KEBANJIRAN pendatang asing yang sesetengahnya membawa pelbagai perangai dan gejala buruk kebelakangan ini mencetuskan keresahan bahkan amarah rakyat negara ini. Mereka umpama orang yang tidak tahu mengenang budi kerana selepas diberi betis, kini mahu paha pula. Mereka menunjukkan sikap itu apabila semakin berani menguji kesabaran dan toleransi rakyat Malaysia bahkan ke tahap mencabar kredibiliti kerajaan serta mencabul kedaulatan undang-undang negara.
Terkini, perangai dan gejala buruk sesetengah pendatang asing memasuki fasa radikal. Mereka menunjukkan bibit niat dan cita-cita jahat apabila terang-terang bersuara lantang menuntut hak sama seperti rakyat negara ini. Mereka berhimpun dan mendesak kerajaan memberi kuasa autonomi di kawasan tertentu. Mereka menunjukkan belang berbuat sesuka hati di kawasan yang didominasi dengan melakukan pelbagai onar sosial dan ekonomi.
Provokasi pendatang asing ini turut mencetuskan persoalan sensitif. Antaranya, apakah kebanjiran mereka ini memang dirancang rapi untuk menjayakan agenda tertentu dan siapa dalangnya? Dari sisi lain, situasi ini mencetuskan pelbagai persoalan di benak rakyat mengenai ketegasan dan penguatkuasaan pihak kerajaan.
Pada masa sama, kebanjiran pendatang asing didorong faktor kemakmuran ekonomi di negara ini. Sesetengahnya, kemasukan mereka diatur sindiket dan berbayar. Bakinya, ada yang melarikan diri daripada pergolakan ekonomi serta politik di negara asal.
Namun apa jua alasan mereka ke sini, kerajaan tidak boleh memandang ringan tahap ‘keberanian tindak-tanduk’ pendatang asing ini. Di sebaliknya, ada mesej dan amaran penting yang perlu dikaji sedalam-dalamnya.
Paling penting, kini sudah tiba masanya kerajaan melihat perkembangan ini dari semua sudut dan perspektif serta tafsiran baharu. Ia turut menuntut kerajaan mengambil langkah baharu penguatkuasaan yang dapat menangani krisis pendatang asing secara tuntas.
Andai kebanjiran ini tidak disurutkan segera maka dikhuatiri ada individu, pergerakan atau pertubuhan yang cuba menegakkan undang-undang sendiri dengan bertindak agresif atas semangat kebangsaan serta sayangkan negara. Mereka tahu sebahagian pendatang asing adalah pekerja berdaftar tetapi tidak mampu bersabar apabila ada antara mereka berperangai seperti berada di negara asal.
Justeru kerajaan perlu memberi perhatian serius perkembangan ini. Provokasi, konfrontasi atau konflik akibat kebanjiran pendatang asing dengan warga setempat mesti dibendung secara tuntas.
Melihat kepada keseluruhan isu pendatang asing ini, kerajaan disaran menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja atau Jawatan Kuasa Khas Kabinet. Panelnya perlu menyiasat dan menyediakan laporan terperinci mengenai punca, ancaman serta kesan kebanjiran pendatang asing. Ia merangkumi antaranya aspek penguatkuasaan akta, mekanisme perundangan serta dasar kerajaan. Mereka juga perlu menyediakan pelan dan strategi kerajaan untuk membendungnya.
Seterusnya Kertas Putih Mengenai Pendatang Asing itu dibentangkan di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan sebelum disusuli tindakan membabitkan semua pihak.
Tidak boleh dinafikan, penyelesaian isu ini antara lain memerlukan pendekatan dan langkah penguatkuasaan yang baharu. Ia tidak semestinya keras tetapi yang lebih penting berkesan. Pihak panel boleh mengambil iktibar daripada data Border Patrol di Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan, pentadbiran Presiden Donald Trumph menggunakan dasar penguatkuasaan imigresen yang lebih menghukum namun tidak mengurangkan kemasukan haram ke negara itu.
Oleh itu, apa jua tindakan menangani kebanjiran pendatang asing tetap perlu dilakukan secara rasional, mendokong nilai insani, seimbang, inklusif serta adil. Ini kerana mereka turut ada hak dan dilindungi undang-undang domestik mahupun pertubuhan antarabangsa.
Menurut portal Jabatan Imigresen Malaysia, pihaknya bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Jabatan itu turut diberi kuasa melancarkan operasi dan tangkapan, menyelamat, melakukan siasatan, pendakwaan, menguruskan kompaun dan pengusiran serta penghantaran pulang tahanan.
TAMBAH BAIK
Bagi tujuan penambahbaikan, semua akta tersebut perlu disemak semula bahkan dipinda. Tindakan penguatkuasaan mesti dilakukan secara sistematik dan bersepadu. Hukuman sebatan mandatori juga boleh digiatkan semula terhadap pesalah yang melanggar mana-mana akta dinyatakan.
Untuk memperoleh keberkesanan maksimum, perlukah agensi khas dengan kuasa autonomi ditubuhkan bagi memerangi kegiatan berkait jenayah pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen selain dikatakan berjuta pendatang asing dari berpuluh negara yang ‘lesap’ di negara ini? Saranan ini wajar dimasukkan dalam Kertas Putih Mengenai Pendatang Asing bagi memberi fokus baharu penguatkuasaan, pembanterasan serta pendakwaan sekali gus bagi membuktikan kerajaan bersungguh menangani isu tersebut.
Dari sudut lain, Suruhanjaya Siasatan Diraja atau Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut perlu meneliti semula program melindungi dan menyokong pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di negara ini. Jika dikesan ada ketirisan, kelemahan, konflik kepentingan dan ketidakadilan di dalamnya maka panel tersebut perlu berani menyarankan supaya program serta peranan badan itu dipinda untuk mencapai kesan lebih baik.
Malaysia juga perlu mendesak ketegasan UNHCR bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya semua negara bertanggungjawab terhadap rakyat sendiri tanpa ada penindasan atau pengusiran terhadap mereka sehingga menjadi pendatang asing atau pelarian bagi mendapat suaka di negara lain.
Kerajaan mesti mengkaji sama ada peranan atau program UNHCR menjadi antara punca kebanjiran pendatang asing berstatus pelarian di negara kita. Kaji juga aspek tempoh suaka seseorang pelarian dan wajarkah pelarian yang diuruskan UNHCR dibenarkan bebas keluar masuk pusat perlindungan untuk bekerja, meminta sedekah atau berniaga.
Kertas Putih Mengenai Pendatang Asing juga perlu menyentuh soal jumlah perbelanjaan dan kerugian apabila subsidi, peluang pekerjaan, perumahan serta kemudahan disediakan untuk rakyat tetapi dinikmati pendatang asing.
Tidak ketinggalan, badan itu juga perlu meneliti perundangan imigresen dan penguatkuasaannya serta mempelajari pengalaman serta kes tertentu di negara lain. Tidak mustahil, Malaysia juga boleh mempelopori inisiatif mewujudkan kesepakatan tertentu bersama negara jiran khasnya dalam isu pendatang asing termasuk pengambilan pekerja asing, pendatang tanpa izin, sindiket pemerdagangan manusia serta pemalsuan dokumen yang merentas sempadan mahupun rantau ini.
Isu kebanjiran pendatang asing menuntut kesungguhan politik, kejujuran penguatkuasa, kesedaran rakyat serta tanggungjawab industri apabila isu ini mahu diselesaikan.-UTUSAN
Penulis adalah pengamal media dan perunding komunikasi, penulisan serta penerbitan.










