

Mereka mendaulatkan undang-undang Islam melebihi kepatuhan kepada keseluruhan peruntukan UNCAT. Platform Semakan Berkala menjadi tempat untuk mereka menjelaskan reformasi dan reservasi terhadap UNCAT. Hal ini boleh menjadi panduan buat Malaysia.

Untuk menentukan posisi Malaysia dalam hal ini, persoalan yang perlu ditanya ialah sama ada:
i. Adakah UNCAT selaras dengan undang-undang negara? atau
ii. Adakah undang-undang negara selaras dengan UNCAT?

Kedua-duanya akan menghasilkan jawapan dan implikasi yang berbeza. Jika soalannya ialah adakah UNCAT selaras dengan undang-undang Malaysia, andaiannya ialah kita akan memperoleh dapatan bahawa tidak semua peruntukan UNCAT itu selaras dengan undang-undang Malaysia. Itu yang banyak terjadi kepada negara-negara Islam yang meratifikasi dan membuat pelbagai reservasi.

Tetapi jika soalan yang ditanya ialah adakah undang-undang Malaysia selaras dengan UNCAT dan jika jawapannya ya, undang-undang Malaysia selaras dengan UNCAT, tiada apa yang perlu dipinda. Jika jawapannya tidak, maka banyaklah pindaan yang perlu dilakukan terhadap undang-undang termasuk undang-undang syariah.

 

PENULIS (depan) ketika menghadiri Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) baru-baru ini di Geneva.

DULUKAN NEGARA
Ini memberi kesan yang tidak bagus bagi negara, apatah lagi susulan keputusan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lwn Kerajaan Kelantan yang menyaksikan 16 peruntukan kesalahan jenayah syariah Kelantan diisytiharkan sebagai tidak sah.

Jika penghapusan undang-undang dan hukuman kesalahan jenayah syariah perlu dilakukan, bemakna Malaysia menggadaikan undang-undang syariahnya demi UNCAT. Justeru, pada hemat saya, soalan yang betul perlu ditanya agar pendekatan dan metodologi kajian yang hendak dijalankan dapat menghasilkan dapatan yang memberi faedah kepada negara yang berdaulat.

Mencadangkan pelbagai pindaan undang-undang untuk menyesuaikannya dengan UNCAT bererti mendahulukan UNCAT, bukan mendahulukan negara.

Takrifan penyeksaan di bawah Artikel 1 ialah penggunaan kekerasan oleh penjawat awam untuk mendapatkan pengakuan salah. Ini selaras dengan ajaran Islam yang melarang penggunaan kekerasan terhadap suspek semasa dalam proses siasatan. Namun, penyeksaan di bawah Artikel 1 ini tidak termasuk kesakitan atau penderitaan akibat daripada pengenaan hukuman yang sah di sisi undang-undang. Hukuman mati, hukuman sebat dan sebat syariah adalah hukuman yang sah di sisi undang-undang.

Artikel 16 menerangkan satu lagi aspek yang tidak sampai ke tahap penyeksaan iaitu layanan zalim tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah. Tiada definisi khusus diberikan oleh UNCAT kepada layanan zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.

Banyak pihak berpandangan bahawa sebat syariah, sebat rotan di sekolah untuk tujuan pendidikan dan sebagainya adalah termasuk di bawah terma hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Tetapi sebat syariah yang dikenakan tidak melebihi enam kali sebatan, cara sebatan diperincikan, saiz rotan juga tidak sama dengan rotan yang digunakan untuk sebat sivil.

Bagi menjaga maruah pesalah, kesemua pesalah akan berpakaian ketika sebatan dijalankan secara tertutup. Hukuman ini jauh dari konteks Artikel 16 di atas kerana ia adalah hukuman yang sah.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah & Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); dan Felow Kanan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×