Usah segan cari ‘permata’ tersembunyi di Perlis

Usah segan cari ‘permata’ tersembunyi di Perlis

PELANCONG gastronomi lebih mengutamakan pengalaman sambil menikmati makanan dan minuman semasa melancong di sesuatu kawasan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 6 Disember lalu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025. Tempoh dua tahun berkenaan diangkat menjadi Tahun Melawat Perlis bagi menarik seramai mungkin pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri yang sedang meningkat namanya dari aspek pelancongan.

Dalam majlis berkenaan, baginda bertitah, Perlis mempunyai keunikan bentuk muka bumi, landskap menarik, tarikan alam semula jadi dan sempadan yang memisahkan Malaysia-Thailand sebagai faktor tarikan utama. Selain itu, Perlis turut diberi pengiktirafan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan sebagai Perlis Geopark pada November baru-baru ini setelah penilaian dilaksanakan terhadap 23 lokasi serta lapan biotapak dan 12 lokasi budaya di Perlis.

PELANCONGAN GASTRONOMI

Selain ekopelancongan, pelancongan gastronomi antara potensi industri terpendam sedang meningkat naik. Berdasarkan kajian diterbitkan, pelancong gastronomi lebih mengutamakan pengalaman sambil menikmati makanan/minuman semasa melancong di sesuatu kawasan.

Pelancong ini biasanya akan tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak berbanding pelancong lain. Hasil kajian lain pula mendapati 50 peratus golongan berkenaan melabel diri mereka sebagai foodie (penggemar makanan); 52 peratus lebih berminat menghadiri pesta makanan berbanding konsert muzikal; dan 44 peratus pernah memuat naik pengalaman menikmati makanan dan minuman di media sosial. Ini membuktikan terdapat potensi tinggi bagi industri pelancongan ini untuk berkembang dengan pesat.

Sektor pelancongan gastronomi mempunyai potensi sangat luas untuk dikembangkan melalui kaedah mouth to mouth marketing terutama melalui media sosial. Justeru, ia mempunyai kos promosi lebih rendah secara keseluruhan dan efektif berbanding medium promosi lain.

Sektor ini dijangka terus berkembang susulan ‘pendedahan’ diberikan pempengaruh yang sering kali mencari bahan bagi dimuat naik di media sosial masing-masing. Malah keperluan pelancong kategori seperti ekopelancongan, pelancongan kesihatan dan lain-lain turut mempunyai hubungan terhadap industri makanan dan minuman.

Hari ini didapati kuasa membeli rakyat Perlis meningkat berbanding sebelum pandemik lalu. Ini terbukti apabila terdapat banyak restoran, kafe hipster dan gerai muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan yang menawarkan pelbagai jenis makanan dengan harga sangat kompetitif berbanding tempat lain.

Saingan pengusaha makanan hanya tertumpu dalam kalangan peniaga kecil berbanding persaingan syarikat-syarikat francais. Dengan bilangan penduduk sekitar 300,000 orang, dijangka agak sukar syarikat francais hendak berkembang dan mengukuhkan perniagaan kerana faktor harga ditambah sentimen anti-Israel ketika ini.

Pelancong gastronomi lebih menghargai pengalaman dan gemar menikmati makanan serta minuman disediakan secara tradisi oleh pengusaha-pengusaha berkenaan.

KEPELBAGAIAN MAKANAN

Ramai pengusaha di Perlis ketika ini menawarkan menu tradisional seperti pek nga, ringgi atau emping, pulut ikan masin, pulut mempelam, laksa dan masakan tradisi Melayu lain. Keunikan menu makanan tengah hari pula diserlahkan dengan pekasam, gulai daging umbut pisang, perut lilit bakar, gulai keladi asam, gulai rebung daging, gulai itik, ikan bakar dan pelbagai lagi juadah yang dihidangkan panas-panas. Ini ditambah ulam-ulaman segar bersama sambal belacan dijamin menggamit selera setiap pengunjung.

Perlis juga mempunyai identiti rasa nasi kandar tersendiri berbanding nasi kandar terkenal di Pulau Pinang. Namun, terdapat hanya empat, lima lokasi di sekitar Kangar yang menjadi tumpuan peminat nasi kandar dari pagi hingga ke malam.

Contohnya, Nasi Kandar Belakang Pasar, Hameed Nasi Kandar Beratur, Fatimah Nasi Kandar, Nasi Kandar Nasir dan beberapa pengusaha lain yang hanya dibuka bagi tempoh terhad.

Kedudukan berhampiran sempadan negara turut mempengaruhi pengusaha makanan tempatan menyediakan masakan popular Thailand dengan kualiti rasa terbaik seperti tom yam, miam pla plo, somtam, sup Siam, daging bakar. Hasil laut segar yang mudah didapati turut menjadi penyebab utama kualiti rasa yang baik untuk restoran di sekitar Kuala Perlis dan Kangar.

Jika di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang terkenal dengan ikan bakar petai, di Perlis pula ikan bakar santan. Keunikan makanan laut ini terbukti dengan menu seperti kerabu belangkas ditambah tibanya musim mentarang (sejenis siput) yang hanya boleh didapati pada waktu dan tempat tertentu, salah satunya Kuala Perlis.

Bagi penggemar kopi, terdapat banyak kafe hipster di sekitar Kangar yang menawarkan suasana menarik. Walaupun hampir semua kafe ini menyediakan jenis kopi yang sama, hidangan-hidangan sampingan lain adalah berbeza. Ada pengusaha menyediakan hidangan pastri, masakan Barat mahupun kombinasi makanan tempatan. Antara kafe yang menawarkan suasana berbeza adalah Ruyung, Ngopi, Block Café, Koffee Kitchen dan Kopi Kebun.

HARGA, LOKASI MENARIK

Percaya atau tidak, di Perlis anda masih boleh menikmati sarapan pagi lengkap dengan minuman pada harga serendah RM4. Jadi, sekiranya melancong ke Perlis, janganlah segan untuk membeli di gerai kecil diusahakan masyarakat setempat pada awal pagi. Dengan rasa juadah yang sedap, anda akan dapati harga dijual amat berpatutan.

Persaingan sihat mewujudkan keunikan pada setiap produk diperkenalkan pengusaha-pengusaha makanan baharu. Bukan sahaja dari aspek menu, lokasi dan hiasan dalaman yang instagramable menjadi faktor utama untuk menarik pelancong menikmati hidangan mereka di premis masing-masing. Ketika ini memang sentiasa tular dalam media sosial berkaitan lokasi-lokasi menikmati hidangan sambil menghirup udara segar di tepian sawah. Contohnya di Arau Kopi, Teratak Bonda, Warung Tepi Sawah dan banyak lagi. Pengunjung juga boleh menikmati sarapan pagi di Dusun Nakawan yang terletak di pesisir Banjaran Nakawan ataupun menikmati makan malam berlatar belakang persisir laut mahupun tepian sungai di Kuala Perlis.

‘PERMATA’ YANG TERSEMBUNYI

Turut tidak dilupakan sepertimana lokasi-lokasi lain, masih terdapat beberapa pengusaha kecil yang sengaja ‘disembunyikan’ daripada pengetahuan luar. Berdasarkan maklumat penduduk setempat, tempat berkenaan sengaja tidak ditularkan bagi mengelak kesesakan pengunjung dan jualan habis terlalu awal memandangkan kebanyakan peniaga di sini mengamalkan perniagaan sara diri. Antaranya Capati Kambing Bukit Keteri, Ain Nasi Dalca, Mee Goreng Hussin, Warung Band Dan serta banyak lagi.

Jadi, sekiranya melancong ke Perlis, jangan segan silu untuk bertanya tentang lokasi-lokasi makan rahsia yang tidak diketahui ramai. Jangan sesekali memandang rendah kepada gerai makanan yang diusahakan secara kecil-kecilan kerana di situlah kadangkala terdapatnya kualiti makanan yang sedap dan murah.

Bagi mendapatkan senarai lokasi premis makanan di sekitar Perlis, anda boleh mendapatkannya di laman sesawang Tourism Perlis. Jika bernasib baik, anda akan dapat merasai kelainan makanan lain dari tempat yang ditularkan. Dari Padang Besar hinggalah ke Kuala Perlis, semua destinasi gastronomi ini tersedia untuk memenuhi selera anda. – UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×