Sejauh mana UMNO dapat bertahan dalam kerajaan perpaduan?

Sejauh mana UMNO dapat bertahan dalam kerajaan perpaduan?

UMNO dan DAP nampak jelas perbezaan besar dari segi falsafah politik dan arah matlamat perjuangan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESTABILAN kerajaan sesebuah negara mempunyai hubungan rapat dengan sokongan diberikan oleh kumpulan atau bangsa utama penduduknya. Asas ini umumnya diterima oleh semua pengkaji dan penganalisis politik dan pengajian kerajaan. Mana mungkin Kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara tidak mendapat sokongan kumpulan penduduk utama.

Mungkin kerajaan Pusat boleh dibentuk dan mampu mendapat sokongan majoriti tetapi darjah kestabilannya mungkin rendah dan tidak dapat bertahan kukuh dalam tempoh masa lama. Percubaan untuk menjatuhkannya mungkin sentiasa akan berlaku. Sedikit perubahan sokongan akan memungkinkan kerajaan sedemikian jatuh.

Dalam konteks kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, ia dibentuk bukan berasaskan kepada sokongan besar kumpulan penduduk majoriti iaitu bangsa Melayu dan bumiputera lain. Turun-naik darjah kestabilan sentiasa berlaku. Komponen penting dalam mengukuhkan dan mengekalkan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah DAP dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak juga penting, tetapi ramai pemerhati dan penganalisis melihat sokongan ini kemungkinan akan berubah jika berlaku perubahan Kerajaan Persekutuan. Perubahan sokongan ini pernah berlaku ketika hari-hari awal keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 di mana pada asalnya sokongan diberikan kepada Perikatan Nasional (PN), tetapi berubah sehari berikutnya kepada Pakatan Harapan (PH).

Parti politik yang kuat mendukung Anwar adalah DAP dan PKR. Bilangan DAP dan PKR tidak mampu membentuk jumlah minimum bagi mengekalkan kerajaan perpaduan. Andainya anggota BN menarik sokongan dan membentuk gabungan baharu dengan parti-parti politik lain khususnya PN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka kerajaan perpaduan tidak akan dapat kekal berpadu dan runtuh.

UMNO dan DAP nampak jelas perbezaan yang besar dari segi falsafah politik dan arah matlamat perjuangan. DAP berteraskan perjuangan kaum Cina yang tidak dapat dinafikan manakala UMNO asas perjuangan asalnya adalah kepentingan Melayu dan Islam.

Sokongan diberikan kepada Anwar dan bersetuju bekerjasama dengan DAP dan PH bagi membentuk kerajaan mungkin bersifat sementara dan hanya bagi kepentingan pimpinan sementara bagi tujuan spesifik yang mungkin ada hubungan dengan kepentingan peribadi. Kerjasama dengan DAP adalah sangat bercanggah dengan perjuangan UMNO. Mungkin inilah juga salah satu sebabnya UMNO ditolak dalam pilihan raya di enam negeri lalu dan juga dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).

Paling terkini, calon UMNO tewas teruk dalam PRK Parlimen Kemaman, baru lalu. Pimpinan UMNO sekarang tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada sebahagian besar ahli UMNO. 26 ahli Parlimen UMNO secara nyata tidak memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerjasama dengan PH dan DAP.

BUKAN ZAHID

Isu terkini tentang pilihan raya kerajaan tempatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jelas berlaku pertembungan antara UMNO dan DAP. Sesama anggota kerajaan perpaduan tetapi mempunyai pendapat yang sangat bertentangan. UMNO dan DAP memang tidak dapat duduk semeja dan sependapat dalam banyak perkara asas. Matlamat akhir perjuangan dua parti ini sangat berbeza. Untuk membentuk persamaan pendapat dan membina arah baharu perjuangan adalah tidak mudah. Pimpinan Anwar dilihat tidak mudah dan amat sukar membina kerjasama ‘sebenar’ antara DAP dan UMNO.

Persoalannya, selama mana UMNO tetap berada dalam kerajaan perpaduan? Mungkinkah anggota UMNO akan bertindak keluar dari kerajaan perpaduan?

Dengan perkembangan berlaku sekarang, anggota UMNO secara keseluruhan tidak akan terus berada dalam kerajaan perpaduan dalam tempoh masa lama. Majoriti ahli Parlimen UMNO yang benar-benar sayangkan perjuangan UMNO akan beralih sokongan kepada pimpinan ‘bukan Zahid.’ Mereka tidak keluar parti UMNO/BN kerana bercanggah dengan undang-undang lompat parti, tetapi mengalih sokongan kepada pimpinan lain (bukan kerajaan perpaduan).

Mungkinkah anggota UMNO akan bertindak keluar dari kerajaan perpaduan? Kalau demi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam serta sayangkan perjuangaan asal UMNO, mereka akan bertindak demikian. Sokongan pengundi Melayu juga akan dapat diraih semula. UMNO mungkin akan bangkit dan kuat semula.

Dengan berada dalam kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan DAP, sokongan orang Melayu terhadap UMNO akan semakin malap. Kebangkitan UMNO sukar untuk berlaku dengan berada dalam kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan DAP. UMNO mungkin akan hilang, mati tanpa kubur dan batu nisan.

Apakah akan berlaku kepada kerajaan perpaduan jika anggota UMNO keluar daripada memberi sokongan? Secara mudahnya, kerajaan perpaduan Anwar akan runtuh. Kerajaan baharu akan terbentuk dengan gabungan baharu. Struktur dan jumlah parti pembangkang khususnya Pas dan Bersatu yang agak besar jumlahnya, UMNO dengan mudah dapat membentuk gabungan baharu berteraskan parti Melayu dan bumiputera. Pakatan ini akan menjadi lebih kuat jika mendapat sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Apa yang penting, sokongan besar Melayu dan bumiputera yang mempunyai asas perjuangan sama atau hampir sama. Parti-parti politik yang mempunyai asas falsafah dan perjuangan yang sangat berbeza sukar untuk duduk semeja dalam sebuah kerajaan. Andai berlaku, ia dalam keadaan terpaksa dan sukar untuk membentuk kerjasama mantap sebenar yang kekal lama.

Andainya Anwar berjaya memaut dan membentuk satu asas baharu falsafah politik, kerajaan ini akan kekal dan bertahan lama. Andai parti-parti politik yang ada dalam kerajaan perpaduan kekal dengan asas falsafah dan arah tuju berbeza, maka ketidakstabilan dan keruntuhan mungkin akan berlaku.

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×