SEDAR atau tidak, pelbagai pendekatan dan peringatan dilakukan oleh pihak berkuasa ataupun institusi perbankan mengenai aktiviti penipuan atau scammer. Tidak hanya terhad menggunakan medium media massa, sebaran juga begitu rancak dilakukan di platform media sosial.
Ceritanya tetap sama, masih ada lagi yang tertipu dan lebih memeranjatkan mangsa yang terjerat bukan hanya warga emas, namun kelompok profesional seperti jurutera dan doktor yang bagaikan dipukau hingga sanggup melakukan transaksi bernilai jutaan ringgit tanpa syak wasangka.
Bayangkan, baru enam minggu memasuki tahun 2024, jumlah kes penipuan komersial meningkat 34.3 peratus kepada 4,741 kes dengan jumlah kerugian melonjak 207.6 peratus atau RM558.6 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 3,530 kes direkodkan membabitkan kerugian RM181.6 juta.
Mangsa memberikan alasan ‘dipukau’ dengan tawaran yang diberikan oleh individu tertentu dan hanya setelah melakukan beberapa pemindahan wang kepada suatu akaun, baharulah mereka tersedar telah ditipu.
Jika dilihat modus operandi digunakan oleh sindiket penipuan tidak banyak yang berubah, masih dengan cara menghubungi menerusi panggilan telefon atau mengumpan di media sosial seperti Facebook.
Tidak tahu di mana silapnya, masih ada mangsa yang menyerahkan wang simpanan mereka, malah sampai ke tahap terpaksa berhutang.
Dalam hal ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, masalah besar adalah kurang kepekaan serta kurang perasaan skeptis dalam kalangan masyarakat.
Keadaan ini yang menyebabkan mangsa-mangsa ini begitu mudah ditipu (gullibe) selain didorong perasaan tamak dan menjangka dapat pulangan besar dalam masa singkat.
“Ini sikap yang sangat mengecewakan. Kita memang ada sistem mengekang kegiatan penipuan iaitu dengan pendekatan preventif dan juga pendekatan reaktif.
“Dari sudut preventif, sepanjang tahun kita adakan ribuan sesi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat. Umpamanya, bagi 2023, kita (polis) adakan pertemuan town hall, pameran, kempen dengan masyarakat bagi meuar-uarkan modus operandi baharu sindiket penipuan agar mereka tidak menjadi mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ramli berkata, pihak polis tidak pernah mendiamkan diri dalam isu penipuan ini malah mereka akan menjalankan siasatan atau reaktif ke atas semua kes penipuan yang dilaporkan.
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC) dengan gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) ; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) khas menangani mangsa penipuan.
NSRC
NSRC akan memfokuskan kepada penipuan kewangan dalam talian, termasuk penipuan pancingan data, penipuan Macau, penipuan serangan perisian hasad, penipuan bungkusan dan ‘love scam’.
Menerusi NSRC, mereka yang menjadi mangsa penipuan, boleh bertindak segera menghubungi pusat panggilan ini di talian 997, yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, termasuk cuti umum agar sekatan dibuat terhadap akaun mereka.
“Sekiranya menyedari berlakunya transaksi yang tidak dibenarkan atau tidak disedari dalam akaun bank, segera hubungi hotline bank anda yang beroperasi 24 jam setiap hari atau NSRC untuk membantu mengurangkan kerugian yang dialami kerana sekatan dilakukan.
“Walaupun tiada jaminan bahawa wang milik mangsa dapat dikembalikan, sekurangnya, tindakan pantas boleh membantu meminimumkan kerugian.
“Sebab itu, penting untuk mengetahui jenis penipuan di sekeliling kita dan segera melaporkannya jika berlaku,” jelas beliau.
Untuk rekod, jenayah penipuan dalam talian mencatatkan sebanyak 125,387 kes dengan nilai kerugian yang dialami mangsa berjumlah lebih RM4.1 bilion dalam tempoh sejak lima tahun lalu sehingga 2023.
Rekod menunjukkan purata jenayah penipuan dalam talian yang dicatatkan tempoh itu dianggarkan lebih 68 kes sehari.
Lebih mengejutkan dianggarkan sebanyak dua kes dalam setiap jam membabitkan jenayah ini dalam tempoh lima tahun ini.
Berdasarkan statistik ini, 2023 mencatatkan kadar kerugian paling tinggi iaitu sebanyak RM1.2 bilion.
Statistik sama juga menunjukkan jenayah pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian tertinggi bagi tahun lalu iaitu melibatkan kerugian lebih RM472 juta.
Ia diikuti jenayah telekomunikasi membabitkan kerugian hampir RM353 juta sementara jenayah e-dagang (lebih RM204 juta).
Jenayah e-kewangan pula membabitkan kerugian sebanyak lebih RM105 juta diikuti jenayah love scam yang libatkan kerugian sebanyak hampir RM44 juta dan pinjaman tidak wujud pula hampir melibatkan kerugian RM41 juta.
Siasatan JSJK juga mendapati kategori umur 21 hingga 30 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa penipuan dengan bilangan sebanyak 10,360 orang.
Kategori umur 15 hingga 20 tahun pula mencatatkan jumlah 2,012 orang diikuti kategori umur 31 hingga 40 tahun (9,264 orang), 41 hingga 50 tahun (6,138 orang), 56 hingga 60 tahun (4,036 orang) dan umur 61 tahun ke atas seramai 2,685 orang.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










