Jatuhkan kerajaan bukan sekadar SD - Utusan Malaysia

Jatuhkan kerajaan bukan sekadar SD

AZHAR AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KEKUSUTAN politik masih lagi berlaku biarpun sudah setahun lebih berlalunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Cerita tentang surat akuan bersumpah (SD), sokongan daripada satu parti ke parti yang lain dan langkah serta cubaan menjatuhkan kerajaan sedia mengisi ruang media masa kini.
Apa yang menyedihkan, ketidakstabilan ini memberi kesan kepada rakyat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bekas Speaker Dewan Rakyat, TAN SRI AZHAR AZIZAN HARUN bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto SYAKIR RADIN dan jurukamera FARIS IDRIS.

KELOMPONGAN UNDANG-UNDANG
MINGGUAN MALAYSIA: Pandangan Tan Sri terhadap undang-undang antilompat parti. Apakah ada kelompongan?
AZHAR: Untuk kata ada kelompongan atau tidak, itu bergantung kepada hasrat sewaktu meluluskan undang-undang anti lompat parti. Apa tujuannya? Kalau untuk menyekat ahli Dewan Rakyat daripada tukar parti selepas menang PRU, maka undang-undang sedia ada tiada kelompongan.
Kerana ia memang menyekat dan menghalang ahli Dewan Rakyat yang menang ketika PRU menjadi ahli parti lain.
Selain itu, ia mengekang ahli Dewan Rakyat yang tidak berparti dan wakil bebas daripada masuk parti lain. Kalau dua-dua ini terjadi, maka ia lompat parti.
Tetapi kalau hasrat kita lebih daripada itu, sebagai contoh kalau tidak ikut perintah parti pun dianggap lompat parti, maka memang ada kelompongan kerana undang-undang sekarang ini tidak menyatakan sedemikian.
Sama ada wujud atau tidak kelompongan, itu bergantung kepada hasrat kita pada masa itu.

KESTABILAN POLITIK
Wajarkah ia dipinda demi kestabilan politik?
Itu pun berbalik kepada hasrat Dewan Rakyat, apa yang mahu ditangani dan kejahatan yang nak dikekang?
Kalau nak kekang crossing the floor, seseorang ahli parti itu dikatakan tidak ikut cakap parti, maka seperti saya katakan tadi, kita perlu pinda (undang-undang lompat parti).
Sebab undang-undang sekarang tidak meliputi situasi sedemikian. Ia cuma merangkumi tiga perkara.
Pertama, kalau seseorang itu tukar parti daripada ‘A’ ke ‘B’. Kedua, seseorang ahli Parlimen bebas masuk parti, itu pun dikira lompat parti.
Dan ketiga, seseorang itu terhenti secara automatik daripada jadi ahli parti dan bukannya dipecat. Kalau dipecat bukan dikira sebagai lompat parti. Kalau terhenti secara automatik, itu dikira lompat parti.
Tetapi yang ketiga ini jadi masalah sikit. Apa maksudnya terhenti secara automatik itu?
Katakanlah dalam perlembagaan parti ‘A’, ia mengatakan seseorang yang tidak bayar yuran terhenti menjadi ahli secara automatik. Maka, itu dikira lompat parti.
Jadi, undang-undang yang ada sekarang ini hanya meliputi tiga perkara yang saya sebutkan tadi, tidak melangkau ruang lingkup lain.
Dalam situasi lain, katakanlah dia di sebelah pihak kerajaan tiba-tiba dalam pembentangan Belanjawan tidak datang mengundi atau dia mengundi perkara yang bertentangan dengan pendirian kerajaan sehingga boleh menjatuhkan kerajaan.
Sama ada ia lompat parti atau tidak, itu kita tidak tahu. Kalau kita mahu ia meliputi perkara berkenaan, maka kita perlu meminda peruntukan yang ada sekarang.

PINDA PERLEMBAGAAN PARTI
Maksudnya, Perlembagaan parti juga perlu dipinda?
Masalahnya, sama ada peruntukan dalam perlembagaan parti sebegitu rupa sah atau tidak daripada segi undang-undang?
Sebabnya dalam undang-undang kita dan dalam Perlembagaan Persekutuan, hak seseorang rakyat untuk suarakan pendapat beliau serta mengundi mengikut apa yang dia suka itu merupakan hak dia.
Malah, ia juga hak mutlak ahli Dewan Rakyat. Kalau kita tengok keistimewaan mereka, terdapat peruntukan tentang apa-apa tindakan, sesiapa pun yang cuba mempengaruhi ahli Dewan Rakyat atau menghalang mereka daripada mengundi mengikut apa yang dia nak buat, itu adalah satu kesalahan jenayah. Ia tidak bertetapan dengan demokrasi dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi.
Jadi, situasi permasalahan undang-undang mengenai perkara ini amat besar. Ia bukan semudah itu sahaja. Kita tidak boleh kata “kalau perlembagaan parti ‘A’ tetapkan sekiranya tidak mengundi sebagaimana yang diperintahkan parti A, akan tamat keahlian secara automatik dan dianggap lompat parti”. Ia tidak semudah itu itu.
Sebab, ada lagi isu perundangan dan isu asas yang terkait hak dengan keistimewaan ahli Dewan Rakyat.

GUNA SD
Boleh ulas isu SD dalam situasi politik masa kini?
Sewaktu mahu bentuk kerajaan ketika PRU15 pun menggunakan SD. Jadi, kalau hendak kata berhentikan amalan SD ini, Mahkamah Persekutuan sebelum ini sudah sahkan.
Malah hendak membentuk kerajaan sekarang pun menggunakan SD. Lagipun telah disahkan Mahkamah Persekutuan.
Kalau kita hendak memberhentikan amalan SD ini dan jumlah majoriti hanya boleh diputuskan melalui lantai Dewan Rakyat, kita perlu tukar undang-undang untuk mengatakan proses bagi menunjukkan keyakinan atau ketidakyakinan mesti datang daripada lantai Dewan Rakyat.
Buat masa sekarang menentukan majoriti menerusi SD sah dan ia turut melibatkan melalui cara lain seperti sidang akhbar sebagai contoh.
Bagaimanapun, kalau ada dua SD berbeza dalam undang-undang, kita akan tengok SD mana terkemudian atau kadang-kadang SD nombor dua akan batal SD pertama.
Masalah akan timbul kalau SD pertama kata dia sokong A dan kedua kata B, keluar tarikh dan waktu sama. Itu memang bermasalah.
Tetapi daripada pengalaman saya tidak pernah berlaku sebegitu. Kes yang pernah saya hadapi ialah dia sokong A kemudian sokong B, jadi dia batalkan SD yang pertama.
Selain itu, berdasarkan pengalaman saya bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda amat teliti.
Semasa Langkah Sheraton, baginda bukan mengikut SD tetapi temu ramah seorang demi seorang
Jadi, sebenarnya SD atau tidak terpulang pada Yang di- Pertuan Agong. Perkara 43, tidak kata baginda perlu lantik sesiapa yang mempunyai sokongan majoriti.
Ia cuma kata baginda boleh lantik sesiapa yang pada fikiran baginda mungkin mempunyai, is likely to have the majority support.
Tidak perlu fakta bahawa individu tersebut ada sokongan. Hanya perlukan ‘mungkin’ maka Yang-di-Pertuan Agong boleh melantik perdana menteri.

CUBAAN JATUHKAN KERAJAAN

Pandangan Tan Sri terhadap sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan pada masa ini?
Ini sebenarnya adalah tentang persoalan sistem dan amalan. Dalam sistem Westminster yang berdemokrasi ini, seorang perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Itu peruntukan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43 kata Yang di-Pertuan Agong boleh lantik sesiapa sahaja dalam kalangan ahli Parlimen yang dalam fikiran baginda mungkin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Itu kuasa mutlak baginda. Dalam Perlembagaan Persekutuan ini, Yang di-Pertuan Agong ada tiga kuasa mutlak. Salah satunya melantik perdana menteri. Baginda tidak perlu ikut nasihat sesiapa.
Individu yang baginda fikir mungkin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, boleh dilantik sebagai perdana menteri. Itu perkara 43.
Persoalannya, sekarang bagaimana baginda hendak mengetahui sama ada terdapatnya majoriti atau tidak? Kalau dulu semasa Barisan Nasional (BN) berkuasa mereka selalu dapat dua pertiga majoriti.
Selesai sahaja PRU, majoriti akan kata kita sokong presiden parti menjadi Perdana Menteri. Tapi sejak tahun 2018, sudah tiada majoriti yang jelas.
Jadi, bagaimanakah pihak istana boleh tahu seseorang ada sokongan majoriti atau sebaliknya?
Adakah kita perlu lihat amalan kita? Sebelum fikir pasal amalan, perlu tengok undang-undang dulu.
Amalan Komanwel ini dulunya adalah, apa-apa ekspresi ketidakyakinan boleh datang daripada undi tidak percaya, lantai Dewan Rakyat.
Kemudian ada satu kes di Nigeria melibatkan Ladoke Akintola dan Adegbenro. Privy Council telah ubah kedudukan (undi tidak percaya) dan mengatakan jumlah majoriti tidak semestinya daripada lantai Dewan Rakyat.
Dari luar pun boleh menyatakan ketidakyakinan terhadap seseorang perdana menteri. Boleh jadi sidang akhbar, surat atau apa-apa pun sah.
Begitu juga dalam kes di Perak membabitkan Menteri Besar Perak sebelum ini iaitu Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin yang dijatuhkan melalui jumlah SD.
Peristiwa tersebut dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan telah diputuskan bahawa ekspresi ketidakyakinan terhadap beliau ketika itu boleh dibuat di luar Dewan Rakyat.
Itu mahkamah paling tinggi yang putuskan. Sejak daripada kes itu, amalan SD bermula dan diisytiharkan sebagai sah oleh Mahkamah Persekutuan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN