PERANCANGAN pembangunan struktur fizikal sesebuah universiti adalah satu aspek penting bagi pembangunan dan keselesaan sesebuah universiti. Ia mempunyai hubungan rapat dengan keselesaan mahasiswa sebagai penghuni utama universiti, keberkesanan kakitangan, penjagaan alam sekitar dan ekosistem serta bermacam hal lain yang berkaitan.
Salah perancangan struktur fizikal peringkat awal adalah sukar untuk diubah dan kesannnya berpanjangan.
Perancangan awal adalah sangat penting dan perlu dilihat daripada pelbagai sudut. Ia bukan hanya boleh digarap oleh seorang ahli seni bina dalam satu sudut sempit, tetapi perlu gabungan daripada pelbagai aspek.
Seorang yang arif dalam perancangan bandar yang menyeluruh sangat diperlukan kerana universiti bukan sebuah taman perumahan atau satu blok jabatan kerajaan tertentu tetapi perlu dilihat sebagai sebuah bandar kecil (atau sederhana) yang diteliti daripada aspek perancangan yang meluas sifatnyanya. Ia tidak boleh dilihat sebagai satu rahsia dan tertutup tetapi terbuka oleh individu tertentu sahaja.
Pelan struktur fizikal yang dirancang bagi sesebuah kampus baharu yang bakal dibina perlu terbuka, kalaupun tidak kepada masyarakat umum tetapi kepada individu yang mungkin boleh memberi pandangan positif untuk menambah baik sesuatu pelan struktur fizikal.
Pelan fizikal sesebuah universiti tidak boleh disamakan dengan sesebuah sekolah menengah. Sebuah sekolah menengah berasrama mempunyai saiz yang jauh lebih kecil berbanding dengan sebuah universiti. Susun atur bangunan sekolah, dewan, bengkel, makmal, bangunan asrama, kawasan sukan atau riadah tidak sama dengan susun atur sesebuah universiti.
Kedudukan bangunan kediaman mahasiswa, bangunan fakulti dan pejabat utama pentabdiran tidak boleh diatur sebagaimana susunan yang dibuat di sesebuah sekolah. Kedudukan kawasan kediaman mahasiswa tidak boleh terpisah dengan fakuti dan pejabat utama pentadbiran selain pusat kemudahan umum. Semuanya mesti berada dalam jarak yang relatifnya dekat, yang boleh berjalan kaki.
Susun atur fizikal universiti awam sejak akhir-akhir ini agak bercelaru dan tidak mempunyai konsep yang begitu jelas. Saya lebih melihat universiti yang dibina lebih awal dalam tahun-tahun 1970-an lebih mempunyai konsep dan model yang jelas. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai konsep yang lebih jelas dan mesra pengguna (mahasiswa).
Struktur fizikal universiti-universiti ini mempunyai asas dan ada kaitan dengan model perancangan bandar tertentu. Ia ada kaitan dengan model atau konsep yang dikemukakan oleh sarjana perancangan bandar tertentu seperti Konsep Jose Sert dan Konsep Clarence Stein. Konsep perancangan ini nampak mudah, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan kesan positif pembangunan sesebuah universiti. Konsep perancangan Perry tidak sesuai bagi perancangan fizikal kerana saiz sesebuah universiti. Konsep Perry hanya boleh dan sesuai bagi sekolah menengah berasrama atau kolej atau institusi pengajian yang lebih kecil sifatnya.
Susun atur dan perancangan kawasan pusat utama dan kediaman mahasiswa atau penduduk adalah aspek penting yang perlu dititik beratkan. Dalam konsep Jose Sert jelas ditunjukkan pusat utama dan kawasan kediaman. Kawasan kediaman mengelilingi pusat utama (fakulti atau kawasan canselori/pusat pelbagai) yang memungkinkan pergerakan yang mudah dan dekat.
Begitu juga dengan konsep Clarence Stein mempunyai pusat utama dan dikelilingi oleh kawasan kediaman. Kedua-dua konsep ini nampak mudah tetapi mempunyai kesan yang besar kepada mesra mahasiswa dan kesan positif penjagaan alam sekitar. Kedudukan jarak kediaman mahasiswa yang berada jauh daripada pusat kegiatan utama universiti (fakulti, perpustakaan, pusat aneka dan pentadbiran utama) akan memberi kesan negatif pergerakan mahasiswa dan kurang mesra pengguna. Penggunaan bas dan kenderaan berenjin akan memberikan kesan buruk kepada kualiti alam sekitar dan kesihatan.
Mungkin pihak pengurusan utama sesebuah universiti boleh memberi keadaan persekitaran fizikal yang sukar bagi membangunkan universiti berdasarkan konsep yang saya utarakan memandangkan kos akan bertambah berlipat kali ganda. Alasan ini tidak boleh diterima dengan teknologi terkini yang canggih. Alasan sebenar adalah kesedaran dan ilmu asas peracangan bandar yang benar-benar difahami oleh pentadbir dan pengurusan utama sesebuah universiti.
Bagaimana universiti-universiti yang lebih awal dibina seperti UKM, UM, UTM dan UIAM dapat mengaplikasi perancangan dan mempunyai ciri-ciri pembangunan kampus dengan konsep atau model seperti yang dinyatakan? Contoh yang paling baik ialah pembinaan kampus UKM Bangi Fasa pertama (fasa kedua berbeza). Pembinaan UKM fasa pertama mempunyai hubungan dengan apa yang dinyatakan dalam konsep Jose Sert dan konsep Clarence Steins.
UKM mempunyai pusat utama yang jelas iaitu Pusanika, bangunan pentadbiran dan Perpustakaan Tun Seri Lanang sementara fakulti terletak dalam kawasan pusat utama. Kediaman mahasiswa, kamsis pula mengelilingi pusat utama. Bagaimana kampus UKM fasa pertama yang dibina dengan fizikal yang agak berbukit dan teknologi pada masa itu mampu begitu?
CONTOH
Perancangan dan pembinaan kampus UKM fasa pertama ini sepatutnya dijadikan konsep asas bagi perancangan pembinaan kampus lain. Persoalannya kenapa tidak dijadikan asas kepada perancangan pembinaan kampus-kampus lain yang lebih terkemudian? Universiti Malaysia Sabah (UMS) dibina dalam pertengahan 1990-an, tetapi asasnya berbeza dengan UKM dan dua konsep yang dinyatakan.
Kedudukan kolej kediaman juga jauh daripada pusat utama seperti fakulti, perpustakaan dan pusat aneka. Mahasiswa tidak mungkin berjalan kali ke pusat utama kerana jarak yang relatifnya jauh. Kemudahan bas perlu disediakan. Ini memberi kesan buruk kepada isu pengurusan masa dan alam sekitar. Banyak gas monoksida yang dikeluar bas setiap hari. Tanpa disedari ia bercanggah dengan universiti mesra dan mementingkan alam sekitar.
Apa yang penting dan perlu difahami bahawa perancangan pembangunan dan penyediaan sesebuah pelan pembangunan sesebuah kampus baharu perlu dilihat daripada pelbagai sudut. Mereka yang menyediakan pelan struktur fizikal perlu melibatkan pelbagai pihak dan disiplin yang sesuai.
Sesebuah universiti perlu dilihat sebagai sebuah bandar kecil atau sederhana dan bukannya sebuah sekolah menengah berasrama. Konsep perancangan bandar perlu dikaji dengan teliti serta benar-benar mendalam.
Mesra pengguna mahasiswa perlu diutamakan. Pengasingan kedudukan pusat utama dan pengguna utama jangan sekali-kali dipisahkan.
Kesilapan yang dilakukan pada peringkat awal pada hari ini, memberikan kesan buruk pada masa depan yang panjang. Ia sukar diubah apabila kampus sudah terbangun. Jangan bila rumah sudah siap, pahat terus berbunyi. Pahat kecil hulu kayu, tak mungkin memecah bangunan batu konkrit keras membatu.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.










