Mengekang kegiatan persundalan di negara ini - Utusan Malaysia

Mengekang kegiatan persundalan di negara ini

Kegiatan persundalan atau pelacuran di negara ini turut dibantu oleh penggunaan media sosial secara terang-terangan untuk menarik pelanggan. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKSUD persundalan di bawah Seksyen 372 (3) ( Kanun Keseksaan) adalah seseorang yang menawarkan tubuh badan orang itu bagi maksud memuaskan nafsu untuk disewakan sama ada untuk tujuan mendapatkan wang atau habuan-habuan lain.
Persundalan berasal daripada perkataan ‘sundal’ iaitu memberi perkhidmatan seks secara sukarela di atas imbalan atas perkhidmatan tersebut. Ini dinyatakan di dalam kes Mohamad@Muhamad Ibrahim v PP (2021)CLJU 2114.
Kesalahan di bawah Seksyen 372B pula adalah berkaitan mencari langganan bagi maksud per­sundalan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Perlu juga diingatkan aktiviti persundalan ini termasuk jantina lelaki dan perempuan. Bukan melibatkan perempuan sahaja.
Intipati bagi kesalahan ini adalah seseorang itu menawarkan khidmat seks bagi tujuan memuaskan nafsu dengan bayaran dari segi wang atau habuan lain.
Di era sekarang ini banyak dilihat aktiviti persundalan dijalankan bukan sahaja di premis awam tetapi di premis persendirian. Bu­kan setakat itu, penawaran khidmat persundalan ini sekarang dilakukan secara terang- terangan di media sosial.
Di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan pula adalah berkaitan kesalahan bagi mereka yang hidup daripada hasil atau memperdagangkan persundalan yang mana hukumannya boleh dikenakan jika disabit kesalahan adalah penjara boleh sampai 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah dikenakan denda.
Seseorang itu boleh disabitkan kesalahan jika dibuktikan bahawa dia tahu bahawa dia hidup sepenuhnya atau sebahagiannya dengan hasil daripada persundalan.
Di dalam Kes Shaw v. DPP (1962) AC 220 HL, tuan punya premis telah mengeluarkan iklan berkaitan aktiviti persundalan dan pihak yang menjalankan aktiviti persundalan telah membayar kepadanya daripada hasil persundalan sebagai bayaran pengiklanan didapati bersalah atas kesalahan hidup sepenuhnya atau sebahagian melalui hasil persundalan.
Di dalam kes Pengiran Johnathan Musa v. PP (2010) 10 CLJ 404 yang telah membuat kesimpulan seperti berikut- bahawa jika hasil daripada persundalan sebahagian atau sepenuh itu akan masuk ke poket mereka yang dituduh di bawah seksyen ini maka ia dikatakan hidup daripada hasil persundalan.
Contohnya, di Mahkamah Kuala Pilah, Negeri Sembilan seorang pegawai bank telah mengeksplotasikan isterinya dan dituduh di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan dan dihukum tujuh tahun penjara dan tiga sebatan.
Seksyen 373 Kanun Keseksaan pula adalah kesalahan pengawalan rumah persundalan.
Intipati di dalam pertu­duhan seperti ini adalah tertuduh mengendalikan dan mengawal premis dan premis itu digunakan untuk aktiviti persundalan. Ini diputuskan di dalam kes Public Prosecutor v. Lai Phak Ping (f) (2007) MLJU 590.
Definisi rumah per­sundalan adalah sesebuah premis itu digunakan secara kebiasaan (habitual) untuk aktiviti persundalan.
Seksyen 373(2), Kanun Keseksaan yang berbunyi: “(2) Dalam seksyen ini, ‘rumah persundalan’ bermaksud mana-mana tempat yang diduduki atau digunakan oleh mana-mana dua orang atau lebih yang diduduki atau digunakan oleh mana-mana dua orang atau lebih sama ada pada satu masa sama atau pada masa berlainan bagi maksud persundalan.”
Untuk menjadikan ia satu rumah persundalan perlu keterangan yang menunjukkan bahawa secara kebiasaannya ia dilakukan aktiviti persundalan sebagaimana yang diputuskan di dalam Kes Lau Eng Teck v. P.P (1964) 1 LNS 75.
Dengan hanya sekali berlaku perhubungan seks secara haram tidak menjadikan tempat itu sebagai rumah persundalan.
Adalah perlu juga dibangkitkan bahawa aktiviti persundalan merupakan satu eksploitasi orang untuk tujuan perdagangan di bawah Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran yang berbunyi:
“Mana-mana orang yang mendapatkan keuntungan daripada pengeksploitasian orang yang diperdagangkan melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga didenda tidak kurang daripada RM500,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta dan boleh juga dilucuthakkan keuntungan daripada kesalahan itu.”
Di dalam kes di atas mahkamah memandang serius tentang isu persundalan dan mengatakan- “Pada pandangan saya sebarang kesalahan yang berpunca daripada kegiatan seksual termasuk persundalan adalah kesalahan seksual dan memperdagangkan manusia.”
Sebagaimana yang disebut pada awal rencana ini, kesalahan persundalan kini telah bertapak di aplikasi-aplikasi media sosial. Ini dapat dilihat daripada berita bertarikh September 2023, iaitu 17 ahli sindiket pelacuran melalui aplikasi media sosial ditahan di Johor Bahru, Johor.
Bagaimanapun, pihak penguat kuasa sukar dan jarang sekali untuk mengam­bil tindakan terhadap aktiviti menggunakan medium ini yang semakin lama semakin menular di negara kita ini.
Sepatutnya, pihak berkuasa juga memantau kegiatan pelacuran melalui media sosial ini untuk mengekang aktiviti persundalan di negara ini.
Sudah tiba masanya Kerajaan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 Malaysia yang sudah sedia ada peruntukan di bawah Jadual Pertama Bahagian 1 iaitu pemerdangan wanita dan gadis termasuk mereka yang hidup daripada hasil persundalan bagi mengawal sindiket persundalan ini berleluasa dan terus melarat di negara ini.

Dato Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya