Revolusi Mesir pada awal 2011 menzahirkan luahan perasaan rakyat yang terhimpit oleh suasana kehidupan mereka zaman itu.
Protes rakyat Mesir waktu itu fokus sekitar isu politik dan perundangan, termasuklah kekejaman polis, undang-undang darurat, kekangan terhadap kebebasan politik, kebebasan pergerakan rakyat, kebebasan bersuara, rasuah, dan kebejatan ekonomi yang mengakibatkan pengangguran yang tinggi, inflasi dan upah yang murah.
Revolusi tersebut berlaku dalam bentuk demonstrasi, perbarisan rakyat, menduduki tempat-tempat niaga, pengingkaran sivil aman dan hartal. Revolusi sedemikian telah berlaku beberapa bulan lebih awal di Tunisia, yang meninggalkan kesan perubahan pemimpin utama kedua-dua negara tersebut.
Walaupun pengkaji merumuskan revolusi tersebut adalah reaksi rakyat Mesir kepada kebejatan suasana politik dan kebebasan yang terancam, namun tidak dapat dinafikan ia telah disemarakkan oleh suasana ekonomi yang mencengkam.
Malaysia pada waktu itu tidak terkesan, namun usaha-usaha ke arah itu telah bermula sekitar 2005 dengan gerakan serupa oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Sebagai menangani kekacauan serupa pada 1969, yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei, Malaysia perkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam Rancangan Malaysia Kedua dengan matlamat utama perpaduan nasional. Matlamat ini hendak dicapai melalui pembasmian kemiskinan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Malaysia harus bersyukur dengan pelaksanaan DEB bermula 1972, satu polisi pertama seumpamanya di dunia dalam usaha penyusunan semula masyarakat sesebuah negara melalui program ekonomi.
Sungguhpun DEB gagal mencapai matlamat utamanya, namun, ia tetap memberi kesan besar dalam usaha pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Paling ketara adalah peningkatan pendidikan dalam kalangan kaum Bumiputera, yang berkait amat rapat dengan peluang pembaikan status ekonomi mereka.
Malah saya bersetuju dengan beberapa orang pengkaji politik yang berpendapat Malaysia terselamat daripada kekacauan sewaktu mencengkam Mesir dan Tunisia kerana pada ketika itu rakyatnya masih mampu meletakkan makanan atas meja.
Prinsip utama yang menjadi asas kepada tindakan ekonomi DEB adalah ‘membesarkan kek ekonomi’, dan bukan hanya berebut kek sedia ada.
DEB berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada 1990 berbanding 49.3 peratus pada 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus turun ke tahap 0.6 peratus.
Ketika DEB mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras 64.8 peratus. Profesional Melayu ketika itu hanya 4.9 peratus (225 orang) berbanding bukan Melayu, 84.3 peratus (3,859 orang).
Beberapa hari lepas, pada 14 Februari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) masih menekankan masalah yang dihadapi oleh Bumiputera tetapi pendekatannya adalah selaras dengan negara madani yang harus lebih inklusif, antaranya meneruskan program pembasmian miskin tegar tanpa mengira kaum.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula antaranya menyatakan pendekatan atau strateginya adalah mencari cara bagaimana hendak membesarkan kek ekonomi dan bagaimana pula hendak memotongnya, yang pada kefahaman saya bermaksud bagaimana kek ekonomi tersebut hendak dibahagikan.
Pada 2010, China yang melalui fasa perkembangan ekonomi pesat selama 30 tahun telah meningkatkan taraf hidup rakyat namun telah mewujudkan jurang ekonomi yang terlalu besar dalam kalangan rakyatnya, dan masalah kemasyarakatan yang berkaitan turut meningkat.
Perbahasan dalam mencari penyelesaian ke atas masalah tersebut termasuklah perbincangan mengenai ‘kek ekonomi’ yang harus dibesarkan dan dibahagikan secara lebih adil demi mengurangkan konflik dalam masyarakat.
Perbahasan di China sekitar tahun 2010 hingga 2011 itu mirip perbahasan di Malaysia awal 1970-an. Fokusnya, adakah pembesaran kek ekonomi mampu melahirkan negara makmur, sekiranya tidak dilaksana dengan adil oleh pengurus ekonomi yang adil dan berintegriti.
Menoleh ke belakang, kita sebenarnya sudah berada pada landasan terbaik dengan pelaksanaan DEB pada 1972, namun, beberapa kelemahan telah membantutkan tunas kejayaan idea asas Allahyarham Tun Abdul Razak yang dijana oleh pakar ekonomi, khususnya Tan Sri Dr. Just Faaland yang dibantu oleh Dr. Rais Saniman.
Antara kelemahannya adalah ramai Bumiputera yang diberi bantuan tidak mempunyai pendidikan dan pengalaman yang cukup untuk mengurus peluang pendanaan mereka serta kurangnya keadilan dalam pengagihan peluang-peluang besar.
Salah guna peluang DEB yang membesarkan kek ekonomi pula telah melahirkan sebilangan Bumiputera yang amat kaya dan lebih ramai bukan Bumiputera yang lebih kaya, namun saya percaya keadaan akan lebih baik dan makmur sekiranya pembahagian peluang boleh dibuat secara jauh lebih adil.
PELUANG
Sekiranya Kerajaan Madani mahu hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) benar-benar membina Malaysia Madani yang makmur, fokus hendaklah diberikan kepada keadilan pengagihan peluang, yang membawa implikasi antaranya mengawal kartel-kartel yang bermaharajalela, sama ada dalam sektor pertanian, perladangan atau perusahaan.
Usaha besar akan gagal dalam ketiadaan penyampaian yang adil dan saksama. Adil dan saksama bukan bererti memberi peluang hanya kepada golongan yang mampu mengguna peluang tersebut atau sama rata tetapi ia bermaksud pembahagian yang akan merealisasikan matlamat utama negara, iaitu membina masyarakat sejahtera sosial, sejahtera politik dan sejahtera ekonomi.
Saya percaya, kejayaan pelaksanaan hasil KEB2024 amat bergantung kepada pengurusan dan pentadbiran yang berpaksi kepada keadilan yang hanya boleh disampaikan oleh mereka yang berintegriti.
Semoga hasil KEB 2024 mampu menjana Malaysia sebagai negara madani yang makmur, khususnya masyarakat Melayu Islam dan seterusnya.-UTUSAN
Dr. Mohd Fauzi Shaffie ialah Penganalisis Politik.










