Universiti perlu sedia tenaga mahir sokong industri semikonduktor

Universiti perlu sedia tenaga mahir sokong industri semikonduktor

MENJELANG 2030, industri semikonduktor dijangkakan mengalami pertumbuhan ketara disebabkan peningkatan permintaan dan pelaburan besar-besaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, industri semikonduktor memainkan peranan penting dalam menentukan arah teknologi masa depan. Sebagai nadi utama bagi inovasi teknologi, dari peranti pintar hingga ke sistem automasi industri, semikonduktor telah menjadi tulang belakang perkembangan teknologi, elektronik pengguna, automotif, aplikasi 5G dan banyak lagi.

Pada masa kini, landskap industri semikonduktor sedang mengalami transformasi yang besar, dipacu oleh permintaan yang tinggi, kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perubahan dinamik pasaran global.

Menjelang 2030, industri semikonduktor di Malaysia dijangkakan akan mengalami pertumbuhan yang ketara disebabkan oleh peningkatan permintaan dan pelaburan dengan pengumuman pelaburan besar-besaran oleh syarikat seperti Intel, Infineon, Texas Instruments dan AT&S, yang menunjukkan posisi Malaysia yang kukuh dalam rantai nilai global semikonduktor.

Pada 2021, Intel telah mengumumkan pelaburan bernilai US$7 bilion di Malaysia sebagai sebahagian daripada pengembangan operasi mereka dalam industri semikonduktor manakala Infineon juga telah melakukan pelaburan besar di Malaysia dengan anggaran sekitar US$5.5 bilion.

AT&S, sebuah syarikat semikonduktor dari Austria pula kini sedang membina fasiliti pembuatan substrat Litar Bersepadu (IC) baharu yang akan membuka 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu. Projek ini merupakan sebahagian daripada pelaburan besar baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

Seiring dengan rancangan Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 yang diluncurkan Kerajaan Madani telah mensasarkan pertumbuhan yang lebih besar dalam aktiviti reka bentuk IC dan fabrikasi wafer. Ini akan memerlukan peningkatan jumlah tenaga kerja mahir tersedia dan secara langsung keperluan peningkatan dalam kualiti pendidikan dan latihan yang berkaitan dengan sektor semikonduktor.

Dengan perkembangan ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan bidang tujahan utama dalam Elektrik dan Elektronik (E&E) dijangka dapat memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir tersedia untuk menyokong industri semikonduktor terutamanya di Utara Malaysia, Zon Industri Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Pada ketika ini, UniMAP menawarkan 25 program akademik yang menyokong ekosistem perindustrian E&E negara dengan 641 tenaga pengajar dan jumlah enrolmen melebihi 6,200 pelajar. Ini menjadikan UniMAP sebagai penyedia tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada sektor utama E&E di Malaysia.

Dalam Pembangunan Kerangka Hala tuju Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju 2030 yang dijalankan pada November 2023, UniMAP mensasarkan 37,500 graduan tersedia industri menjelang 2030 dengan 25,000 melalui pengajian program akademik perdana dan 12,500 graduan menerusi program pengajian sepanjang hayat (PSH) kepada pekerja industri. 70 peratus daripada graduan ini dijangkakan akan menyokong sektor E&E terutamanya dalam industri semikonduktor termaju.

KELEBIHAN
UniMAP memiliki beberapa kekuatan utama dalam melahirkan graduan yang tersedia industri, khususnya untuk sektor semikonduktor di Malaysia, antaranya;

Kurikulum yang Industri-Relevan: UniMAP menawarkan program pengajian yang direka bentuk secara ‘precision matching’ yang memenuhi keperluan industri semikonduktor. Kurikulumnya meliputi aspek-aspek penting seperti teknologi semikonduktor, proses fabrikasi mikro, kebolehpercayaan mikroelektronik dan analisis kegagalan, serta ujian semikonduktor, Sistem Mikro-Mekanikal (MEMS), dan pembungkusan IC. UniMAP juga satu-satunya universiti awam yang dilengkapi dengan bilik bersih yang merupakan fasiliti penting dalam mengawal kontaminasi, memastikan kestabilan suhu dan kelembapan dan memenuhi standard industri yang kritikal untuk pengeluaran komponen semikonduktor berkualiti tinggi.

Kerjasama Industri dan Akademik: UniMAP aktif menjalin kerjasama dengan industri E&E dan semikonduktor dalam memastikan pelajar diberi pendedahan pengalaman praktikal dan kerja industri yang komprehensif melalui program latihan industri, projek kolaboratif serta pembelajaran berasaskan industri (WBL) bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) kepada pelajar.

Menerusi Pusat TVET UniMAP, lapan makmal industri dan tiga kilang mengajar telah dibangunkan yang menawarkan kursus-kursus pensijilan profesional kepada graduan dan pekerja industri sebagai nilai tambah kepada kemahiran sedia ada. Antaranya adalah; makmal industri CISCO, Huawei, Teesolve, Festo dan kilang mengajar Oppstar dan Altair. UniMAP juga telah menjalin kerjasama dengan Siemens untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran Industri 4.0. Program ini menyediakan pelajar dengan peluang pembelajaran dan latihan terkini dalam automasi kilang.

Penyelidikan dan Inovasi: UniMAP juga dikenali dengan kekuatan dalam penyelidikan dan inovasi, terutama dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi semikonduktor. Ini melibatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi dan pusat penyelidikan untuk menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi.

Di Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE), penyelidik UniMAP mengkaji pelbagai topik termasuk peranti semikonduktor, sensor berasas CMOS, nano-elektronik, dan biochip nano. INEE menyediakan kemudahan penyelidikan dan kolaborasi yang luas di bidang nanoelektronik dan biosensor, serta fokus pada pembangunan nanostruktur dan teknologi berkaitan.

Pembangunan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan: Selain dari aspek teknikal, UniMAP juga menekankan pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah yang penting untuk keberhasilan graduan yang dinamik dan bersifat global. Data kebolehpasaran UniMAP pada 2022 menunjukkan 97 peratus daripada graduan memperoleh tempat dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.

Pencapaian ini jelas menatijahkan usaha berterusan UniMAP dalam mengembangkan kurikulum dan program pembelajaran yang relevan dengan keperluan industri terkini terutamanya di dalam sektor E&E.

Dengan kekuatan dan kelebihan yang ada, UniMAP telah meletakkannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam yang utama dalam menyediakan tenaga kerja mahir tersedia sektor semikonduktor Malaysia. Melalui gabungan kurikulum yang relevan dengan industri, kolaborasi dengan pemain industri dan penekanan pada penyelidikan serta pembangunan teknologi termaju.

UniMAP tidak hanya menghasilkan graduan yang bersedia untuk cabaran industri semasa, tetapi juga dapat membina landasan untuk inovasi dan kecemerlangan dalam bidang semikonduktor. Ini menjanjikan masa depan yang cerah bagi lulusan UniMAP dan industri semikonduktor Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Abd. Majid ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×