KEPUTUSAN kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah menyalurkan dana Belanjawan pada bulan Januari kepada setiap kementerian membuktikan komitmen dan iltizam untuk memacu ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Justeru permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan setiap projek pembangunan yang diluluskan pada Belanjawan 2024 dimulakan segera adalah sangat wajar dan perlu diberi perhatian serius oleh setiap agensi pelaksana yang bertanggungjawab.
Seperti sedia maklum Belanjawan 2024 yang bertemakan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dengan peruntukan RM303.8 untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Secara prinsipnya matlamat Belanjawan 2024 yakni ikhtiar memperkasa Ekonomi Madani untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang tuntas dan mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat tidak akan tercapai andai semua inisiatif kebajikan rakyat dan projek pembangunan negara hanya terperap di agensi masing-masing dan tidak dilaksanakan seperti diumumkan.
Hakikatnya kini tiada sebarang alasan dari agensi pelaksana untuk tidak bertindak dengan segera memulakan kerja kerana saluran dana yang diluluskan telah mula diagihkan.
Justeru setiap agensi perlu memulakan perancangan pelaksanaan dengan segera dan wajar menangani segala cabaran yang bakal dihadapi dalam menjayakan agenda Belanjawan 2024 ini.
Antara cabaran utama ialah keperluan untuk menyegerakan proses perancangan dan pelaksanaan tanpa sebarang karenah birokrasi. Setiap agensi pelaksana perlu menghapuskan segala bentuk karenah birokrasi terutamanya dari proses membuat keputusan yang secara amalannya memakan masa yang sangat lama dan ini termasuklah meminda polisi dan peraturan lama yang sudah tidak relevan pada ketika ini.
Dalam konteks ini, proses penurunan kuasa perlu dibuat supaya pegawai yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugasnya dengan cepat dan tangkas selain lebih cekap dan efisien. Harus diingat kelambatan kita membuat keputusan akan membantutkan segala proses selanjutnya termasuk projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan kemungkinan besar akan ada kumpulan sasaran tidak dapat menerima bantuan tepat pada masanya.
Antara inisiatif yang perlu disegerakan ialah peruntukan RM58.1 bilion yang disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan. Umpamanya, RM225 juta disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, gas petroleum cecair (LPG), tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pedalaman di bawah Program Community Drumming. Arakian, menjadi tanggungjawab penjawat awam yang terlibat dalam proses agihan bantuan ini segera melaksanakannya tanpa sebarang karenah birokrasi.
Pada masa sama, pelbagai bantuan lain yang hendak disalurkan juga perlu kalis karenah birokrasi yang boleh menyusahkan rakyat mahupun kelompok peniaga serta pelabur. Sewajarnya fokus kepada penyediaan perkhidmatan berpaksikan pendigitalan dan permudahkan semua proses penyampaian perkhidmatan agar dapat meningkatkan darjat hidup rakyat serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ini termasuklah memudahkan proses permohonan, kelulusan serta penyaluran dana pinjaman berjumlah RM1.6 bilion yang disediakan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera. Jangan biarkan para pemohon kecewa dan merungut kerana lambat atau terlalu sukar untuk mendapatkan bantuan tersebut sehingga boleh menjejaskan peningkatan kapasiti dan daya saing peniaga bumiputera.
Dalam hal ini disyorkan agar sasaran melaksanakan segala inisiatif yang diluluskan dengan segera dalam tempoh masa ditetapkan dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap pegawai dan ketua agensi pelaksana berkaitan.
TELUS
Selain itu cabaran amalan tata kelola dan tadbir urus baik perlu diberi perhatian kerana kita mahu memastikan setiap sen yang dibelanjakan itu dibuat secara telus dan penuh integriti. Hakikatnya peruntukan RM393.8 bilion bukan satu jumlah yang kecil maka perlu ada proses semak dan imbang melalui pemantauan yang ketat terhadap semua perbelanjaan yang dilakukan.
Walaupun kita mahu setiap projek dimulakan dengan segera namun itu bukan alasan untuk berkompromi dalam soal tadbir urus yang betul, misalnya semua peraturan perolehan awam yang berkuatkuasa perlu dipatuhi oleh setiap pegawai dan agensi pelaksana.
Misalnya, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi dengan tumpuan utama terarah kepada proses menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara di samping pembinaan 26 buah sekolah baharu dan 18 blok baharu Pendidikan Khas. Penjawat awam yang akan melaksanakan projek ini perlu berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus dan tata kelola yang baik sekali gus memastikan projek siap dibina berpaksikan kualiti dan standard pulangan yang setimpal dengan peruntukan yang dibelanjakan.
Jujurnya kita mahu penjawat awam mengambil iktibar dengan penemuan dan teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang saban tahun menjumpai pelbagai ketirisan dan salah laku, lantas pastikan pisang tidak berbuah dua kali.
Dalam konteks ini kita mahu kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang terbaik bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan Belanjawan 2024 agar benar-benar berkesan, telus, sampai kepada kumpulan sasaran tanpa sebarang ketirisan.
Sesungguhnya setiap agensi pelaksana berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk merealisasikan setiap inisiatif dan projek yang telah diluluskan dan untuk itu sebagai tulang belakang kerajaan dan badan pelaksana kita memerlukan perkhidmatan awam yang efisien, cerdas dan tangkas serta penjawat awam yang prihatin, cekap dan berintegriti supaya mampu menjayakan agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Apapun cabarannya setiap agensi pelaksana perlu sedar bahawa rakyat memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup, graduan memerlukan pekerjaan, para peniaga dan kontraktor mahukan peluang perniagaan dan negara memerlukan pembangunan. Semua harapan tersebut kini terletak di bahu setiap agensi yang diberikan amanah dan laksanakanlah amanah itu dengan penuh tanggungjawab, telus dan integriti.
Justeru dalam merealisasikan Belanjawan 2024 diharap setiap agensi pelaksana dapat menghayati dan melaksanakan konsep G.R.E.A.T yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).










