YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM) ditubuhkan pada 23 Julai 2008 melalui inisiatif Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.
YWM berperanan dalam membantu menggerakkan sumber-sumber wakaf di peringkat kebangsaan dan menjadi pelengkap kepada usaha Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di peringkat negeri.
Sebagai sebuah agensi wakaf di peringkat persekutuan, YWM mempunyai lima matlamat teras iaitu pengumpulan dana wakaf, membangun dan memajukan harta wakaf di dalam dan luar negara bagi tujuan kebajikan dan amal jariah, melaksanakan program pelaburan, melaksanakan program kebajikan dan sosial, menerbit dan mempromosi bahan-bahan ilmiah berkaitan wakaf.
YWM turut mempunyai autoriti untuk bertindak sebagai pengurus atau pentadbir mana-mana harta wakaf demi menjaga kepentingan harta wakaf serta boleh menjadi mawquf ‘alaih (benefisiari wakaf) bagi apa-apa harta wakaf yang terletak di Malaysia, tertakluk kepada kebenaran MAIN berkenaan sebagai pemegang amanah tunggal (sole trustee) harta wakaf berdasarkan kepada tatacara dan peruntukan perundangan berkuatkuasa.
Di peringkat kebangsaan, YWM dan MAIN telah bersinergi untuk melaksanakan beberapa projek dan program berimpak tinggi. Ini termasuk pembangunan projek wakaf secara fizikal seperti pembinaan Bazar Wakaf Rakyat dan Wakaf Mart di masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Melalui kerjasama YWM, JAWHAR dan dan MAIN, beberapa pembangunan hartanah wakaf bagi segmen sosial berjaya dilaksanakan antaranya pembinaan Kompleks Pendidikan Maahad Al- Mashoor Al-Islami di Pulau Pinang, Pusat Hemodialisis di Johor, Asrama Anak Yatim di Kedah, Pusat Saudara Baru di Negeri Sembilan dan pelbagai projek lain dengan keseluruhan projek bernilai RM319.53 juta.
Malah, dengan kapasiti sinergi ini juga, beberapa pembangunan hartanah wakaf seperti pembinaan hotel wakaf di beberapa negeri, pembinaan bangunan Imarah Wakaf (MAIWP) dan pembangunan Wakaf Seetee Aisah (MAINPP) telah berjaya dilakukan.
Beberapa usaha mampan telah dilakukan oleh YWM antaranya dengan mempertingkatkan terimaan wakaf tunai melalui produk Wakaf Tunai Malaysia melalui beberapa kaedah kutipan seperti Sistem Wakaf Tunai Malaysia YWM dan juga pewakafan secara potongan gaji oleh kakitangan awam dan swasta.
YWM turut memainkan peranan penting dalam menggerakkan program Wakaf Perkhidmatan Air bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Wakaf Pertanian (Watani), Wakaf Masjid Hijau (bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation), Wakaf Sejuta al-Quran, Tabung Musa’adah YWM-JAKIM (Covid-19) dan pelbagai lagi produk wakaf di bawah seliaan YWM.
Daripada jenis segmen wakaf tersebut, manfaat wakaf dinikmati oleh mawquf ‘alaih (penerima manfaat wakaf) dari sudut iaitu perkhidmatan kesihatan seperti dialisis, bantuan pendidikan dan keagamaan, bantuan usahawan selain perumahan dan pemilikan rumah mampu milik serta kebajikan.
CABARAN
Namun, beberapa cabaran berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dikenalpasti yang terdiri daripada aspek-aspek seperti kompetensi kekurangan iaitu kewujudan perjawatan profesional dalam pengurusan wakaf terutamanya dalam pengembangan dana wakaf yang melibatkan pelaburan dana.
Begitu juga kurang kefahaman masyarakat umum yang masih kurang tentang perbezaan dan fungsi wakaf, zakat dan sedekah. Berlaku juga kekeliruan melibatkan fungsi dan peranan sebenar serta bidang kuasa pihak berautoriti seperti MAIN dan YWM berbanding dengan pertubuhan kebajikan yang lain.
Ini termasuk kekurangan dana geran tahunan kerajaan untuk wakaf agak terhad. Terimaan dana wakaf juga tidak besar seperti terimaan zakat. Dana yang tidak mencukupi sudah semestinya menjejaskan pembangunan wakaf di Malaysia.
Pangkalan data JAWHAR telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan data hartanah wakaf. Namun satu pangkalan data dengan teknologi terkini seperti blockchain dan GPS masih belum dapat dilaksanakan.
Banyak juga tanah-tanah wakaf yang diceroboh yang memerlukan penelitian dan tindakan. Terdapat badan bukan kerajaan (NGO) tidak berdaftar berselindung dengan menggunakan perkataan wakaf. NGO-NGO yang tidak berintegriti ini boleh memberikan tanggapan dan imej negatif kepada YWM dan MAIN.
Bagi memastikan wakaf diurus secara efektif di samping memastikan agar YWM dan MAIN bergerak seiringan, beberapa langkah awal boleh dilaksanakan antaranya melalui Dasar Wakaf Kebangsaan.
Malaysia memerlukan satu dasar yang boleh menjelaskan hala tuju wakaf di Malaysia beserta strategi pelaksanaan yang holistik dan bersepadu. Dasar ini perlu selari dengan pembangunan Pelan Induk Wakaf Nasional yang sedang dibangunkan.
Perkara ini boleh direncanakan dengan lebih tersusun melalui penglibatan bersama oleh golongan profesional, penggerak industri wakaf dan institusi penting kewangan negara seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.
Selain itu, sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan Tabung Wakaf dan Infaq Negara (TWIN) sebagai platform setempat bagi tujuan pengurusan Wakaf Tunai. Dengan penubuhan tabung ini, manfaatnya akan turut dirasai oleh MAIN melalui pengagihan berkala yang akan dilaksanakan berdasarkan perancangan projek wakaf tersedia mahupun yang sedang dalam perancangan.
Kakitangan YWM dan MAIN perlu segera membina bakat dalam urusan wakaf sebagaimana yang diamalkan oleh institusi-institusi wakaf di Turki dan Indonesia. Melalui bakat-bakat yang ada, tidak mustahil satu hari nanti institusi-institusi wakaf di Malaysia akan diterajui oleh profesional yang berlatarkan kewangan Islam dan syariah sebagai penggerak utama industri wakaf.
Kejayaan sinergi YWM dan MAIN ini dapat dibuktikan melalui kepimpinan dan pengurusan di bawah Menteri Agama, Ketua Pengarah JAWHAR dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YWM.
Banyak projek dan program wakaf digerakkan oleh YWM dengan dukungan MAIN yang memberi manfaat kepada masyarakat. Justeru, melalui sinergi ini, adalah diharapkan agar industri wakaf mampu dizahirkan sebagai sebuah sektor penting dalam meningkatkan pemilikan hartanah masyarakat Islam, di samping membantu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan semata-mata.-UTUSAN
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia.










