HARI ini semakin ramai yang mahu menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan pelbagai fokus berbeza sama ada berminat dalam isu tertentu atau untuk membantu masyarakat.
Malah, bantuan untuk menjalankan aktiviti pertubuhan lebih mudah dengan saluran dana sama ada daripada kerajaan, pihak swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) atau parti politik. Bahkan NGO lebih terbuka untuk memberi pandangan atau kritikan selain berperanan sebagai semak dan imbang.
Mengikut kajian Sejarah dan Perkembangan NGO di Malaysia oleh Makmor Tumin dan Rubi Nurhadi menjelaskan NGO di negara ini mula dikesan dengan penubuhan beberapa persatuan di Tanah Melayu sejurus selepas penubuhan negeri-negeri selat pada 1826, khasnya persatuan Cina sekali gus membuka pintu Tanah Melayu kepada penghijrahan masuk lebih ramai masyarakat pelbagai etnik terutama Cina, India dan bangsa Eropah.
Ini membawa kepada penubuhan pelbagai kumpulan atau persatuan yang bertujuan menjaga kepentingan, kebajikan dan menyediakan perkhidmatan kepada ahli-ahlinya.
Hanya pada dua dekad terakhir abad ke-20, NGO mula memainkan peranan di arena politik di kebanyakan negara walaupun pada peringkat awal kewujudannya lebih berfungsi dalam hal kebajikan masyarakat.
Dalam tempoh 10 tahun sahaja iaitu antara 1987 hingga 1997, terdapat pelbagai kajian empiris mengenai NGO dilakukan. Seiring dengan itu juga, pelbagai isu masyarakat yang kompleks seperti kepenggunaan, wanita, alam sekitar dan hak asasi mula diungkap dan diketengahkan kepada kerajaan dan masyarakat di kebanyakkan negara.
Mengikut statistik terkini Jabatan pendaftaran Pertubuhan (RoS) terdapat sebanyak 83,968 pertubuhan aktif bagi tujuan memenuhi pelbagai keperluan rakyat.
Namun, RoS pada September tahun lalu membatalkan pendaftaran lebih 3,000 pertubuhan dan persatuan setelah hasil siasatan mendapati mereka tidak aktif dan timbul pertikaian apabila ada antaranya melanggar perlembagaan yang telah diluluskan melalui program pemutihan yang dilaksanakan sejak 2021.
Untuk menubuhkan NGO, seseorang itu perlu memiliki pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan bukan hanya sekadar ‘nampak cantik’ pada kertas kerja tetapi gagal dalam cara pelaksanaan. Kita juga tidak mahu mendengar atau melihat mana-mana NGO yang ‘kantoi’ menubuhkan persatuan sekadar mahukan peruntukan dari kerajaan atau untuk aktiviti yang salah.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican yang juga merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengakui banyak juga NGO tidak aktif ketika ini asbab tidak menerima geran bantuan daripada kerajaan.
“Memang benar, sedangkan sepanjang saya bergerak aktif dalam NGO Antarabangsa dan luar negeri sejak 1999, banyak NGO yang ditubuhkan sama ada yayasan, persatuan atau lain-lain pertubuhan didaftarkan tetapi banyak juga yang tidak aktif.
“Ini kerana ada yang bergerak dengan mencari dana sendiri bagi tujuan murni membantu masyarakat yang terkesan oleh bencana atau faktor kemiskinan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengalaman berharga Mustapha bermula ketika menyertai kerajaan pada 1979 dan dihantar bertugas di Sibu, Sarawak ketika zaman komunis. Beliau yang ketika itu berusia 19 tahun aktif dalam persatuan di Seberkas selain aktif menulis sajak dan ia diterbitkan dalam akhbar Borneo Post dan Coretan Rasa pula disiarkan dalam Radio RTM Sibu dan Kuching.
Beliau menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Penulisan Kreatif pada 1983 sebelum menjadi wartawan pertahanan dan pegawai perhubungan awam Tentera Laut pada 1991.
Beliau juga merupakan antara penulis awal dalam ruangan Bicara Tentera terbitan Utusan Malaysia. Mustapha turut menerima beberapa penghargaan dan anugerah yang tertinggi apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di UMT.
Terlibat dalam NGO memerlukan pengorbanan besar selain perlu memiliki tahap kesabaran yang tinggi serta bijak berdiplomasi kerana melibatkan negara lain dan perlu berdepan masyarakat yang berbeza pegangan agama.
“Semasa di Wisma Putra, banyak benda saya lihat di dunia luar, antaranya kemiskinan yang teruk, penindasan, ketidakadilan berlaku kerana peperangan sesama Islam dan kaum di Somalia dan beberapa negara Islam lain antaranya Bosnia.
“Banyak dugaan sehingga nak ditembak. Ini pengalaman saya yang tiada di mana-mana buku.
“Saya turut terlibat membantu rakyat di Kemboja, sebuah negara kaya dengan sumber alam seperti emas tetapi rakyatnya tiada amalan agama. Projek pertama saya di negara itu membina perigi, menghantar al-Quran dan Muqaddam. Saya pernah ditahan kerana mereka ingat saya membawa risalah politik dalam bahasa Jawi, lalu saya perlu terangkan ia (al-Quran dan Muqaddam) adalah untuk orang Islam.
“Di sana orang Islam sangat daif, tiada pelajaran dan membuat kerja-kerja kampung. Jadi saya membina enam buah masjid, 10 buah surau, tiga buah sekolah agama, bina satu tanah perkuburan Islam, membina jalan-jalan kampung menuju ke masjid, membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan mualaf serta membina 4,001 buah perigi.
“Apabila siap (projek), saya isytihar dengan kerajaan bagi membolehkan kerajaan mereka membayar gaji ustaz dan mencadangkan satu atau dua nama guru, selainnya kerajaan negara itu yang akan sediakan,” ujarnya.
Dalam masa sama Mustapha mewujudkan restoran, kedai runcit dan kedai telefon supaya penduduk boleh menjana ekonomi sementara sebahagian tanah dibuat padang bola bagi membolehkan kanak-kanak bermain.
BUKAN SELEPAS PENCEN
Beliau tanpa bersembunyi menyatakan untuk terlibat dalam persatuan, ia bukan bermula selepas pencen sebaliknya perlu bermula jauh lebih awal, bercampur gaul dengan pelbagai peringkat masyarakat selain perlu terlibat dengan banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Justeru dalam memastikan NGO di negara ini benar-benar aktif dan berfokus, Mustapha mencadangkan agar kerajaan perhalusi dengan lebih teliti syarat-syarat penubuhan NGO kerana ada pertubuhan yang di tubuhkan bertujuan untuk mendapat derma dari orang ramai atau dari syarikat korporat, bukan sekadar untuk mencapai objektif mereka sahaja. Ada pula aktiviti bantuan tidak sampai kepada sasaran.
“Ini yang mendukacita kerana boleh merosakkan imej NGO lain yang benar benar ikhlas membuat kerja kebajikan tanpa mengharap balasan.
“Pemimpin NGO mesti mempunyai pengalaman dan ilmu pengetahuan yang mencukupi kerana mereka berhadapan dengan pelbagai isu masyarakat. Cabaran lagi besar bila terlibat di peringkat antarabangsa,” jelas beliau.
Oleh itu, RoS perlu membuat penyemakan dengan teliti sebelum meluluskan mana-mana NGO baharu khususnya melihat dari segi pemimpin. Mereka harus bebas dari kes mahkamah dan jenayah.
Sebaik-baiknya juga pemimpin mesti bebas daripada terbabit secara langsung dalam mana-mana pertubuhan politik kerana bantuan yang disampaikan mestilah adil dan telus kepada golongan sasaran. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










