Penerbitan ilmiah dan peranannya dalam dunia akademik

Penerbitan ilmiah dan peranannya dalam dunia akademik

PADA 2022, Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menganjurkan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa. – UPM/SABRI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERAKHIR ini kita mendengar perbincangan di luar ekosistem akademik, apabila sejarawan barat memberi pandangan bahawa pakar universiti tempatan menulis dengan fakta mengenai sejarah maritim Melayu yang salah dan mengelirukan.

Ada dua perkara yang diperkatakan, pertama, fakta tersebut bercanggah daripada pandangan beliau. Kedua, tulisan tersebut diterbitkan dalam jurnal yang tidak berwibawa.

Pandangan beliau sudah menjadi perdebatan awam kerana terdapat akhbar tempatan yang menjadikannya bahan berita tanpa membuat penyiasatan atau mendapat maklum balas daripada pakar tempatan terlebih dahulu.

Sebetulkan kajian dan terbitan akademik perlu diulas dan diperdebatkan dalam ekosistem ilmuwan, inilah tradisi akademik. Kebanyakan dapatan ilmiah yang baik telah melalui proses ini, antaranya, perdebatan sesama pakar dalam seminar dan persidangan.

Manuskrip penerbitan juga lazimnya disemak oleh rakan kesepakaran dan dinilai oleh penilai bebas atau editor teknikal. Penerbitan lazimnya mempunyai etika akademik yang perlu dipatuhi.

Saya tidak berminat untuk membincangkan perkara pertama tetapi lebih tertarik untuk menghurai perkara kedua iaitu jurnal tidak berwibawa. Saya pernah menjelaskan perkara ini dalam beberapa perkongsian akademik kerana merasakan agenda penerbitan ilmiah telah tersasar daripada landasan asalnya.

Agak ramai ahli akademik yang menerbit kerana ingin meningkatkan kuantiti penerbitan dan memilih jurnal yang mudah menerbit tulisannya. Tujuannya untuk memenuhi syarat bagi kenaikan pangkat! Saya berharap, isu begini sudah diberikan perhatian oleh pemimpin universiti dan penyakit ini sudah dibendung daripada terus merebak.

Dalam satu dekad ini, wujud pula isu perniagaan penerbitan. Kerana keghairahan untuk menerbit, terlalu banyak penerbit yang membangunkan strategi bagaimana mendapatkan dana melalui perniagaan penerbitan dan pada masa sama kelihatan seperti jurnal berkualiti.

Jika dahulu, menjadi satu penghormatan jika anda dapat menerbit dalam jurnal. Kini, anda perlu membayar untuk menerbit. Jutaan ringgit telah dibelanjakan oleh universiti tempatan untuk penerbitan jurnal.

Satu ketika dahulu, penerbitan diusahakan oleh persatuan keilmuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dengan jabatan atau fakulti yang mengembangkan bidang ilmu masing-masing. Kini, satu demi satu penerbitan persatuan dan jabatan berkubur dan semuanya diambil alih oleh syarikat penerbitan.

Mengapa ahli akademik perlu menerbit? Pertama ialah untuk berkongsi ilmu, terutamanya apabila berjaya meneroka ilmu baharu. Oleh itu, menerbit dalam prosiding dan jurnal adalah usaha untuk berkongsi ilmu sesama pakar bidang.

Dengan cara ini, ilmu terus berkembang dan memperkaya korpus ilmu sesuatu bidang. Perdebatan intelek amat biasa, selagi sesuatu hipotesis belum diterima sebagai teori yang mantap dan dipersetujui bersama, ia akan terus diperdebatkan.

Ahli akademik, teruta­manya pemimpin pengajaran pula, lazimnya berminat untuk menerbitkan buku teks. Ini juga penerbitan ilmiah penting untuk berkongsi ilmu dengan pelajar.

Ahli akademik tersebut membuat analisis dan sintesis dalam sesuatu bidang ilmu yang telah dikembangkan oleh ratusan sarjana dalam bidang tersebut dan beliau mempersembahkan dalam bentuk buku rujukan pelajar. Anda pasti ingat beberapa buku rujukan klasik dalam bidang yang anda pelajari.

Mengapa anda menerbit? Dan siapa sasaran anda? Perkara ini adalah satu perkara yang jarang dikupas secara tuntas. Penyelidikan ahli akademik ada konteksnya, ada yang bersifat tempatan, kebangsaan, rantauan dan global.

Kajian mengenai tanah runtuh di Lembah Kelang umpamanya, bersifat tempatan dan penerbitan hanya berfaedah untuk ahli akademik dan profesional di peringkat kebangsaan. Mengapa perlu diterbitkan dalam jurnal bersifat antarabangsa?

Lebih-lebih lagi dalam jurnal yang tidak berkaitan dengan bidang ilmu. Jika penyelidikan anda bersifat menyelesaikan isu global, barulah ia penting diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Ahli akademik sepatutnya memberikan tumpuan kepada penerbitan berkualiti atau cemerlang. Yang menentukan kecemerlangan dalam dunia akademik ialah pakar bidang berwibawa.

Sebab itu, anda perlu mengenali siapa ahli akademik berwibawa dalam bidang kepakaran anda, hantarlah manuskrip kepada mereka untuk mendapat penilaian awal. Selepas itu baharulah sesuai diterbitkan.

Kedua, menulis adalah kemahiran aras tinggi, kualiti penerbitan anda akan terus meningkat, apabila kemahiran ini diamal dan dibiasakan.

Tidak munasabah untuk kepimpinan universiti memaksa ahli akademik muda untuk menulis dalam jurnal berimpak tinggi, jika mereka belum membangun kemahiran dalam penulisan aras tinggi.

Galakkan mereka merangkak, berjalan dan barulah boleh berlari. Pastikan fakta dan analisis berkualiti tinggi.

Peranan asas ahli akademik ialah menyelidik, mengajar dan berkongsi ilmu dengan masyarakat. Penerbitan ilmiah adalah kemahiran yang perlu dikuasai dan diamalkan.

Fahami mengapa kita perlu menerbit dan siapa sasaran kita. Biarkan percambahan fikiran dan perdebatan sihat berlaku dalam sekitaran universiti, inilah tujuan utama kita beruniversiti. – UTUSAN

PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×