KPI punca lambakan jurnal tiada nilai komersial

KPI punca lambakan jurnal tiada nilai komersial

RAMAI penyelidik menggunakan penerbit berbayar seperti MDPI, Frontiers dan Hindawi untuk menerbitkan jurnal-jurnal mereka. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, dilaporkan lebih 9,200 jurnal yang melangkaui 178 bidang tersadai di peringkat jurnal. Bahkan, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Ahmad Ismail berkata, situasi itu mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian besar sedangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana bagi tujuan penyelidikan universiti.

Untuk itu, banyak faktor yang perlu diperhalusi yang membawa kepada masalah tersebut antaranya dapatan jurnal-jurnal tersebut tidak berkualiti dan belum mencapai tahap untuk digunakan atau dikomersialkan.

Sebelum ini, ada laporan turut memetik Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak tentang keperluan ranking universiti. Ranking universiti dan kuantiti penghasilan jurnal ini ada kaitannya. Kita sedia maklum bahawa keperluan ranking universiti menghasilkan pelbagai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang perlu dipenuhi pensyarah dan antaranya berkait rapat dengan jumlah jurnal yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik universiti awam demi memenuhi KPI berkenaan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata terdapat negara atau universiti luar negara yang menitikberatkan KPI untuk menghantar pelajar mereka menyambung pengajian ke universiti di sesebuah negara lain. Namun begitu, KPI yang berlebihan dan tidak dikawal itulah yang membawa kepada masalah lambakan jurnal yang tiada nilai komersial dan tiada potensi untuk dibangunkan. Umum mengetahui antara keperluan KPI tersebut ialah jumlah penerbitan dan jumlah sitasi penerbitan.

Mari kita perhalusi beberapa faktor-faktor yang membawa kepada masalah-masalah diatas. Faktor pertama ialah pensyarah mahukan kuantiti penerbitan dan masa penerbitan yang pantas. Ramai penyelidik menggunakan penerbit-penerbit berbayar seperti MDPI, Frontiers dan Hindawi untuk menerbitkan jurnal-jurnal mereka. Penerbit yang berorientasikan keuntungan, mengenakan jumlah bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk yuran pemprosesan dan akses terbuka. Ramai penyelidik menggunakan saluran ini malangnya banyak jurnal yang diterbitkan tidak menepati piawai kualiti yang sepatutnya.

Dengan kata lain, saluran ini menghasilkan kuantiti dan bukannya kualiti. Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan arahan terkini bahawa dana kerajaan tidak lagi dibolehkan untuk membayar yuran penerbitan kepada penerbit-penerbit tadi.

Faktor kedua ialah manipulasi sistem kartel sitasi. Penyelidik yang sama yang menggunakan penerbit berbayar yang disebutkan telah mewujudkan sistem kartel sitasi. Antara faktor yang menyumbang kepada pemarkahan sistem ranking tersebut ialah jumlah sitasi penerbitan. Ramai penyelidik yang kononnya mempunyai H-index yang tinggi sebenarnya terhasil daripada sistem kartel sitasi.

Kumpulan yang mengamalkan sistem kartel sitasi akan mewujudkan kumpulan penyelidik di Indonesia, Thailand serta China umpamanya dan akan bantu sesama mereka untuk melakukan sitasi bersama rakan demi menaikkan sitasi penerbitan mereka. Hal ini jika diteliti, ada juga profesor universiti tempatan menggunakan helah sebegini yang tidak beretika. Lantaran itu terhasillah banyak jurnal yang tidak berkualiti dan tidak mempunyai potensi komersial, namun mempunyai sitasi yang tinggi hasil sistem kartel sitasi.

SITASI SENDIRI
Faktor yang ketiga ialah sitasi sendiri (self-citation) yang mana penyelidik ingin meningkatkan jumlah sitasi mereka (H-index) demi KPI dan juga untuk kenaikan pangkat telah menggunakan helah ini. Banyak kertas kerja prosiding yang menggunakan dana kerajaan diterbitkan secara berlebihan demi kelangsungan untuk mendapatkan sitasi sendiri dan meningkatkan jumlah sitasi. Jika diteliti daripada pangkalan data Scopus dan Scholar menunjukkan ramai yang mengamalkan sitasi sendiri ini, malahan tidak keterlaluan jika diteliti, ramai yang telah naik pangkat ke profesor madya DS54 dengan menggunakan helah ini.

Artikel daripada Nature yang diterbitkan pada 10 Januari lalu, kajian dalam Plos One dengan menggunakan data Scopus, menunjukkan 12 negara termasuk Malaysia merekodkan data kenaikan sitasi sendiri yang drastik dalam sela kajian antara 1996 hingga 2019. Dalam tempoh tersebut jumlah penerbitan oleh penyelidik Malaysia ialah 310,874, berbanding Singapura, Indonesia dan Thailand yang merekodkan 292,723, 150,879 dan 188,262. Banyak lagi isu-isu etika berkaitan penerbitan jurnal oleh penyelidik di Malaysia sehinggakan merekodkan jumlah tertinggi jurnal-jurnal ditarik keluar (retraction) oleh penerbit pada tahun lalu.

Merujuk kepada laporan oleh Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) yang diterbitkan pada 2014, polisi kajian dan pendidikan tinggi di Malaysia menggariskan bahawa ranking universiti memerlukan peningkatan kadar penerbitan jurnal oleh universiti-universiti tertentu. Natijahnya, ramai pensyarah yang bekerja dalam keadaan tekanan dan akhirnya mengambil jalan singkat melakukan sitasi sendiri demi KPI.

Profesor Dr. Mohammad Tariqur Rahman daripada Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (UM LEAD) mencadangkan kepada pembuat dasar, antaranya ialah ukuran kenaikan pangkat perlu diperhalusi jika kriteria penerbitan masih menjadi perkara utama dengan melihat sumbangan penerbitan sebagai penulis utama dan bukannya bersandar kepada jumlah penerbitan dan sitasi semata-mata.

Pendapat tersebut haruslah disokong untuk melihat kualiti penyelidikan di Malaysia kembali kepada tahap yang sepatutnya sementara dana kerajaan haruslah digunakan untuk menghasilkan kajian yang berimpak dan bermanfaat kepada rakyat, masyarakat dan negara.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Khairuddin Md. Isa adalah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cendekiawan Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×