PENTAS Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M (MTHQK) terus berperanan sebagai wahana penting dalam memperkukuh syiar Islam serta menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran edisi tahun ini menyaksikan Terengganu sebagai tuan rumah, dengan acara berlangsung selama enam hari bermula 13 hingga 18 April 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak.
Bertemakan ‘Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi’, penganjuran ini menzahirkan kesinambungan usaha memperkasa warisan al-Quran sebagai panduan hidup yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Hakikatnya, pertandingan tilawah al-Quran yang dianjurkan secara konsisten setiap tahun bukan sekadar memenuhi tuntutan tradisi atau ritual keagamaan. Sebaliknya, ia membawa agenda besar untuk menghidupkan kembali interaksi umat Islam dengan kitab suci yang menjadi sumber hidayah sepanjang zaman.
Melalui penghayatan bacaan yang tartil, pemahaman yang mendalam serta pengamalan yang menyeluruh, program ini berperanan membentuk sahsiah individu dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan tamadun masyarakat yang berteraskan nilai-nilai al-Quran.
Al-Quran adalah pedoman hidup umat Islam yang wajib dihormati, dipelajari dan diamalkan. Tanggungjawab terhadap al-Quran bukan hanya terbatas pada bacaan, tetapi mencakup seluruh aspek kehidupan.
Terdapat beberapa tanggungjawab manusia terhadap al-Quran yang perlu diambil perhatian untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian.
Pertama, membaca al-Quran dengan benar dan konsisten. Al-Quran perlu dibaca dengan memperhatikan hukum tajwid dan tartil (perlahan-lahan) supaya terhindar kesalahan bacaan yang boleh mengubah makna (qalb al-ma’na).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bacalah al-Quran dengan perlahan dan jelas”. (Surah al-Muzzammil: 4)
Seterusnya, al-Quran perlu dibaca dengan konsisten (dawam) serta menetapkan sasaran seperti membaca satu juzuk sehari atau menghadiri majlis tadarus dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya”. (Riwayat Muslim)
Kedua, mempelajari, memahami dan mengajar al-Quran. Kewajiban mempelajari dan memahami al-Quran sangat penting supaya mendapat keberkatan dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka merenungi ayat-ayatnya”. (Surah Sad: 29)
Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. (Riwayat al-Bukhari)
Ketiga, mengamalkan ajaran dan isi kandungan al-Quran serta sebagai pedoman hidup dalam pelbagai aspek kehidupan. Contohnya dalam konteks peribadi, menjalankan perintah ibadah (solat, zakat, puasa) dan menjauhi larangan (riba, zina, ghibah).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukulah beserta orang-orang yang ruku”. (Surah al-Baqarah: 43)
Seterusnya, contoh dalam konteks sosial pula mengamalkan ayat tentang keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”. (Surah al-Nahl: 90)
Keempat, mempertahankan kesucian al-Quran. Menolak tafsiran sesat dan menentang ideologi yang memutar belitkan makna al-Quran untuk kepentingan politik, liberalisme atau sekularisme. Contohnya gerakan liberal yang menolak hukum hudud.
Allah SWT mengancam orang yang mengubah firman-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka celakalah orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka katakan “Ini dari Allah”. (Surah al-Baqarah: 79)
Seterusnya menjaga mushaf dari penodaan dengan cara tidak meletakkan al-Quran di tempat rendah atau kotor. Menghormati mushaf yang rosak dengan cara membakar, mengubur atau melupuskan dengan baik.
Kelima, berdialog dengan al-Quran dalam setiap situasi. Contohnya ketika dalam keadaan mencari solusi masalah hendaklah merujuk al-Quran dalam menghadapi ujian dengan membaca zikir dan doa Nabi Yunus AS saat kesulitan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”. (Surah al-Anbiya: 87)
Seterusnya, dalam mencari sumber motivasi boleh mengambil semangat dari kisah ketabahan Nabi Yusuf AS, kesabaran Nabi Ayyub AS atau keberanian Nabi Musa AS dalam menyahut cabaran dalam kehidupan.
Hakikat penganjuran MTHQK melangkaui sekadar penilaian terhadap kemerduan suara atau keindahan tarannum. Acara ini berfungsi sebagai wahana kesedaran yang menghidupkan kembali hubungan manusia dengan al-Quran sebagai sumber petunjuk utama.

BENTUK MASYARAKAT BERTAMADUN
Pembacaan secara sahih yang disertai penghayatan makna serta amalan tadabbur dalam kehidupan seharian menjadikan tilawah sebagai medium pembinaan insan bertakwa. Proses ini seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat beradab dan bertamadun berteraskan nilai wahyu.
Jaminan keberkatan terhadap golongan yang berpegang teguh kepada al-Quran ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan inilah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, penuh keberkatan, maka ikutilah ia dan bertakwalah agar kamu mendapat Rahmat.” (Surah al-An‘am: 155).
Harapan dizahirkan agar penganjuran ini terus menjadi wasilah memperkukuh kekuatan umat serta menzahirkan keindahan Islam di Malaysia. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) & Pakar Rujuk di Bahagian Zakat Sedekah Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.










