Jangan cuba lenyapkan alam maritim Melayu

Jangan cuba lenyapkan alam maritim Melayu

BUDAYA maritim itu budaya kita apabila ia dibuktikan dengan kesibukan laluan Selat Melaka sebagai pusat perdagangan barangan seperti rempah-ratus, sutra, keramik dan emas. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HAI enche’ juru­batu… bolehkah hamba menum­pang naik ka-geliong panjang ini? Apakah nama enche jurubatu dan siapakah yang menjadi jurumudinya. Apakah gerangan nama enche’ nakhoda geliong panjang ini?” -Hikayat Awang Sulong Merah Muda.

Bagaimanakah seorang pakar etnologi atau arkaeologi mengkaji ketamadunan sesuatu bangsa? Mereka mengkaji melalui penelitian cara hidup, sejarah, asal usul dan kesusasteraan lama, kajian tinggalan purba, seni bina serta artifak lama. Dengan cara yang sama, hikayat lama menjadi kekunci kepada cara hidup masa lampau, meninjau kehidupan seharian alam Melayu ratusan tahun dahulu.

Tersohor sejak Claudius Ptolemy melakar Chersonesus Aurea di petanya sekitar tahun kedua masihi, penemuan arkeologi Sungai Batu membuktikan kedudukan Kedah sebagai pusat peleburan besi dan pelabuhan besar, membekalkan besi qalai untuk pembuatan senjata lebih 2,000 tahun dahulu.

Berbekalkan kemahiran dalam pelayaran, perdagangan dan keilmuan laut, kerajaan Tamadun Melayu seperti Champa, Srivijaya, Majapahit, Langkasuka dan Kedah mempelopori pembentukan kerajaan maritim lama sebelum Pasai, Melaka, Patani dan Acheh. Selat Melaka menjadi laluan selat tersibuk seluruh dunia kerana merupakan pusat perdagangan barangan seperti rempah-ratus, sutra, keramik dan emas.
Justeru, sudah tentu budaya maritim itu budaya kita. Kita selami bukti yang ditinggalkan melalui hikayat lama.

HIKAYAT, PENINGGALAN SEJARAH
Bangsa yang budayanya sebati dengan alam lautan sudah tentu menggunakan bahasa yang kaya dengan perkataan berunsurkan laut. Ini jelas terlihat dalam seni, budaya dan kesusasteraan Melayu. Contohnya, seni ukir Melayu indah menghias perahu dan kapal-kapal Melayu serta kepakaran menggunakan kayu dan besi. Dalam lenggok bahasa, kita temui perkakas dan hiasan kapal seperti bangau, okok dan caping, teropong emas serta peti besi.

Dari kisah hikayat, kapal seperti Bunga Rampai Layangan Angin, Mendam Berahi dan Cakra Dunia dari Acheh mewarnai kisah pelayaran alam Melayu. Para pelaut yang ulung, belayar jauh ke China, Mesir, Mekah dan Istanbul. Kisah Laksamana Hang Tuah, Hang Nadim dan Sang Nila Utama terpahat dalam Sulalatus Salatin. Hikayat Hang Tuah diangkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Laksamana Keumalahayati dari Acheh turut mendapat pengiktirafan pertubuhan itu sebagai laksamana wanita pertama dunia.

Penyelidikan hikayat membongkar kehidupan zaman tori di Kepulauan Melayu. Ini tidak terhad kepada hikayat, pantun, syair dan gurindam serta seni budaya seperti Makyung yang mendedahkan cara hidup yang sangat berhubung kait dengan laut. Contohnya, pantun klasik ini:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Utang emas boleh dibayar,
Utang budi dibawa mati.

atau

Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.

atau

Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

Apabila kita memberi perhatian kepada bahasa, kita menyedari naratif dan perbendaharaan kata adalah seperti kapsul masa dari masa silam.

Contohnya, Hikayat Awang Sulung Merah Muda sarat dengan kegiatan alam Melayu. Ketika sepupu baginda puteri Dayang Nuramah bersiap-siap untuk belayar di laut, semua anak-anak kapal terdiri kesemuanya dari wanita dan gadis remaja.

“Himpunkanlah anak-anak dara datang mengadap ke istana.”

Lalu bertitah Datok Batin Alam kepada Bujang Selamat, “Pergilah kau panggil mualim, jurubatu, jurumudi sekeliannya suruh siapkan kakap Bunga Rampai Layangan Angin itu serta alat senjata, alat peperangan.”

Maka Selamat pun bermohon pergi mendapatkan mualim, jurumudi, jurubatu sekeliannya. Maka segeralah jurumudi menggerakkan sekelian hulu balang memuatkan obat bedil peluru serta menyiapkan Meriam senapang apa yang kurang disuruh ditambahi.”

“Tinggal sekelian anak dara, ada yang menjadi mualim, jurumudi, jurubatu masing masing dengan jawatannya. Maka kakap (perahu) pun belayar.”

Jauh di laut, ternampak pula geliong panjang kepunyaan puteri Jawa, Puteri Dayang Seri Jawa. Kedua-dua kapal menaikkan bendera kuning dan Puteri Dayang Nuramah menaiki geliong. Dia disambut dengan sireh dan bertukar pantun – persembahan berbudi bahasa dalam kalangan puteri bangsawan.

Inilah kisah dua puteri dunia Melayu berani mengharungi lautan selain menggunakan senjata api dan meriam serta menjaga adab di laut.

Satu lagi contoh dari Syair Siti Zubaidah apabila kapal Sultan, Fathu’l-Zaman disiapkan belayar.

Kapal pun sudah lalu diturunkan
Tali menali sekelian dikenakan
Kamar beranda sekelian dihiaskan
Tunggul bendera Sudan dinaikkan
Turunlah ribut bukan kepalang
Langit pun hitam sepeti arang
Seperti bukit rupa gelombang
Tubuh kapal sepertikan hilang

Kapal dan kici semua berlanggaran, gemuruh bunyi tidak ketahuan.

Ini adalah gambaran yang diberikan oleh mereka yang pernah menghadapi mala-petaka di laut.

KEARIFAN LOKAL
Sebelum menutup bicara kehebatan ilmu perkapalan alam Melayu, kita kaji kebolehan pertukangan masyarakat Melayu dan sumber alam yang ada. Orang Melayu mahir dalam seni bina istana, masjid, balai, perahu, gambang dan pertukangan kayu. Hutan rimba tropikal pula mempunyai segala keperluan pelbagai kayu, rotan dan daun.

Perahu besar menggunakan kayu cengal yang didapati dengan meluas di Kepulauan Melayu terutamanya Semenanjung. Selain kayu, kulit gelam digunakan sebagai penebat air daripada memasuki ke dalam perahu. Buluh digunakan sebagai tiang dan pembentuk layar dan atap perahu besar. Daun nipah, sebagai atap dalam seni bina Melayu.

Begitu banyak lagi rahsia ilmu pelayaran orang Melayu, dari bacaan bintang di langit, ombak di laut dan pemerhatian awan dan ribut taufan serta musim tengkujuh dan pertukaran angin. Yang pentingnya, ilmu ini telah lama diwarisi masyarakat Melayu.

HIKAYAT DAN HUKUM KANUN MELAKA
Kisah Enrique of Melaka atau Panglima Awang, membayangkan manusia pertama mengelilingi dunia dikaji oleh cendekiawan serata dunia. Pameran Enrique de Malacca Memorial Project oleh Ahmad Fuad Osman di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ditaja dan diberi penghargaan oleh Sharjah Art Foundation.

Dengan itu, apabila hukum kanun atau undang-undang Alam Melayu memiliki hukum khas perundangan di laut, ini mencerminkan betapa pentingnya kehidupan berlandaskan budaya masyarakat maritim.
Pada 2014, di pameran Antarabangsa Perpustakaan Negara, saya difahamkan manuskrip Hukum Kanun Melaka tertua tersimpan di Perpustakaan Vatican City. Menurut Dr. Liaw Yock Fang, manuskrip itu ialah Vatican Ind. IV Malakaans Wetboek van Zeerecht (Undang-Undang Laut). Menurutnya lagi, naskhah yang tersimpan di Vatican City sejak awal kurun ke-17 ini adalah naskah Undang-undang Melaka yang terbaik.

Yang patut dikaji, kenapakah manuskrip Undang-undang Laut ini tersimpan rapi di Vatican City?

Kepakaran Melayu dalam bidang maritim bukan hanya asas ketamadunan Melayu, ia memberi pemahaman meluas sejarah perdagangan, pertukaran pengetahuan dan asas budaya Melayu.

Melalui pengetahuan maritim yang kita miliki, orang Melayu mengembangkan keberadaan bangsa dan pengaruh sebagai salah satu tamadun dunia yang penting.

Melalui hikayat, kita melihat ke dalam kekayaan pemikiran orang Melayu dan jati diri yang begitu berwibawa ratusan tahun dahulu untuk melihat bagaimana kearifan dan kebijaksanaan lama mencetuskan kebanggaan anak bangsa mengenali dunia sebenar Melayu.-UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati sosiobudaya dan penulis bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×