Orang kita kalau boleh mimpi pun pasal politik

Orang kita kalau boleh mimpi pun pasal politik

SEKARANG adalah masa untuk bekerja bersama-sama dalam menghadapi pelbagai masalah dan cabaran, bersikap ikhlas dan kembali kepada amanah yang diberi. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG kita berpolitik dari pilihan raya ke pilihan raya. Berfikir politik, bekerja politik, bercakap politik, bermain politik, bersosial politik, makan politik malah mimpi pun politik.

Sampai masanya kita menukar paradigma ini dan bersama-sama bekerja untuk faedah masyarakat, bangsa, agama dan negara. Mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai isu yang ada dan bekerja keras melakukan penambahbaikan berterusan untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan bersama.

Saya tertarik dengan satu video yang ditularkan tentang kejayaan program pelaksanaan tenaga yang boleh diperbaharui di perkampungan Odanthurai di Tamil Nadu, India yang mengubah kehidupan menggunakan panel dan kincir angin.

Video ini sangat memberi inspirasi dalam melakukan perubahan-perubahan yang perlu di dalam masyarakat dan bagaimana sesuatu idea perubahan menyeluruh dapat dilakukan oleh pemimpin dan anggota masyarakat dengan memanfaatkan peruntukan daripada cukai yang dibayar tanpa rasuah.

Saya fikir, yang pertama pemimpin, ahli-ahli politik dan pengikut patut hentikan menggunakan media sosial untuk menyerang peribadi lawan, membuka aib dan mengambil kesempatan daripada kelemahan peribadi seseorang. Sebaliknya berfokuslah kepada idea, pemikiran dan kerja profesional yang dilakukan untuk melakukan perubahan masyarakat.

Kedua, lihatlah begitu banyak isu masyarakat yang ada hari ini daripada masalah kemiskinan, ekonomi dan sosial seperti penagihan dan penyalahgunaan dadah yang tidak pernah berkurang, jenayah, pendidikan, isu rasuah dan salah guna kuasa, ketenteraman awam hinggalah kepada isu-isu masyarakat lainnya. Berusahalah meningkatkan upaya rakyat untuk terlibat sama memainkan peranan mengatasinya sebagai pemain utama dan membantu, memantau agensi pelaksana dengan memperkukuhkan peranan komuniti-agensi.

KAD LAPORAN
Ketiga, para pemimpin di semua peringkat perlu memanfaatkan kepakaran yang ada di sekelilingnya termasuk para cendekiawan, agensi, usahawan dan institusi seperti universiti untuk bersama-sama menaikkan peranan mengatasi cabaran dan masalah yang ada. Media sosial perlu menjadi alat untuk menyebarkan idea dan pemikiran, bukan saling mencemuh dan mendedah aib lawan.

Keempat, ukuran kejayaan dan kemampuan seseorang pemimpin harus dilihat kepada kebijaksanaannya menggembleng sumber yang ada di sekelilingnya dalam melakukan perubahan yang memberi impak besar kepada masyarakat, bukan sekadar berdasarkan pujian peribadi yang kadang-kadang tidak tulen sebaliknya mempunyai kepentingan tertentu. Kad laporan kejayaan seharusnya dilihat secara objektif dan pengukuran yang kuantitatif atau kualitatif yang dapat dilihat, dirasa dan dinikmati oleh masyarakat.

Keenam, seseorang pemimpin perlu terus melakukan penambahbaikan berterusan dalam setiap usahanya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutama kumpulan yang diwakilinya, melihat usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara objektif dan tidak membangkang membuta tuli, bersikap bias atau berasaskan aduan pengikut setia semata-mata atau mendengar nasihat tanpa penelitian yang wajar, telus dan terbuka. Sikap menuding jari dan membuat penilaian separuh masak tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya menimbulkan pertikaian dan ketidakpuasan hati pelbagai pihak terutamanya pemegang taruh.

Ketujuh, berusaha mendengar, menggembleng idea dan pandangan semua pihak, membuat penilaian secara profesional (termasuk pendapat profesional) serta mencari kaedah yang kreatif dan inovatif untuk menyelesaikan masalah bersama.

Sekarang adalah masa untuk bekerja bersama-sama dalam menghadapi pelbagai masalah dan cabaran, bersikap ikhlas dan kembali kepada amanah yang diberi, bukan membuang masa bertelagah dan membiarkan masalah lepas tangan untuk diselesaikan oleh sebelah pihak. Dengan sebahagian besar pemimpin sekarang dan pengikut berpendidikan tinggi, berilmu dan mempunyai nilai agama hebat, sampai masanya rakyat menikmati kepimpinan yang profesional dan realistik, bukan lagi retorik atau hanya mencari pengaruh untuk mengekalkan kedudukan yang ada.

Agama mengajar kita agar sedar tentang tanggungjawab dan amanah besar yang digalas sebagai pemimpin yang akan disoal di hari kemudian kelak!-UTUSAN

MOHAMAD Abdullah ialah penulis bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×